A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Bolehkah ubat dihancurkan?

Bolehkah ubat dihancurkan?

Pengambilan ubat biji secara oral merupakan kaedah rawatan yang paling kerap dan paling mudah dilakukan. Namun begitu, masalah akan timbul apabila pesakit tidak berupaya menelan makanan pepejal dan menyebabkan pengambilan ubat biji secara oral turut terjejas.

Pengambilan ubat biji secara oral merupakan kaedah rawatan yang paling kerap dan paling mudah dilakukan. Namun begitu, masalah akan timbul apabila pesakit tidak berupaya menelan makanan pepejal dan menyebabkan pengambilan ubat biji secara oral turut terjejas. Dalam keadaan ini, pesakit, penjaga mahupun pengamal perubatan seperti ahli farmasi dan jururawat perlu mencari alternatif lain bagi memastikan pemberian atau pengambilan ubat biji dapat dilakukan dengan tepat. Salah satu daripada alternatif tersebut adalah dengan menghancurkan ubat-ubatan tersebut.

Terdapat beberapa situasi yang memerlukan ubat-ubat biji dihancurkan. Antaranya adalah untuk memudahkan pemberian ubat kepada pesakit melalui tiub makanan yang dipasang melalui hidung bagi pesakit yang mengalami kesukaran untuk menelan (dysphagia). Selain itu, pesakit juga mungkin terpaksa menghancurkan ubat dan mencampurkannya dengan makanan ataupun minuman dengan tujuan untuk menyembunyikan rasa ubat yang kurang disukai. Sesetengah ubat biji pula diperlukan dalam dos tertentu untuk kanak-kanak, tetapi tidak tersedia dalam bentuk cecair. Oleh itu, ubat perlu dihancurkan, dilarutkan dan disukat mengikut dos yang dikehendaki. Namun begitu, persoalan yang harus diambil perhatian adalah, “ adakah semua ubat-ubat biji seperti kapsul, pil dan tablet boleh dihancurkan?”

Perkara-perkara yang perlu diambil kira sebelum menghancurkan ubat biji

Apabila terdapat keperluan untuk menghancurkan ubat biji, adalah amat penting untuk kita mengetahui maklumat berkenaan jenis dan formulasi ubat berkenaan Secara umumnya,ubat-ubat biji yang tidak boleh dihancurkan tergolong dalam beberapa jenis:

  1. Ubat dengan penyalutan enterik (enteric-coated drugs)

    Tujuan penyalutan enterik ubat-ubatan -adalah untuk melindungi ubat dari keasidan perut dan juga melindungi perut dari kesan ubat tersebut. Ubat yang bersalut enterik direka agar tahan keasidan yang tinggi dalam perut dan seterusnya mengelakkan ubat tersebut dari terurai sebelum ia sampai ke lokasi sasaran iaitu usus. Selain itu, ia juga direka dengan tujuan menjadikan asid perut sebagai bahan penguraian salutan dan sekaligus memastikan ubat tersebut boleh larut dan bertindak ke atas usus.

    Oleh itu, menghancurkan ubat yang bersalut enterik adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan ubat larut terlalu awal, terurai oleh asid perut dan merengsakan lapisan perut.

  2. Ubat pelepasan diubahsuai (modified released drugs)

    Ubat pelepasan diubahsuai direka bagi memastikan ubat yang dimakan dibebaskan dengan perlahan di dalam perut dalam tempoh antara 12 hingga 24 jam. Ini adalah untuk memastikan kepekatan ubat yang sama terdapat dalam darah secara konsisten sepanjang tempoh yang dikehendaki. Ubat jenis ini mengurangkan kekerapan pesakit untuk mengambil ubat dan mengurangkan kesan sampingan ubat tersebut kepada pesakit. Selalunya singkatan LA, ER, XR, CR, SR tercatat pada nama ubat.

    Justeru, ubat jenis ini tidak boleh dihancurkan sebelum diambil kerana ia akan menghasilkan kepekatan ubat yang tinggi di dalam badan pada masa yang singkat dan boleh menyebabkan kesan toksik akibat dos yang berlebihan. Selain itu, ia juga akan menyebabkan kepekatan ubat menjadi rendah sebelum dos seterusnya diambil, dengan itu ubat berkenaan tidakdapat menghasilkan kesan rawatan yang dikehendaki.

  3. Ubat bawah lidah (sublingual)

    Ubat bawah lidah diperlukan untuk memastikan bahan aktif ubat tersebut diserap masuk terus ke salur darah di bahagian bawah lidah dan seterusnya meningkatkan kepekatan ubat tersebut di dalam badan dengan sangat cepat. Ini juga akan menghalang ubat tersebut daripada dicerna dalam hati yang akan merendahkan kandungan ubat tersebut di dalam darah.

