Bertindik

PENGENALAN

  • Bertindik adalah keadaan di mana seseorang itu membuat lubang pada mana- mana anggota badan dengan menggunakan jarum, kemudian barang kemas (jewelry)seperti subang dimasukkan ke dalamnya.
  • Bahagian badan yang kerap ditindik adalah telinga, hidung dan pusat.
  • Anggota badan lain yang ditindik adalah puting payudara, bahagian genital (kemaluan), kening dan sebagainya.
  • Bertindik seperti bertatu (mencacah kulit) juga mempunyai risiko kesihatan.

 

RISIKO BERTINDIK

Kadar risiko bertindik dipengaruhi oleh bahagian mana anggota badan yang ditindik, peralatan yang digunakan dan juga bagaimana prosedur itu dilakukan. Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:

  • Sakit
  • Pengeluaran air liur berlebihan bagi mereka yang bertindik di lidah
  • Alahan pada barang kemas yang digunakan dan ini banyak bergantung kepada jenis logam yang digunakan
  • Jangkitan akut seperti bisul , jangkitan pada jantung bagi mereka yang menghidap penyakit jantung berlubang dan penyakit jantung rheumatik dengan kerosakan injap serta penyakittetanus (kancing gigi) sekiranya peralatan yang digunakan tercemar dengan kuman tersebut.
  • Jangkitan kronik seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV.
  • Kerosakan gigi dan gusi yang mungkin berlaku bagi mereka yang bertindik pada pipi dan mulut.
  • Keloid atau parut yang timbul pada mana – mana luka lama bagi mereka yang cenderung mendapatnya.

 

TINDAKAN KENDIRI

Jika anda membuat pilihan untuk bertindik, pastikan anda bertindik dalam keadaan selamat. Langkah – langkah yang perlu diambil sebelum bertindik:

  • Pastikan anda bertindik di tempat yang selamat dan bersih.
  • Penindik membasuh tangan dengan antiseptik terlebih dahulu sebelum melakukan prosedur tersebut.
  • Penindik menggunakan sarung tangan pakaibuang semasa menindik.
  • Peralatan yang digunakan hendaklah dibasmi kuman sekiranya penindik tidak menggunakan peralatan pakaibuang.
  • Penggunaan pistol penindik tidak digalakkan kerana ia tidak bebas dari kuman.
  • Pastikan jarum baru pertama kali digunakan untuk menindik.
  • Pastikan penindik mempunyai sistem pembuangan bahan terpakai dengan sempurna terutamanya jarum, dengan memasukkannya ke dalam bekas yang khas untuk buangan barangan tajam.
  • Pastikan barang kemas yang digunakan dibuat dari logam yang tidak toksik dan anda tidak alah kepada bahan tersebut. Contohnyaadalah keluli titanium, emas, niobium, platinum.

 

Langkah – langkah yang perlu diambil selepas bertindik:

  • Bersihkan tempat bertindik dengan sabun / pencuci bukan alkohol.
  • Jangan sentuh tempat yang ditindik tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.
  • Sekiranya anda bertindik di bahagian mulut; berkumurlah dengan ubat kumuran antibakteria tanpa alkohol.
  • Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mendapat jangkitan atau mengalami alahan untuk rawatan lanjut.

 

Semakan akhir : 3 Jun 2014
Penulis : Dr.Salmiah bt. Md. Shariff
Penyemak : Datin Dr. Zil Falillah bte. Mohd Said