Home > Umum > Forensik > Barangan Peribadi Mereka – Tanggungjawab Kami

Barangan Peribadi Mereka – Tanggungjawab Kami

 

Pengenalan

Barangan peribadi pesakit/si mati boleh di definasikan sebagai, segala barangan/harta benda kepunyaan atau milik pesakit/si mati tersebut terutama barangan yang di bawa(berada bersama) ketika pesakit/si mati di bawah tanggungjawab pengurusan pihak hospital. Ini termasuklah, pengenalan diri, barangan kemas serta pakaian.

Secara umum, perkhidmatan asas bagi Jabatan Perubatan Forensik adalah menguruskan jenazah/si mati iaitu bermula dari pendaftaran masuk hinggalah penyerahan jenazah kepada waris yang betul.

Pendaftaran/ Penerimaan Jenazah

Jabatan Perubatan Forensik menerima jenazah dari 2 sumber utama iaitu dari dalam hospital (wad atau jabatan kecemasan) dan dibawa oleh pihak polis.

Pada kebiasaannya, bagi jenazah yang meninggal dunia di wad atau jabatan kecemasan, kesemua barangan peribadi si mati diserahkan kepada waris mereka sebelum jenazah di bawa ke jabatan perubatan forensik. barangan peribadi jenazah diserahkan kepada waris semasa di wad atau di bilik daftar masuk. Manakala bagi jenazah/mayat yang di bawa oleh pihak polis, barangan peribadi si mati akan di serahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik semasa pendaftaran masuk ke Jabatan.

Pengurusan Jenazah/Mayat

Seterusnya, jenazah yang didaftarkan di Jabatan Perubatan Forensik boleh di kelaskan kepada medikolegal dan bukan medikolegal. Bagi kes medikolegal, bedah siasat perlu dijalankan sebelum jenazah di serahkan kepada waris sebaliknya, bagi kes bukan medikolegal, jenazah akan diserahkan terus kepada waris tanpa perlu bedah siasat.

Sebelum bedah siasat dijalankan, Pegawai Perubatan akan menjalankan pemeriksaan luaran terhadap mayat terlebih dahulu, di mana semua barangan peribadi pada mayat tersebut akan di catat di dalam deraf post mortem dan di ambil gambar sebagai rekod.

Seterusnya, setelah selesai bedah siasat dijalankan, barangan jenazah akan diuruskan oleh seorang pegawai yang bertanggungjawab, untuk proses pembungkusan dan penyerahan kepada pihak polis dan waris.

Terdapat 2 kategori barangan peribadi jenazah, iaitu yang di perlukan untuk membantu dalam siasatan pihak polis (medikolegal spesimen) atau lebih dikenali sebagai bahan bukti manakala satu lagi adalah yang tidak melibatkan kes polis.

Proses Pembungkusan

Setelah menerima semua barangan peribadi si mati, proses seterusnya adalah proses pembungkusan barangan tersebut satu pesatu dan kemudian akan dilabelkan dengan butiran berikut:

  1. Nama si mati
  2. No. Pendaftaran
  3. No. Report polis
  4. No. Bedah siasat (jika kes bedah siasat)
  5. Keterangan barangan

Pembungkusan perlu di jalankan dengan cermat supaya barangan tersebut tidak rosak dan di terima oleh waris dengan keadaan baik. Bagi kes medikolegal pula, pembungkusan barangan peribadi adalah mengikut prosedur kerja yang telah di tetapkan oleh jabatan bagi mengelakkan kontaminasi bersilang. Kontaminasi bersilang ini akan menyebabkan barang bukti tersebut tidak akan di terima di mahkamah.

Proses penyimpanan

Sekiranya jenazah tersebut terus di tuntut oleh waris, maka barangan tersebut akan di serahkan kepada waris tersebut semasa proses penyerahan jenazah, tetapi jika waris atau pihak polis mengambil masa yang lama untuk menuntut mayat tersebut, maka barangan peribadi si mati akan di simpan dalam kabinet berkunci di mana hanya penyelia sahaja yang boleh mengakses kabinet tersebut. Oleh itu, segala kehilangan barangan peribadi si mati adalah tanggungjawab penyelia.

Proses penyerahan

Ini merupakan proses di mana barangan peribadi si mati akan diserahkan kepada waris dan/atau kepada pihak polis. Bagi mengekalkan rantaian bahan bukti, proses penyerahan ini memerlukan bukti serahan di mana borang serahan akan di sediakan oleh pihak jabatan. format bagi borang serahan untuk setiap hospital tidak sama namun butiran yang perlu ada ialah:

  1. Nama si mati
  2. Senarai barang-barang si mati
  3. Nama penyerah
  4. Nama penerima
  5. Tarikh

Waris dan pihak polis akan di minta untuk membuat pemeriksaan terhadap barangan tersebut sama ada ianya padan dengan senarai di dalam borang yang telah di sediakan.

Jika semua barangan tersebut cukup, kedua-dua pihak (penyerah dan penerima) perlu menurunkan tanda tangan pada borang tersebut.

>> Carta Alir Pengurusan Harta Peribadi Si Mati

Kesimpulan

Apabila si mati/ jenazah didaftarkan di Jabatan Perubatan Forensik, maka harta benda si mati/ jenazah adalah bawah tanggungjawab jabatan. Objektif pengurusan harta benda si mati adalah bagi memasti waris menerima harta benda tersebut dalam keadaan yang baik (sebagaimana ia sampai di jabatan perubatan forensik) manakala bagi pihak polis pula, mereka menerima harta benda tersebut (spesimen medikolegal) mengikut prosedur yang betul.

Rujukan

  1. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 10/2012 Standard Operating Procedures of Forensic Medicine Services : No. Rujukan KKM87/P1/34/8 Jld 4 (76) bertarikh 22 Februari 2012
  2. Prosedur Operasi MS ISO 9001:2008 PENGURUSAN HARTA BENDA PESAKIT

 

Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Mohd Faizul bin Abd Wahab
Akreditor : Dr. Sharifah Safoorah bt. Syed Alwi Al Aidrus