Bayi Pramatang Lewat

Siapakah bayi pramatang lewat?

  • Bayi pramatang lewat adalah bayi yang dilahirkan antara tempoh kandungan 34 minggu 0 hari hingga 36 minggu 6 hari.
  • Sementara bayi cukup bulan adalah bayi yang dilahirkan antara tempoh kandungan 37 minggu 0 hari hingga 41 minggu 6 hari

Apakah bayi pramatang lewat berpotensi mendapat masalah? :

  • Secara amnya kebanyakan bayi pramatang lewat didapati sihat selepas dilahirkan dengan berat badan yang menyerupai bayi cukup bulan. .
  • Oleh itu mereka selalunya mendapat rawatan yang sama seperti bayi cukup bulan
  • Kajian telah membuktikan bahawa bayi pramatang lewat mempunyai risiko penyakit dan kematian yang lebih tinggi berbanding dengan bayi cukup bulan.
  • Ini kerana kemampuan fungsi metabolik dan fisiologi yang kurang matang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran selepas kelahiran.
  • Antara masalah yang berkaitan dengan bayi pramatang akhir ialah:
    • Rendah suhu badan (hypothermia)
    • Rendah gula (hypoglycemia)
    • Gangguan pernafasan
    • Apnea (berhenti bernafas untuk tempoh tertentu)
    • Kekuningan / jaundis
    • Gangguan penyusuan
    • Lewat perkembangan

Apakah rawatan semasa di hospital?

  • Rawatan semasa dihospital bagi bayi pramatang lewat adalah sama seperti bayi bayi pramatang lain  (rujuk: Adakah bayi pramatang memerlukan rawatan khas)
  • Ramai daripada bayi-bayi ini yang sihat dan boleh bersama dengan ibu semasa pemantauan dibuat kebanyakan bayi pramatang lewat hanya memerlukan pemantauan di wad postnatal atau wad ibu bersama bayi.
  • Hanya segelintir yang memerlukan rawatan yang lebih rapi di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) atau Nurseri Jagaan Khusus (SCN)
  • Pemantauan tahap kesihatan bayi pramatang lewat ini perlu dibuat secara berterusan semasa pesakit berada di hospital dan selepas pulang ke rumah, terutamanya sehingga bayi mencapai umur cukup bulan
  • Garis panduan dan nasihat mengenai pemantauan bayi pramatang lewat semasa di rumah perlu diberikan kepada ibu bapa sebelum bayi dibenarkan pulang

Bilakah bayi pramatang lewat boleh dibenarkan pulang ke rumah?

  • Secara umumnya bayi pramatang lewat boleh dibenarkan pulang sekiranya sepanjang pemantauan di dalam hospital bayi didapati mampu mengekalkan suhu badan , pernafasan, penyusuan dan kumuhan,juga paras gula yang normal,

Bolehkah kelahiran bayi pramatang lewat dielakkan?

  • Kaedah pencegahan sama seperti kelahiran pramatang awal.

Rujuk: Bayi Pramatang/ bolehkah sesuatu kelahiran pramatang dielakkan?

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Radhiah bt Abdul Bakar
Akreditor : Dr Irene Cheah Guat Sim
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar