A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bolehkah Gigi Saya Sakit Semula Setelah Rawatan Akar?

Anda baru sahaja selesai menjalani rawatan akar. Menurut doktor gigi, kesemua urat saraf didalam gigi anda telah pun dibuang, salur akar sudah dibersihkan dan ditampal dengan sebaik-baiknya. Korona gigi pun baru sahaja dibuat dan tiba-tiba sakit itu muncul semula. Rasa sakitnya sama sahaja seperti sebelum rawatan akar dibuat. Bagaimana ini boleh berlaku?

Pertama sekali, adakah rawatan kanal akar itu suatu pilihan rawatan yang terbaik?

Rawatan kanal akar telah terbukti keberkesanannya dan merupakan satu pilihan rawatan yang baik. Menurut Brown et al. (2003), hampir 16 juta prosedur rawatan akar telah dijalankan pada tahun 1999 dengan kadar kejayaan antara 86% hingga 98% (Friedman et al., 2003). Dengan rawatan yang sesuai dan tahap praktis yang tinggi, kemungkinan besar gigi yang telah melalui proses rawatan akar mampu bertahan untuk seumur hidup. Walau bagaimanapun, ada kalanya gigi yang telah melalui rawatan akar tidak sembuh seperti yang diharapkan. Ia boleh menjadi sakit semula tidak lama selepas rawatan disempurnakan malah beberapa bulan atau tahun selepasnya. Hampir 10% dari gigi-gigi yang telah menerima rawatan akar memerlukan rawatan semula atau pembedahan apeks akar. Sebaik manapun usaha yang dilakukan, masih terdapat sejumlah kecil rawatan akar akan gagal dan gigi akhirnya perlu dicabut.

Mengapa rawatan akar boleh gagal?

Seperti yang dilihat dalam sejumlah penulisan perubatan, terdapat beberapa keadaan dimana rawatan menemui kegagalan walaupun ia telah dijalankan oleh mereka yang berkepakaran tinggi dengan tahap praktis yang terbaik.

Terdapat pelbagai sebab dimana rawatan akar boleh menjadi gagal:

  • Salur akar tertinggal/tidak dapat dikesan

    Anatomi gigi adalah pelbagai dan sesetengah individu mempunyai gigi dengan bilangan akar yang melebihi dari kebiasaan. Ia mungkin tidak dapat dikesan terutama jika saiznya begitu kecil. Kegagalan dalam mengenalpasti kewujudannya boleh menyebabkan rasa sakit atau ketidakselesaan yang berterusan.


    Imej ehsan dari painlessrootcanal.net   

  • Kanal akar yang bercabang

    Sistem salur akar gigi adalah sangat kompleks. Rangkaian serta cabang pada saluran akar adalah sangat kecil dan mungkin tidak dapat dicapai langsung bagi tujuan pembersihan. Oleh itu, kadangkala hanya salur akar utama sahaja dapat dibersihkan dengan baik tetapi tidak pada cabang-cabangnya..


    Imej ehsan dari Priory.com

    Imej ehsan dari www.dentistry.com
  • Pembersihan yang tidak menyeluruh atau kurang efektif

    Kegagalan untuk membersihkan kesemua tisu terinfeksi boleh berlaku jika salur akar telah terkalsifikasi, tersumbat atau jika bahan cecair nyahkuman yang kurang bersesuaian digunakan


    Imej ehsan dari www.aae.com 

  • Kelewatan dalam menempatkan bahan tampalan kekal

    Jangkitan kuman ke dalam salur akar boleh berlaku semula apabila restorasi kekal tidak diletakkan dengan segera. 

  • Restorasi yang tidak sempurna

    Restorasi kekal yang tidak sempurna atau tidak memadai akan menyebabkan saluran akar dijangkiti semula oleh kuman 

  • Gigi retak

    Wujudnya keretakan pada gigi mungkin tidak disedari oleh perawat. Dalam kebanyakan kes, ia agak mustahil untuk dilihat dengan mata kasar. Kadangkala, tahap keretakan gigi sebenarnya jauh lebih teruk dari apa yang dapat dilihat. Ada ketikanya, keretakan hanya dapat dilihat jelas dengan menggunakan alat magnifikasi. Perlu diingat bahawa keretakan gigi boleh berlaku bukan hanya sebelum, malah semasa dan selepas tamatnya rawatan kanal akar.


    Imej ehsan dari Takeuchishika.info 

  • Kurang kepakaran klinikal  – kes-kes dengan anatomi yang kompleks atau mempunyai permasalahan sewaktu prosedur rawatan lebih dirujuk kepada pakar endodontik

Apakah tanda dan gejala bahawa rawatan akar gigi anda bermasalah?

Antara tanda-tandanya ialah anda mula berasa sakit, sama seperti sebelum rawatan tersebut dibuat. Anda akan berasa tidak selesa, gusi membengkak, gigi bergoyang, sakit apabila menggigit dan terdapatnya poket gusi yang dalam apabila diperiksa perawat. Simptom-simptom tersebut tidak akan wujud jika rawatan akar telah disempurnakan dengan jayanya.

Adakah gigi anda masih boleh diselamatkan?

Pemeriksaan dan siasatan yang menyeluruh perlu dibuat sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat. Perawat akan mencuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan gigi anda selagi boleh. Beberapa prosedur tertentu mungkin perlu dijalankan sebagai usaha pemulihan. Walau bagaimanapun, gigi-gigi yang telah retak sehingga melibatkan akar tidak boleh lagi diselamatkan dan cabutan adalah satu-satunya pilihan rawatan yang ada.

Apakah pilihan yang anda ada?

  • Tidak perlu berbuat apa-apa
  • Cabutan – Ini boleh diikuti dengan penggantian dengan gigi palsu, jambatan pergigian atau implan.
  • Rawatan akar semula – Jika gigi tersebut masih boleh diselamatkan, kesemua restorasi yang sedia ada pada gigi akan dibuang untuk mendapatkan akses pada salur akar semula. Gigi anda akan diperiksa dengan teliti sebaik-baiknya dengan bantuan alat magnifikasi bertujuan mencari saluran akar yang tertinggal atau bilangan kanal yang melebihi dari biasa. Pembersihan dan pembentukan salur akar akan dijalankan semula untuk memastikan pembasmian semua sisa kuman. Setelah selesai, salur akar akan ditampal dan gigi akan diberikan restorasi sementara terlebih dahulu. Apabila simptom mulai hilang, proses penyediaan restorasi kekal seperti korona (jika perlu) akan dibuat bertujuan untuk melindungi gigi.
  • Rawatan semula dengan pembedahan – kadangkala pembedahan kecil bagi pembuangan bahagian apeks akar gigi perlu dibuat. Ia dibuat disamping rawatan akar semula apabila terdapatnya indikasi ataupun sebagai rawatan alternatif.

Rujukan

  1. Brown L.J., Nash K.D., Johs B.A., Warren M. The economics of endodontics, Chicago, American Association of Endodontists
  2. Friedman S, Abitbol S., Lawrence H.P. (2003) Treatment outcome in endodontics: The Toronto Study. Phase 1: initial treatment. J Endod 29:787

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Nur Laila Sofia bt.Ahmad
Akreditor : Dr. Rosenani bt. Mohd Nordin
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Periodontium

Penyakit Peridontium diperingkat awal (gingivitis) boleh dicegah dengan memberus gigi secara berkesan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,184,974

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia