Home > Umum > Radiologi > Kaedah Pemeriksaan > BONE MINERAL DENSITOMETRY (BMD)

BONE MINERAL DENSITOMETRY (BMD)

Apakah itu Bone Mineral Densitometry (BMD)?

  • BMD adalah salah satu ujian yang menggunakan sinar-X rendah untuk menguji kepadatan mineral tulang dengan mengukur berapa banyak kalsium dan lain-lain jenis mineral yang berada di kawasan tulang anda.
  • Ujian ini juga boleh membantu anda mengesan osteoporosis dan meramalkan risiko keretakan tulang anda.

BMD_1

Gambar 1 : Gambarajah pemeriksaan BMD dijalankan

Sumber : http://benvieworld.blogspot.com/2010/07/bone-mineral-density-test.html

Bagaimanakah untuk mendapatkan pemeriksaan ini dan dimana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan samada anda memerlukan pemeriksaan ini.
  • Sekiranya perlu, doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM yang terpilih.

Bila pemeriksaan BMD diperlukan?

  • Pemeriksaan BMD diperlukan untuk:
    • Mengenalpasti kehilangan tulang dan osteoporosis
    • Melihat keberkesanan ubat osteoporosis
    • Meramalkan risiko keretakan tulang
  • Anda digalakkan menjalani pemeriksaan BMD sekiranya mempunyai kecenderungan untuk mendapat osteoporosis, iaitu jika anda
    • Seorang wanita berumur 65 tahun ke atas
    • Seorang lelaki berumur 70 tahun ke atas
  • Seorang wanita berumur 65 tahun kebawah dan lelaki berumur 50 hingga 70 tahun adalah berisiko tinggi mengalami osteoporosis jika mengalami:
    • Tulang patah yang disebabkan oleh aktiviti biasa (patah kerapuhan).
    • Artritis Reumatoid kronik, penyakit buah pinggang kronik dan gangguan makanan yang menyebabkan berat badan yang rendah.
    • Menopaus awal (sama ada daripada sebab semula jadi atau pembedahan).
    • Sejarah rawatan hormon untuk kanser prostat atau kanser payudara.
    • Kehilangan ketinggian yang ketara (tanda keretakan mampatan dalam tulang belakang).
    • Perokok
    • Sejarah keluarga mengalami osteoporosis.
    • Mengambil ubat corticosteroid (Prednisolone, methylprednisolone) setiap hari selama lebih daripada 3 bulan.
    • Mengambil penggantian hormon tiroid.
    • Pengambilan alkohol yang berlebihan (lebih 3 gelas sehari).
  • Anda dicadangkan menjalani pemeriksaan BMD setiap tahun. Walau bagaimanapun kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa sesetengah wanita mungkin boleh menunggu masa yang lebih lama antara ujian saringan mereka. Anda dinasihatkan berbincang dengan doktor mengenai kekerapan saringan yang sesuai.

Sebelum pemeriksaan BMD

  • Berhenti mengambil ubat ubatan yang mengandungi kalsium dan multivitamin berbentuk pil sehari sebelum tarikh pemeriksaan.
  • Juru X-ray akan menerangkan kepada anda tentang pemeriksaan yang akan dilakukan.
  • Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
  • Anda perlu memakai pakaian hospital yang disediakan.
  • Berat badan dan ukuran tinggi anda akan diambil sebelum baring di atas meja pemeriksaan.
  • Bagi wanita yang telah menopaus, perlu memaklumkan umur mencapai menopaus.

Semasa pemeriksaan BMD

  • Anda akan diminta untuk baring di atas meja pemeriksaan BMD.
  • Juru X-ray akan memposisikan anda seperti meluruskan badan dan memastikan badan anda dalam kedudukan yang betul.
  • Scanner dan meja akan bergerak semasa pemeriksaan dijalankan.
  • Pemeriksaan dilakukan pada bahagian pinggul, tulang belakang, pergelangan tangan dan keseluruhan badan.

BMD_2

Gambar 2 : Contoh keputusan BMD Dual-energy X-ray absorptiometry (DXA) of lumbar spine (A) femur, (B) bone mineral density

Sumber : http://dx.doi.org/10.11005/kjbm.2012.19.1.53

Selepas pemeriksaan BMD

  • Tiada penjagaan khusus diperlukan.
  • Anda akan dibenarkan balik.
  • Jika ada sebarang masalah, hendaklah dimaklumkan kepada Juru X-ray yang bertugas.

Laporan pemeriksaan BMD

Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh Pakar Radiologi dan laporan akan disediakan.

  • Keputusan, yang disebut sebagai T-skor, adalah berdasarkan kepada ketumpatan mineral tulang seorang sihat berumur 30 tahun berbanding dengan nilai anda sendiri. Skor sifar (0) dianggap ideal.
  • National Institute of Health (NIH) Resource Center US mengeluarkan garis panduan untuk mengukur kepadatan tulang :
    • Biasa :  antara 1 dan -1
    • Jisim tulang yang rendah (osteopenia) :  -1 kepada -2.5
    • Osteoporosis :  -2.5 atau lebih rendah
    • Osteoporosis yang teruk :  -2.5 atau lebih rendah dengan keretakan tulang

Rujukan

  1. http://benvieworld.blogspot.com/2010/07/bone-mineral-density-test.html
  2. http://dx.doi.org/10.11005/kjbm.2012.19.1.53
  3. http://www.healthline.com/health/bone-mineral-density-test#Overview1

 

Semakan Akhir : 2 Jun 2016
Penulis : Zaidah binti Maspin
Akreditor : Jasintha S. Sangarapillai