A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Dewasa
  8. /
  9. Burnout VS Kerja Lebih...

Burnout VS Kerja Lebih Masa

Burnout

Burnout

Definisi Burnout

Keadaan emosi, mental dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh tekanan berlebihan yang berpanjangan. Situasi ini terjadi apabila diri diselubungi kesedihan dan tidak dapat memenuhi keperluan diri atau terlalu banyak tekanan kerja dalam jangkamasa yang amat panjang.

Jika tekanan berterusan, individu itu akan mula hilang minat dan motivasi dan seterusnya menyebabkan produktiviti diri berkurangan dan meningkatkan perasaan diri yang tidak berdaya, tidak ada harapan dan rasa marah. Jika individu tersebut mempunyai rasa dan keadaan seperti itu setiap masa ini menunjukkan bahawa individu tersebut telah mengalami burnout.

Faktor-faktor Burnout

Dalam kebanyakan kes burnout, berpunca daripada faktor kerja namun terdapat juga sebab-sebab lain yang mempengaruhi seseorang itu menjadi burnout antaranya:

  1. Faktor kerja yang berlebihan atau berkurangan
  • Beban kerja yang terlalu banyak dan tidak boleh menampung daripada segi fizikal menyebabkan rasa letih dan lesu
  • Bekerja terlalu kuat tanpa rehat dan bersosial
  • Tidak cukup tidur
  • Kurang sokongan daripada segi perhubungan sesama rakan sekerja, majikan dan keluarga
  • Wujudnya rasa bosan terhadap kerja yang dilakukan kerana organisasi membenarkan pekerja bekerja dengan potensi mereka sepenuhnya dan membawa kepada perasaan tidak puas hati
  1. Faktor tekanan atau stres
  • Tekanan kerja yang banyak menyebabkan seseorang individu cenderung mengalami stres contohnya seperti melaksanakan kerja yang bukan dalam bidang kepakaran
  • Tekanan atau stres yang diakibatkan oleh pelbagai aspek seperti penat, gelisah, insomnia, sakit kepala dan sakit perut turut dikaitkan dengan kemungkinan seseorang menghadapi burnout
  1. Faktor personaliti
  • Individu yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua tugas
  • Pandangan pesimis terhadap diri dan dunia luar
  • Keperluan untuk mengawal dan kurang memberi kepercayaan kepada orang lain
  • Mementingkan pencapaian yang tinggi dan cenderung ke arah personaliti jenis A
  1. Faktor wujudnya rasa rendah diri / self esteem
  • Sentiasa berasa rendah diri dan sering membuat perbandingan dengan orang lain
  • Rasa rendah diri secara langsung membawa kepada pengunduran diri individu daripada lingkungan sosial

Tanda-tanda Anda Mengalami Burnout

  • Tanda-tanda Tingkahlaku
  • Mengundur diri daripada tanggungjawab
  • Menangguhkan tugas dan mengambil masa yang lama untuk menyempurnakannya
  • Datang bertugas lewat dan balik awal
  • Tanda-tanda fizikal
  • Rasa keletihan sepanjang masa
  • Kerap sakit kepala, sakit belakang dan sakit otot
  • Gangguan penghadaman
  • Sukar untuk tidur
  • Tanda-tanda emosi
  • Mudah marah dan sensitif
  • Sukar mengawal perasaan dan mudah menangis
  • Rasa tidak dihargai
  • Rasa kegagalan
  • Kurang tumpuan
  • Terlalu penat
  • Mengasingkan diri

Cara Mengatasi Burnout

Jika anda mengalami masalah burnout, anda perlu mengatasi masalah ini dengan segera Kaedah-kaedah yang boleh dilakukan untuk mengatasi burnout:

  1. Mulakan hari dengan senyuman
  2. Mengamalkan pemakanan yang seimbang, senaman dan tidur yang cukup
  3. Merehatkan diri dan bercuti daripada kerja
  4. Mencuba sesuatu atau aktiviti baru yang menyeronokkan
  5. Belajar cara untuk mengurus tekanan dan mengurus masa dengan berkesan

Kerja Lebih Masa

Takrifan Kerja Lebih Masa

Menurut M.N D’ Cruz dalam A Handbook Of Malaysia Labour Laws (2003) kerja lebih masa adalah kerja yang dilakukan selepas tamat masa kerja biasa tetapi tidak termasuk kerja-kerja yang dilakukan pada hari cuti dan cuti umum

Kerja lebih masa adalah kerja-kerja rasmi atau hakiki seseorang pegawai atau jabatan yang dijalankan atas arahan ketua jabatan di luar waktu bekerja biasa yang telah ditetapkan, atau pada hari rehat mingguan atau pada hari kelepasan am.

Budaya Kerja Lebih Masa

Fenomena kerja lebih masa atau overtime bukanlah satu budaya asing di alam pekerjaan masa kini. Ada yang kerja lebih masa kerana perlu atau diminta untuk menyiapkan tugasan yang diberi dalam masa yang ditetapkan dan ada juga yang bekerja lebih masa untuk mendapatkan elaun yang diberikan oleh majikan. Walau bagaimana pun, ada juga di kalangan individu cenderung untuk kerja lebih masa kerana seronok dengan kerja yang dilakukan.

Kesan dan Akibat Budaya Kerja Lebih Masa

  1. Keletihan

Pekerjaan yang banyak melibatkan pergerakan, cenderung untuk meletihkan badan. Ini memang tidak dapat dinafikan kerana badan tidak mempunyai rehat yang cukup kerana bekerja lebih masa. Contohnya bekerja lebih dari 12 jam sehari.

  1. Meletihkan minda

Selain badan minda juga turut terganggu kerana letih. Perkara ini biasa berlaku kepada pekerja yang banyak menggunakan fikiran dan tumpuan sewaktu bertugas.

  1. Emosi terganggu

Emosi terganggu kerana kerja yang tidak dapat disiapkan di pejabat akan berlanjutan sehingga ke rumah. Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa semakin suntuk dan kerja semakin bertimbun. Akibat rasa tertekan, emosi menjadi tidak menentu.

  1. Gangguan Produktiviti

Pekerja yang telah bekerja lebih masa akan mengalami penurunan daripada segi produktiviti. Tenaga dan daya manusia akan semakin lemah jika digunakan secara berlebihan.  Apabila mata mengalami keletihan akibat tidur yang tidak cukup, tumpuan akan terganggu dan akan menyebabkan kita mengantuk. Akhirnya ini akan mengganggu produktiviti.

  1. Risiko burnout

Disebabkan masa kerja yang melebihi 8 jam sehari, risiko untuk mengalami burnout akan berlaku. Walaupun terpaksa melakukan kerja lebih masa untuk memenuhi keperluan produktiviti dan kewangan, namun kerja yang berterusan akan menyebabkan keletihan daripada segi fizikal, emosi dan psikologi dan cenderung untuk mengalami burnout. Seseorang individu akan mengalami Sindrom Tanggungjawab yang Kronik (Chronic Responsibility Syndrome) yang mana dialami oleh individu yang terlalu letih dengan beban kerja yang keterlaluan. Individu seperti ini selalu merasakan “terlalu banyak kerja untuk dilakukan dan hanya saya sahaja yang dapat menyelesaikannya”. Hal ini sering berlaku di kalangan mereka yang terlalu kuat bekerja.

Rumusan

Burnout dan kerja lebih masa sememangnya sinonim dengan kehidupan masyarakat dewasa ini, namun kedua-dua perkara tersebut perlu dilihat daripada perspektif individu masing-masing

Melakukan kerja lebih masa ada kebaikan dan keburukannya bergantung kepada bagaimana individu tersebut mengawal jadual seharian. Kerja lebih masa boleh dilakukan namun perlu mengikut kemampuan diri sendiri dan pastikan individu tesebut bersedia daripada segi fizikal dan mental. Untuk mengelakkan berlakunya burnout individu perlu mengurus masa dengan lebih baik. Sekiranya individu menyedari wujudnya burnout pada diri mereka, maka mereka perlu mendapatkan bantuan profesional daripada Pegawai Psikologi atau Pakar Psikatri untuk membantu mencari alternatif bagi masalah tersebut.

Rujukan

1. Arkib (2000, September 18). Gaya Hidup : Emosi Beban Keterlaluan Punca Burnout diambil dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0918&pub=utusan_ Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_06.htm

2.     Melinda Smith, M.A., Jeanne Segal, Ph.D., and Robert Segal, M.A (2015) Preventing Burnout Signs, Symptoms, Causes, and Coping Strategies from http://www.helpguide.org/articles/stress/preventing-burnout.htm

3.     M.N D’Cruz (2003) A handbook of Malaysian labour laws Published: Petaling Jaya, Selangor, Malaysia Leeds Publications

4.     Sabitha Marican (2005) Membentuk Suasana Kerja Positif (Aspek Hubungan Manusia Dan Persekitaran Sosial) Utusan Publications.

 

Semakan Akhir : 3 Februari 2016
Penulis : Fatmawati binti Sabran
Akreditor : Tn Hj Hairol Kamal bin Ab Rahman

Artikel Berkaitan

Senaman Otot Lantai Pelvik

Senaman otot lantai pelvik perlu dilakukan sekurang-kurangnya 3 sesi dalam sehari (10 kali kemutan bagi setiap sesi)

Warga Emas Terabai

Pengenalan Warga emas didefinisikan menerusi had umur tertentu berdasarkan kepada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,268,919

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia