Home > Laman Utama > Luka Lecur / Bakar

Luka Lecur / Bakar

PENGENALAN

Luka lecur/bakar amat menyakitkan. Luka lecur/bakar yang disebabkan oleh haba adalah yang paling biasa berlaku. Bahan kimia tertentu juga boleh menyebabkan luka lecur/bakar. Arus elektrik pula boleh mendatangkan kecederaan lecur/bakar luaran  gdan dalaman.

Semasa luka lecur/bakar, lapisan teratas kulit (epi dermis) merupakan lapisan yang mula tercedera. Sekiranya kulit tersebut terus terdedah kepada punca luka lecur/bakar, kecederaan akan merebak ke dalam dan merosakkan lapisan kedua kulit (dermis).

Lapisan kulit yang tekoyak akibat luka lecur/bakar mengundang jangkitan kuman. Semasa kebakaran yang teruk, badan kehilangan banyak air dan mangsa boleh mengalami kesukaran bernafas.

 

GEJALA, TANDA DAN KOMPLIKASI

Pada asasnya, luka lecur/bakar boleh dikategorikan kepada tiga jenis:

1. Luka lecur/bakar tahap pertama (‘first degree’)

  • Melibatkan hanya lapisan atas kulit (epi dermis)
  • Kulit berwarna merah, kering dan biasanya berasa sakit
  • Kawasan lecur/bakar  ini boleh membengkak
  • Selalunya sembuh dalam masa seminggu tanpa meninggalkan parut

 alt 

2. Lecur/bakar tahap kedua (‘second degree’)

  • Juga melibatkan lapisan atas kulit
  • Kulit berwarna merah, melecur dan terdapat gelembung cecair, menjadikan kulit kelihatan basah
  • Kulit yang melecur/terbakar berubah warna
  • Biasanya berasa sakit dan membengkak
  • Jangka masa sembuh mengambil masa 3 hingga 4 minggu
  • Boleh meninggalkan parut

alt

3. Lecur/bakar penuh tahap ketiga (‘third degree’)

  • Memusnahkan semua lapisan kulit dan boleh mencederakan struktur dibawah lapisan kulit – lemak, otot, tulang dan saraf
  • Kulit menjadi perang atau hitam (hangus) dengan tisu di bawahnya kelihatan putih
  • Tidak berasa sakit sekiranya saraf turut terbakar

     alt

 

   

PERTOLONGAN CEMAS UNTUK LUKA LECUR / BAKAR

Luka lecur/bakar yang kecil boleh dirawat sendiri, tetapi luka lecur/bakar yang  kritikal memerlukan rawatan perubatan dengan segera.

Bantu awal luka lecur/bakar:

  • Luka bakar yang mengakibatkan kesukaran bernafas
  • Kebakaran yang melibatkan lebih daripada satu bahagian badan
  • Luka lecur/bakar pada kepala, leher, tangan, kaki atau kemaluan
  • Luka lecur/bakar pada kanak-kanak atau warga emas
  • Luka lecur/bakar akibat bahan kimia, letupan atau elektrik.

First Aid for burns:

1. Hentikan punca kebakaran

  • Matikan api atau alihkan mangsa dari punca kebakaran

2. Sejukkan luka lecur/bakar

  • Alirkan kuantiti air yang banyak untuk menyejukkan bahagian yang terbakar. Lakukan ini untuk selama 20-30 minit.
  • Jangan gunakan ais atau air berais kerana ianya boleh menyebabkan kehilangan haba dari badan.
  • Anda boleh menggunakan tuala yang direndam dalam air, atau pakaian yang basah bagi kawasan yang tidak boleh direndam seperti muka

3. Tutup luka lecur/bakar

  • Gunakan pembalut kering yang steril atau kain yang bersih untuk membalut kawasan yang lecur/bakar. Balutan perlu dibuat dengan longgar. Membalut luka lecur/bakar dapat membantu mengurangkan kesakitan serta mencegah jangkitan
  • Jika luka lecur/bakar meliputi kawasan yang besar, tutup luka lecur/bakar dengan kain yang besar, bersih dan kering.

Jangan pecahkan gelembung cecair yang terbentuk. Jika luka terbakar sangat menyakitkan atau semakin teruk, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

 

Merawat luka lecur/bakar akibat bahan kimia

Jika kulit anda terkena bahan kimia seperti peluntur atau asid, ikuti langkah bantu awal berikut:.

  • Bersihkan bahan kimia yang terdapat pada kulit di bawah aliran air sekurang-kurangnya selama 20 minit. Bersihkan bahan kimia berbentuk serbuk seperti kapur, dari kulit terlebih dahulu sebelum mengalirkan air pada kawasan berkenaan.
  • Buka barang kemas, atau pakaian, yang mungkin telah terdedah/terkena kepada bahan kimia.
  • Gunakan tuala basah untuk membantu melegakan kesakitan.
  • Tutup luka lecur/bakar dengan pembalut/kain yang kering dan steril/bersih
  • Jika anda masih mengalami rasa kesan bakar, basuh kulit sekali lagi di bawah air mengalir untuk beberapa minit.

Dapatkan bantuan perubatan secepat mungkin agar tahap luka lecur/bakar anda boleh dinilai dan rawatan yang bersesuaian dapat diberikan.

 

Merawat luka lecur/bakar renjatan elektrik

Luka lecur/bakar akibat renjatan elektrik mungkin tidak kelihatan serius, tetapi ia boleh membawa komplikasi yang teruk. Seseorang yang terkena renjatan elektrik perlu segera mendapatkan rawatan perubatan bagi memastikan tiada komplikasi yang timbul.

 

PENCEGAHAN

Elakkan menyentuh bahan yang mudah terbakar. Sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan apabila mengendalikan sebarang peralatan/bahan-bahan panas, terlalu sejuk, elektrik, bahan kimia, atau radiasi.

 

RUJUKAN

  1. John Murtagh, General Practice, Third Edition, page 1348-1349.
  2.  Wasiak J, Cleland H, Campbell F (2008). “Dressings for superficial and partial thickness burns”. Cochrane Database Syst Rev (4): CD002106. doi:10.1002/14651858.CD002106.pub3. PMID 18843629.
  3. Ames WA (1999). “Management of the Major Burn”. Update in Anaesthesia (Nuffield Department of Anaesthesia, Oxford, UK) (10). http://www.nda.ox.ac.uk/wfsa/html/u10/u1010_01.htm. Retrieved 2010-01-22.

 

Last Reviewed : 13 Jun 2012
Writer : Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary
Translator : Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary
Accreditor : Dr. Rosnah bte. Ramly