    Oleh itu, adalah tidak digalakkan untuk menghancurkan ubat bawah lidah bagi memastikan cara penyerapan dan tindakan ubat tersebut tidak terjejas. Namun begitu, memandangkan ubat ini tidak perlu ditelan tetapi sebaliknya hanya perlu diletakkan di bawah lidah, maka keperluan untuk menghancurkan ubat sublingual ini jarang terjadi.

  4. Kapsul

    Ubat-ubat yang diformulasi dalam bentuk kapsul tidak digalakkan untuk dibuka kerana terdapat kemungkinan kandungan serbuk di dalam kapsul tertinggal atau tidak ditelan sepenuhnya, seterusnya akan menjejaskan kesan rawatan yang disasarkan. Jika ubat dalam kapsul berbentuk butiran dengan pelepasan diubahsuai, maka ia tidak boleh dihancurkan sebelum diambil.

    Ubat dalam bentuk kapsul, tablet tanpa salutan, tablet bersalut polimer nipis atau gula secara umumnya boleh dihancurkan. Bagaimanapun pertimbangan lanjut diperlukan bagi ubat-ubatan yang disalut dengan gula kerana ia bertujuan bagi menyaduri rasa pahit ubat tersebut. Selain itu, menghancurkan pil, tablet atau membuka kapsul juga boleh mendedahkan individu kepada risiko ketoksikan. Apabila ubat dihancurkan, serbuk-serbuk halus yang terhasil boleh memasuki tubuh melalui mulut ataupun hidung. Oleh itu, menghancurkan ubat-ubatan seperti ubat kanser, sesetengah antibiotik dan hormon adalah dilarang.

Selain itu, menghancurkan ubat-ubatan juga boleh menyebabkan pesakit menerima dos ubat yang tidak mencukupi kerana mungkin terdapat ubat yang melekat pada alat yang digunakan untuk menghancurkannya, tertumpah atau diterbangkan angin. Memandangkan sesetengah ubat mendatangkan kesan yang besar dengan dos yang sedikit, kekurangan dos ubat walaupun dalam jumlah yang kecil mungkin boleh mengundang kegagalan rawatan penyakit. Terdapat juga ubat yang akan rosak jika tablet dihancurkan atau dikeluarkan daripada kapsul akibat terdedah kepada udara atau cahaya dengan itu turut menjejaskan kesan rawatan ubat tersebut.

Nasihat kepada pengguna

Pesakit, penjaga atau pengamal perubatan perlu menyedari bahawa menghancurkan ubat-ubatan adalah kaedah pengambilan ubat biji yang tidak digalakkan. Ubat yang diberikan hendaklah ditelan sepenuhnya tanpa dihancurkan dan kandungan kapsul tidak dikeluarkan. Jika terdapat masalah untuk menelan ubat, pesakit atau penjaga perlu merujuk kepada maklumat terperinci berkenaan kestabilan dan formulasi ubat yang kebiasaannya terdapat pada kertas sisipan produk sebelum menghancurkan pil, tablet ataupun kapsul. Jika didapati pesakit boleh terdedah kepada kesan sampingan yang serius ataupun terdapat isu kurangnya keberkesanan ubat jika ia dihancurkan, rujuklah pegawai farmasi untuk mengetahui sama ada terdapat alternatif ubat dalam bentuk cecair (sirap atau suspensi), tampalan pada kulit (patch), tablet larut air (dispersible tablets) atau sisipan pesari (pessary) ke dalam dubur. Pegawai Farmasi juga boleh memberi nasihat berkenaan kesesuaian dan cara yang betul untuk menghancurkan, membancuh dan menyukat dos ubat-ubatan tersebut.

Semakan Akhir : 30 Jun 2016
Penulis : Rosdi bin Md. Zin
Akreditor : Norharlina bt. Sulaiman

Artikel Berkaitan

Puasa dan Ubat

Bagi mereka yang sakit, puasa bukanlah penghalang untuk meneruskan rawatan. Pengubahsuaian cara pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan oleh pesakit. Pesakit juga harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan.

Penyakit Bawaan Virus Varicella-Zoster

Virus Varicella-Zoster (VZV) adalah virus yang mengakibatkan dua jenis penyakit iaitu varicella (demam campak) dan herpes zoster (kayap). Demam campak kebiasaanya dijangkiti pada zaman kanak-kanak,manakala kayap pula adalah jangkitan lanjut demam campak yang mungkin berlaku pada usia tua.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,221,099

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia