Home > Umum > Forensik > Bidang Kepakaran Dalam Forensik

Bidang Kepakaran Dalam Forensik

Bidang Kepakaran Dalam Forensik

Berdasarkan dari Kamus Oxford Inggeris Dunia, forensik berkait rapat dengan keadilan dan mahkamah. Forensik melibatkan penggunaan teknik dan kaedah saintifik dan teknologi untuk membantu dalam sesuatu penyiasatan. Malah, berdasarkan dari Kamus American Heritage, forensik boleh didefinasikan sebagai satu seni yang juga menggunakan kaedah saintifik dan teknologi untuk menyiasat dan mengemukakan fakta yang berada di dalam undangan sivil ataupun jenayah. Walau bagaimanapun, pada masa kini, sains forensik dianggap benar memandangkan terma forensik digunakan dalam aktiviti yang berkaitan dengan perundangan serta mahkamah. Terma forensik yang kini berkait rapat dengan pelbagai bidang saintifik sehingga kebanyakan kamus hari ini juga mengklasifikasikan terma ini dengan Sains Forensik.

Sains forensik adalah kaedah untuk mengumpul serta memeriksa maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang berlaku pada masa dahulu. Ini dianggap amat penting dalam penguatkuasaan undang-undang di mana forensik dilaksanakan dalam aktiviti berkaitan dengan undang-undang sivil ataupun jenayah. Selain itu, forensik juga digunakan di dalam bidang lain seperti astronomi, arkeologi, biologi and geologi untuk menyiasat fakta zaman purba.

Forensik astronomi menggunakan kaedah astronomi untuk menentukan buruj angkasa lepas demi tujuan forensik semata-mata. Ahli astronomi telah menggunakan kaedah forensik astronomi untuk menentukan sesuatu karya seni lukisan yang dihasilkan oleh seseorang artis yang menunjukkan pandangan mengenai air, gunung dan matahari.

Forensik antropologi merupakan aplikasi antropologi fizikal di dalam penetapan undang-undang, yang kebanyakan digunakan untuk pemulihan semula serta identifikasi tulang rangka manusia yang berada di dalam proses penguraian. Analisis yang berasaskan forensik antropologi melibatkan penilaian umur, jantina, kedudukan, keturunan dan anggaran keturunan geografi utama sesuatu individu, serta menentukan sama ada individu tersebut terjejas oleh trauma atau penyakit akibat kemalangan atau keganasan sebelum atau pada masa kematiannya.

Forensik arkeologi adalah aplikasi yang terdiri daripada gabungan teknik arkeologi dan sains forensik, kebiasaannya digunakan dalam penguatkuasaan undang-undang. Teknik antropologi forensik boleh digunakan dalam pemulihan dan analisis tulang-rangka manusia.

Forensik geologi ialah kajian bukti-bukti yang berhubungan dengan mineral, minyak, petroleum, dan bahan-bahan lain yang dijumpai di bumi, digunakan untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan dalam sistem perundangan. Ia mengkaji asal-usul bahan bumi tertentu, di mana identifikasi adalah penting dalam isu perlombongan atau penipuan permata, untuk menentukan sama ada bahan tersebut adalah tulen seperti yang didakwa oleh penjual.

Forensik biologi merangkumi aplikasi biologi dalam mahkamah, seperti DNA, protein, entomologi dan lain-lain.

Forensik entomologi merangkumi  pemeriksaan serangga di dalam, di luar atau di sekeliling mayat bagi membantu menentukan masa atau lokasi kejadian ataupun kematian mayat tersebut. Ia juga boleh digunakan untuk menentukan sama ada mayat tersebut telah diusik ataupun dipindahkan selepas kematian.

Forensik boleh dibahagikan ke dalam subdivisi seperti di bawah;

  1. Forensik seni melibatkan kes-kes pengesahan seni untuk membantu menyelidik kesahihan sesuatu kerja. Kaedah pengesahan Seni digunakan untuk mengesan dan mengenal pasti pemalsuan dan penyalinan karya-karya seni, contohnya lukisan.  
  2. Forensik komputasi melibatkan pembangunan algoritma dan perisian komputer untuk membantu pemeriksaan forensik. Sebaliknya, Forensik siber melibatkan peningkatan keselamatan maklumat, menyiasat kumpulan sasaran jenayah siber untuk mengumpul maklumat, menentukan kaedah pencegahan serta untuk membangunkan langkah-langkah tindak balas. Forensik siber menumpu kepada pembangunan dan penerbitan maklumat atau proses yang akan membantu melindungi sesuatu organisasi atau individu daripada jenayah siber, terutamanya yang berpotensi untuk menjana kerosakan yang ketara terhadap ekonomi. Walaupun kedua-dua bidang adalah berkaitan dengan sistem teknologi maklumat dan komputer, tetapi kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza.  
  3. Forensik digital adalah aplikasi  kaedah dan teknik saintifik yang telah terbukti untuk mengembalikaninformasi dari media elektronik / digital. Kepakaran forensik digital diaplikasikan di tempat kejadian dan juga di makmal.  
  4. Forensik Peranti mudah-alih adalah pemeriksaan saintifik dan penilaian bukti yang terdapat dalam telefon bimbit, contohnya rekod panggilan dan SMS yang terpadam, termasuklah Forensik Kad SIM. Ia adalah subdivisi forensik digital yang berkaitan dengan pemulihan bukti digital atau data daripada peranti mudah-alih di bawah syarat-syarat forensik.  
  5. Forensik perakaunan merupakan kajian dan penafsiran bukti perakaunan. Ia juga dikenali sebagai forensik kewangan di mana amalan khusus perakaunan melibatkan pertikaian atau tindakan undang-undang. Forensik kewangan terdiri daripada beberapa kategori seperti kerosakan ekonomi pengiraan, perlanggaran waranti, bankrapsi, insolvensi, dan penyusunan semula ogranisasi; penipuan sekuriti serta penilaian perniagaan.  
  6. Forensik audit adalah satu cabang forensik perakaunan, di mana pemeriksaan dan penilaian maklumat kewangan syarikat atau individu untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah. Forensik audit boleh dilaksanakan untuk mendakwa sesuatu pihak untuk penipuan, penyelewengan atau tuntutan kewangan yang lain. Di samping itu, audit boleh dijalankan untuk menentukan kecuaian atau kesahihan sokongan kewangan yang perlu dibayar oleh seseorang individu kepada isteri.  
  7. Forensik fotografi atau fotografi tempat kejadian, adalah seni yang memberi pandangan tepat sesuatu tempat kejadian atau kemalangan untuk memanfaatkan mahkamah atau membantu dalam siasatan. Ia adalah sebahagian daripada proses pengumpulan bukti dengan menyediakan penyiasat-penyiasat dengan gambar mangsa, tempat-tempat dan barang-barang yang terlibat dalam jenayah itu.  
  8. Forensik fotografi udara adalah kajian dan tafsiran bukti fotografi udara. Fotografi udara melibatkan pengambilan gambar-gambar di atas tanah dari kedudukan yang tinggi. Istilah ini biasanya merujuk kepada imej di mana kamera tidak disokong oleh struktur yang berada di atas tanah. Platform untuk fotografi udara termasuk wing air craft tetap, helikopter, belon, roket, layang-layang, payung terjun, teleskop automatik dan peralatan yang dipasang dengan tiang fotografi.  
  9. Forensik Botani merupakan forensik sains yang khusus untuk menyiasat bahan-bahan tumbuhan yang terlibat dalam jenayah seperti pembunuhan dan rompakan. Bahan tumbuhan yang ditemui di tempat kejadian jenayah itu disiasat oleh ahli botani forensik dan ahli biologi molekul untuk mengenal pasti individu yang mungkin telah bersentuhan dengannya. Walaupun ini adalah satu bidang yang agak baru yang melibatkan penggunaan saintifik bahan tumbuhan untuk membantu menyelesaikan sesuatu jenayah, namun bidang ini amat menarik dalam kajian botani.  
  10. Forensik kimia ialah kajian untuk mengesan dan mengenalpasti ubat-ubat haram, pemangkin yang digunakan dalam kes-kes kebakaran, letupan dan sisa-sisa tembakan. Forensik Kimia mengaplikasikan ilmu kimia dalam penguatkuasaan undang-undang atau kegagalan dalam fungsi ataupun proses sesuatu produk. Pelbagai kaedah analisis yang berlainan boleh digunakan untuk mendedahkan perubahan kimia yang berlaku semasa kejadian, dan untuk membantu membina semula turutan peristiwa-peristiwa. Forensik kimia adalah unik di kalangan sains kimia di mana penyelidikannya, amalan, dan persembahannya mesti memenuhi keperluan kedua-dua sains dan perundangan. Justeru, penyelidikan forensik kimia digunakan dan merupakan derivatif oleh alam semula jadi dan reka bentuk, dan ia memberi penekanan metodologi dan pengesahan.  
  11. Forensik daktiloskopi ialah kajian cap jari atau identifikasi cetak tangan, di mana proses ini membuat perbandingan dua keadaan kulit geseran rabung. Daktiloskopi adalah pemeriksaan yang dijalankan ke atas tanda cetakan dibuat dari hujung jari individu. Kaedah ini biasanya digunakan sebagai satu cara identifikasi oleh pihak polis dalam proses pengenal pastian penjenayah yang terbabit.  
  12. Forensik pemeriksaan dokumen menjawab soalan mengenai dokumen yang dipertikaikan dengan menggunakan pelbagai proses dan kaedah saintifik. Kebanyakan pemeriksaan melibatkan perbandingan dokumen ataupun  komponen dokumen itu dengan satu set piawai yang diketahui atau ditetapkan. Jenis yang paling biasa digunakan apabila pemeriksaan dilaksanakan melibatkan tulisan tangan, di mana pemeriksa cuba membuktikan  kesahihannya.  
  13. Analisis forensik DNA menggunakan keunikan DNA seseorang individu untuk menjawab soalan forensik dalam menentukan biologi bapa/ibu dan menentukan suspek di tempat kejadian, contohnya dalam kes rogol.  
  14. Forensik kejuruteraan adalah pemeriksaan saintifik dan analisis struktur dan produk yang berkaitan dengan kegagalan atau punca kerosakan terhadap harta benda atau kecederaan individu. Secara amnya, forensik kejuruteraan bertujuan untuk mencari punca atau sebab-sebab kegagalan bagi meningkatkan prestasi sesuatu komponen, ataupun untuk membantu mahkamah dalam menentukan fakta-fakta berkaitan dengan sesuatu kemalangan. Ia juga boleh melibatkan penyiasatan tuntutan harta intelek khususnya hak paten.  
  15. Forensik geofizik ialah kajian, carian, penempatan dan pemetaan objek tersembunyi di bawah tanah atau air dengan menggunakan teknik-teknik geofizik seperti radar untuk tujuan perundangan. Kaedah geofizik mempunyai potensi untuk membantu pencarian dan pemulihan sasaran ini tanpa membinasakan sasaran dan melaksanakan tugasnya dengan teliti untuk membuat penyiasatan di kawasan yang luas bagi menjangka lokasi suspek, pengebumian haram atau secara amnya, sasaran forensik yang tersembunyi di bawah tanah.  
  16. Proses Forensik risikan bermula dengan pengumpulan data dan berakhir dengan keputusan integrasi dalaman bagi analisis jenayah dalam siasatan. Masyarakat atau penjenayah serta penguatkuasa undang-undang hidup tanpa computer dalam era ini,. Bidang forensik risikan cuba menangani perkembangan ini dengan melakukan penyelidikan mengenai teknik-teknik baru untuk menyelesaikan jenayah dan untuk menyelesaikan jenayah yang diklasifikasikan baru.  
  17. Forensik temu bual yang dijalankan dengan menggabungkan sains dan kepakaran profesional untuk menjalankan pelbagai temubual penyiasatan dengan mangsa, saksi, suspek atau sumber-sumber lain untuk menentukan fakta-fakta, tuduhan atau insiden tertentu bagi kedua-dua sektor awam atau swasta.  
  18. Forensik limnologi adalah analisis bukti yang dikumpul dari kejadian jenayah di dalam atau di sekitar sumber air tawar. Pemeriksaan organisma biologi seperti diatom berguna dalam menghubungkan suspek dengan mangsa.  
  19. Forensik linguistik atau linguistik undang-undang adalah aplikasi pengetahuan linguistik, kaedah dan pandangan terhadap konteks forensik undang-undang, bahasa, penyiasatan jenayah, perbicaraan mahkamah, dan prosedur kehakiman. Ia merupakan cabang linguistik gunaan yang memerlukan kepakaran linguistik.  
  20. Forensik meteorologi adalah satu kajian cuaca yang digunakan dalam mengkonstruksi semula peristiwa cuaca bagi sesuatu masa yang tertentu, serta lokasinya. Bidang ini sering digunakan dalam kes-kes mahkamah termasuk pertikaian insurans, kes-kes kecederaan peribadi, dan penyiasatan pembunuhan.  
  21. Forensik odontologi atau Forensik pergigian merupakan kajian dan perbandingan keunikan gigi untuk mengenalpasti tulang-rusuk manusia yang dijumpai dengan menentukan umur, bangsa, pekerjaan, sejarah pergigian terdahulu dan status sosio-ekonomi manusia yang tidak dikenali.  
  22. Forensik optometri ialah kajian cermin mata dan peralatan mata lain yang berhubung dengan kejadian jenayah dan penyiasatan jenayah. Identifikasi iris adalah teknik yang unik dan merupakan sebahagian daripada forensik optometri.  
  23. Forensik patologi adalah satu bidang di mana prinsip-prinsip perubatan dan patologi digunakan untuk menentukan punca kematian atau kecederaan dalam konteks siasatan undang-undang.  
  24. Forensik podiatri adalah aplikasi kajian jejak kaki atau peralatan kaki dan jejak mereka untuk menganalisis tempat kejadian jenayah dan mewujudkan identiti peribadi dalam pemeriksaan forensik. Ia adalah sub-disiplin forensik sains di mana pengetahuan perubatan forensik digunakan bersama dengan pengetahuan anatomi, fungsi, kecacatan dan penyakit kaki, buku lali, dan keseluruhan tubuh manusia untuk memeriksa bukti  berkaitan dengan kaki dalam konteks siasatan undang-undang atau jenayah.  
  25. Forensik psikiatri merupakan bidang khusus psikiatri dan berdasarkan kriminologi saintifik. Pakar psikiatri forensik membuat penilaian kecekapan individu untuk dibicarakan, pertahanan berdasarkan penyakit mental atau kecacatan dan cadangan hukuman.  
  26. Forensik psikologi ialah kajian minda seseorang individu, dengan menggunakan kaedah forensik yang pada kebiasaannya untuk menentukan keadaan di sebalik tingkah laku jenayah.  
  27. Forensik seismologi ialah kajian teknik untuk membezakan isyarat seismik yang dihasilkan oleh letupan nuklear bawah tanah dengan yang dihasilkan oleh gempa bumi.  
  28. Forensik serologi ialah kajian dan pemeriksaan cecair badan seperti darah, air mani, air liur, peluh dan kotoran di tempat kejadian. Ahli-ahli serologi dengan ijazah sains forensik menggunakan data serologi untuk mengenalpasti kehadiran cecair badan di tempat kejadian jenayah dan mengaitkan mereka dengan seseorang individu atau sekumpulan orang.  
  29. Forensik toksikologi melibatkan kajian kesan dadah dan racun di dalam tubuh manusia untuk membantu penyiasatan perubatan atau undang-undang mengenai sesuatu kematian, keracunan, dan penggunaan dadah. Seseorang ahli forensik toksikologi mesti menentukan jenis bahan-bahan toksik yang berada di situ, kepekatan, dan kemungkinan kesan bahan kimia terhadap seseorang.  
  30. Forensik analisis video adalah peperiksaan saintifik, perbandingan dan penilaian video dalam hal-hal perundangan dan melibatkan kepakaran dalam litar tertutup kamera televisyen (CCTV) dan pengawasan video masa yang tertentu.  
  31. Kriminalistik adalah aplikasi pelbagai bidang sains untuk menjawab soalan yang berhubungan dengan pemeriksaan dan perbandingan bukti biologi, mengesan bukti, bukti kesan (seperti cap jari, jejak kasut, dan trek tayar), bahan terkawal, balistik, senjata api dan pemeriksaan toolmark, dan bukti-bukti lain dalam penyiasatan jenayah.  
  32. Analisis kesan bukti adalah analisis dan perbandingan kesan bukti termasuk kaca, cat, serat dan rambut yang dijumpai di tempat kejadian, kemudian digunakan sebagai bukti persekitaran dalam mahkamah. Analisis corak darah (BSA) adalah peperiksaan saintifik corak renjis darah yang ditemui di tempat kejadian jenayah untuk membina semula peristiwa-peristiwa jenayah. Kedua-dua analisis ini merupakan salah satu daripada beberapa kepakaran dalam bidang sains forensik.

Rujukan

  1. An Introduction to Forensic DNA Analysis. Keith Inman. 1997
  2. Crime Scene Investigation. Thomas F. Adams. 2000
  3. Forensic Psychology. Lawrence S. Wrightsman. 2000
  4. Oxford Dictionary, Edition 2013
  5. The American Heritage® Dictionary of the English Language, Fourth Edition copyright ©2000 by Houghton Mifflin Company. Updated in 2009
  6. Website : Wikipedia
Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Khoo Lay See
Akreditor : Dr. Ahmad Hafizam bin Hasmi
(Visited 1,022 times, 2 visits today)