A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Kanak-kanak
  6. /
  7. Bekalan Makanan Sihat Untuk...

Bekalan Makanan Sihat Untuk Kanak-Kanak Sekolah

Kanak-kanak menghabiskan tempoh masa yang lama di sekolah. Lazimnya, satu pertiga daripada keperluan nutrien harian akan dimakan di sekolah. Ini bermakna pengambilan makanan di sekolah penting untuk memenuhi keperluan harian kanak-kanak sekolah. Ia juga memberi kesan kepada tahap tenaga dan daya tumpuan kepada pelajaran serta mempengaruhi tabiat makan dan tumbesaran. Seorang ibu yang sibuk boleh mengimbangkan antara pemakanan sihat dengan makanan yang menarik untuk anak dengan menyediakan bekalan yang mengandungi lima jenis makanan utama seperti berikut:

  1. Hidangan utama (bagi kanak-kanak yang makan tengah hari di sekolah atau tidak sempat bersarapan)

    Sandwic sihat

    • Sandwic adalah popular kerana ia mudah dimakan dan disediakan.
    • Pilih roti penuh bijirin kerana ia mengandungi lebih serat.
    • Lapiskan sandwic dengan isi yang digemari oleh anak seperti ikan tuna atau sardin, keju, isi ayam yang dipanggang atau telur rebus yang dilecek dengan sedikit mayones.
    • Tambahkan sedikit sayur seperti timun, salad atau lobak.

    Nasi atau mi goreng

    • Selain daripada sandwic, makanan utama yang mudah dibawa ke sekolah ialah nasi atau mi/ mihun/ pasta goreng. Ia lazat dan digemari oleh kanak-kanak.
    • Tambahkan lebih sayur, telur, ayam atau daging dalam nasi atau mi goreng untuk menjadikan ia seimbang. Kurangkan penggunaan minyak berlebihan untuk menumis.
    • Hidangan panas mudah menjadi basi. Pastikan hidangan tidak dimasak terlalu awal. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan dalam bekas bekalan. Gunakan bahan mentah yang segar untuk membuat nasi goreng, pastikan nasi putih yang dimasak telah disimpan di dalam peti sejuk atau baru dimasak.
  2. Buah dan sayur

    Bekalkan juga buah segar seperti pisang, jambu, epal, lai atau limau. Ada kanak-kanak yang gemar sayur segar seperti lobak merah, timun dan sengkuang.

  3. Susu

    Minuman susu dalam kotak sama ada susu biasa atau berperisa harus menjadi bahan tetap yang dibekalkan ke sekolah. Ia mengandungi kalsium dan protein yang diperlukan oleh kanak-kanak. Pastikan bekalan susu dikendalikan dengan sempurna. Selepas minum, lebihan susu hendaklah dibuang untuk mengelak keracunan makanan.

  4. Snek berkhasiat untuk masa rehat

    Snek ringan juga adalah penting, terutama bagi waktu rehat. Bekalkan biskut, kek, sandwic atau kuih tempatan yang berkhasiat serta buah-buahan. Kurangkan pilihan snek yang manis, masin dan berlemak.

  5. Air kosong

    • Air kosong adalah minuman yang paling sesuai untuk kanak-kanak sekolah.
    • Minuman kordial dan air bergas mengandungi gula yang tinggi dan boleh mengurangkan selera dan menjejaskan pengambilan makanan berkhasiat jika diminum terlalu kerap.
    • Bekalkan air sejuk atau air yang dibekukan dalam bekas air yang dibungkus. Ia dapat mengekalkan suhu sejuk dan lebih digemari.

Bekalkan pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada makanan utama seperti sandwic atau nasi/mi goreng, buah, susu, snek ringan untuk masa rehat dan air kosong setiap hari untuk memastikan anak mendapat pemakanan yang seimbang di sekolah. Bagi anak yang susah makan, ajak dia sama-sama memilih atau menyediakan bekalan makanan. Ini mungkin dapat membantu membuka seleranya.

 

Semakan akhir : 19 April 2012
Penulis : Siti Mariam bt. Ali

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,632

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia