Home > Umum > Forensik > Bukti Fizikal dan Persekitaran

Bukti Fizikal dan Persekitaran

Definisi:

Bukti fizikal adalah segala bahan yang boleh dilihat, disentuh atau dipegang oleh pancaindera tanpa mengira saiznya (yang paling besar kepada yang paling kecil) yang diperolehi daripada siasatan tempat kejadian dan dibuktikan kaitannya dengan kejadian jenayah melalui pemeriksaan saintifik (UNODC, 2009).

Contoh Bukti Fizikal dan Persekitaran:

  1. Berasaskan peralatan dan perkakasan:
    • Kasut, selipar dan tayar.
    • Tukul, spanar dan screw-driver.
    • Batang dan kepala paip serta getah paip.
    • Pistol, peluru dan kelongsong peluru.
    • Parang, cangkul, sabit, kayu dan batang besi.
    • Bom dan serpihan bom.
    • Kenderaan dan jentera.
    • Tilam, cadar, bantal dan sarungnya serta mungkin katil.
    • Pakaian, kain dan fiber.
    • Jam tangan, telefon bimbit, pen dan pencungkil gigi.
    • Jarum suntikan dan pengetip kuku.
    • Cawan, teko, sudu, garfu dan pinggan mangkuk.
    • Buku cek, resit pembelian, nota bunuh diri dan tisu.
  2. Berasaskan bahan biologi:
    • Darah, air liur, rembesan vagina, air mani dan rembesan hidung (hingus).
    • Rambut dan bulu.
    • Organ dalaman dan kulit.
    • Debunga, benih pokok dan daun.
    • Serangga dan binatang.
  3. Berasaskan bahan kimia:
    • Dadah, alkohol dan racun.
    • Gam, pencuci tandas dan sabun.
    • Gas berbahaya dan bahan mudah meruap.
    • Tinggalan letupan dan kebakaran.
    • Getah dan polimer.
    • Hasilan petroleum dan hidrokarbon.
    • Serbuk letupan bom dan tembakan.
    • Tanah dan bahan mineral.
  4. Berasaskan kesan/tinggalan:
    • Cap jari dan cap tapak tangan.
    • Parut dan luka.
    • Kesan tekapan/pemberat.
    • Kesan pukulan sama ada dengan benda tumpul mahu pun tajam.
    • Kesan tikaman dan tetakan.
    • Goresan pada kenderaan atau tubuh badan.
    • Kesan heretan pada lantai atau karpet.
    • Kesan tayar dan tapak kasut/kaki.
    • Kesan gigitan dan cubitan atau cakaran.

Kesemua contoh yang diberikan di atas adalah berdasarkan kepada Lee (2012).

Bukti Fizikal, Persekitaran dan Persoalan:

Apabila pegawai penyiasat berjaya mengumpulkan bahan bukti fizikal daripada tempat kejadian jenayah, beberapa perkara perlu diambil kira olehnya. Ia boleh diringkaskan dalam beberapa persoalan seperti di bawah (Case, 2011):

  • Dalam kejadian rumah atau kilang terbakar, adakah ia disengajakan untuk menutupi bukti bagi kes-kes yang lain sebagai contoh; pembunuhan?
  • Di dalam kes gantung diri, adakah ia diperlihatkan sebagai bunuh diri untuk mengaburi siasatan daripada kes pembunuhan?
  • Adakah kesan kecederaan pada mangsa serupa dengan senjata yang dijumpai? Adakah ia boleh dilakukan sendiri oleh ‘mangsa’ atau hanya boleh dilakukan oleh individu lain?
  • Dalam kes rompakan, adakah ia dilakukan untuk menutup tujuan asal ‘mangsa’ bagi mendapatkan tuntutan insurans atau ia benar-benar berlaku kerana penglibatan pihak ketiga? Adakah ia disebabkan oleh litar pintas atau api dihidupkan dengan bantuan bahan bakar?
  • Dalam kes pergaduhan, adakah kecederaan itu disebabkan oleh pukulan benda tumpul atau senjata tajam? Adakah senjata dalam pergaduhan tersebut diperolehi?

Fungsi Bukti Fizikal

Seseorang pegawai penyiasat perlu mengambil kira semua maklumat yang berkaitan dengan sesebuah kejadian jenayah. Ia termasuklah keterangan saksi dan mangsa, pengakuan suspek dan rakaman kamera litar tertutup. Namun, bukti fizikal yang kukuh adalah satu-satunya fakta yang sukar disanggah dalam perbicaraan.

Tanpa memperoleh bukti fizikal yang relevan dan mencukupi, kesemua bukti yang telah disebutkan di awal perenggan tadi mudah untuk dipersoalkan oleh peguambela di dalam mahkamah. Dengan pengumpulan bukti fizikal yang mencukupi dan berkaitan dengan fakta kes, serta dikendalikan dengan teliti dan mengikut prosedur kerja yang betul, bukti itu akan menjadi sumber maklumat yang paling tepat dan berguna.

Lee (2012) juga ada menggariskan beberapa fungsi bukti fizikal dalam membantu pegawai penyiasat. Fungsi-fungsi tersebut adalah seperti berikut:

  1. Menentukan halatuju siasatan dalam sesebuah kes jenayah.

    Dengan menjawab persoalan yang seharusnya menjadi panduan dalam siasatannya, seorang pegawai penyiasat harus menentukan ke mana arah tuju siasatannya berdasarkan bahan bukti yang dikumpulkan.

    Bahan bukti fizikal serta persekitaran kes itu seharusnya boleh memandu siasatan dengan lebih jelas dan fokus tetapi tanpa prejudis dan bias. Seterusnya, kes jenayah boleh diselesaikan dengan sempurna.

  2. Mendedahkan perkaitan antara satu kejadian jenayah dengan kejadian yang lain atau suspek yang dikenalpasti.

    Teori Locard yang mengesahkan hubungkait antara tempat kejadian jenayah dengan mangsa serta penjenayah telah banyak membantu pihak penyiasat. Dengan penemuan bahan bukti fizikal, ia dapat mengukuhkan lagi siasatan polis.

    Bukti fizikal seperti helaian rambut, air mani, darah, kesan gigitan serta air liur pada tubuh mangsa kejadian rogol dan bunuh, menguatkan lagi fokus siasatan kepada individu tertentu. Walaupun begitu, ia tidak bermakna skop siasatan dikecilkan tetapi ia lebih diperincikan.

    Daripada bahan bukti fizikal itu tadi, banyak ujian makmal dapat dijalankan. Analisis yang paling digeruni semua orang adalah analisis DNA; yang unik untuk setiap individu. Kebolehpercayaan yang tinggi terhadap keputusan ujian ini menyebabkan nilai bukti fizikal yang berkaitan juga adalah amat tinggi.

  3. Memberikan kesinambungan antara keterangan saksi dengan percakapan mangsa (jika masih hidup) mahu pun suspek serta menjawab persoalan yang ditinggalkan.

    Setelah bahan bukti ini diuji di dalam makmal dan dinilai keputusannya, pegawai penyiasat dapat membuat kesimpulan akan kesahihan keterangan yang telah direkodkan.

    Adakah benar terdapat DNA lelaki B daripada darah; air liur yang diperoleh daripada kesan gigitan dan air mani di dalam vagina mangsa? Jika tidak, adakah keterangan saksi dan suspek boleh diterima pakai?

    Bagaimana jika DNA itu bercampur-aduk dengan DNA individu lain yang belum dikenalpasti? Adakah jenayah dilakukan oleh seorang atau secara berkumpulan? Jika berkumpulan, berapa ramaikah yang terlibat?

Nilai Bukti Fizikal

Walau bagaimanapun, nilai sesuatu bahan bukti itu boleh berkurangan sehingga ia hilang begitu sahaja disebabkan kecuaian pegawai penyiasat dan anggota kumpulan yang lain dalam mengekalkan integriti bahan bukti tersebut. Aspek integriti adalah isu kritikal yang tidak boleh dipandang mudah oleh pegawai penyiasat. Integriti hanya dapat dipastikan jika rantaian bukti dipelihara.

Rantaian bukti boleh dipelihara dengan memastikan kesemua langkah yang diambil semasa penyiasatan (mengenalpasti bukti, pengumpulan, penyimpanan, penghantaran ke makmal, analisis dan pengeluaran keputusan) direkodkan dengan jelas dan terperinci. Semua catatan tersebut perlu didokumenkan secara teratur dan jelas. Dengan itu, pihak penyiasat boleh meyakinkan mahkamah tentang ketelusan siasatan yang telah dijalankan serta keputusan siasatan yang relevan dan tepat.

Tiada gunanya mengusung kesemua bahan bukti daripada yang sekecil-kecilnya seperti cotton swab dengan kesan darah sehinggalah kepada sebesar-besar bukti seperti tilam ke bilik perbicaraan jika rantaian bukti boleh dipersoalkan. Sebagai akibatnya, kesemua bahan bukti yang telah dikumpulkan itu beserta dengan keputusan analisisnya sekali mungkin tidak boleh diterima sebagai bukti oleh hakim.

Bukankah itu suatu kerugian kepada barisan peguamcara yang telah menyediakan kes yang kukuh terhadap orang yang dituduh? Ia juga satu kerugian kepada perbelanjaan kerajaan dalam melaksanakan siasatan secara saintifik yang memerlukan kos yang tinggi.

Bahan bukti yang telah dianalisis selalunya tidak akan memberikan keputusan yang sama andai diuji semula. Lebih banyak persoalan boleh ditimbulkan oleh barisan peguambela yang hebat untuk membuktikan keraguan yang munasabah.

Oleh kerana itu, bahan bukti fizikal perlu dipastikan sentiasa berada dalam pengawasan pihak yang bertanggungjawab dan direkodkan setiap langkah atau prosedur yang dijalankan ke atas bahan bukti tersebut.

Dengan itu, keadilan dapat diberikan kepada semua pihak yang terlibat; baik mangsa, suspek, pegawai penyiasat mahu pun barisan peguam dan pihak mahkamah.

Rujukan:

Case, J.R. 2011. Chapter 2: Crime-Scene Investigation and Evidence Collection. http://www.school.cengage.com/forensicscience. Accessed: 15 Januari 2014.

Lee, S. 2012. JS 190: Physical Evidence and Biological Evidence. (Online posting). http://www.sjsu.edu/. Accessed: 15 January 2014.

UNODC. 2009. Crime Scene and Physical Evidence Awareness for Non-forensic Personnel. Vienna: United Nations Office on Drugs and Crime.

Semakan Akhir : 17 Mac 2014
Penulis : Norzita bt. Mohammed