A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Bantuan Untuk Pesakit Ortopedik

Bantuan Untuk Pesakit Ortopedik

BANTUAN BAGI RAWATAN PENYAKIT ADOLESCENT IDIOPATHIC SCOLIOSIS (AIS)

Pengenalan

Skoliosis adalah tulang belakang yang bengkok di tepi. Ia adalah satu keadaan tulang belakang yang membengkok secara berlebihan pada arah yang tidak betul atau tidak berada dalam keadaan normal. Jika dilihat dalam gambar x-ray, tulang belakang adalah bentuk ‘S’, bukan berbentuk lurus. Selalunya, tulang belakang yang bengkok ini tidak sakit pada usia remaja dan belia. Kesakitan selalunya berlaku ketika alam dewasa jika tidak dirawat. Aduan utama pesakit adalah kecacatan bentuk badan. Tanda-tanda lain termasuk penstrukturan otot belakang yang tidak sama rata, penonjolan tulang bahu, aras pinggul dan bahu yang tidak sama antara kanan dan kiri, kedudukan atau saiz payudara yang tidak sama, panjang jarak tangan di sisi badan kiri dan kanan tidak sama dan baju yang dipakai kelihatan senget. Jika dibiarkan tanpa rawatan, penyakit skoliosis yang teruk akan menyebabkan sakit belakang yang berpanjangan, kecacatan bentuk badan dan kesukaran bernafas.

Kesan Kepada Pesakit

Pesakit yang menghidap skoliosis akan mengalami perubahan pada bentuk fizikal. Keadaan ini menyebabkan wujud perasaan rendah diri dan malu terhadap pesakit kerana keadaan fizikalnya tidak sama dengan rakan sebaya. Keadaan ini boleh menjejaskan hubungan sosial pesakit dengan orang di sekelilingnya. Selain itu, ia juga boleh memberi kesan terhadap aspek kesihatan seperti kesukaran bernafas, kesukaran melakukan kerja-kerja rumah atau kerja-kerja berat, sukar tidur, sakit pada bahagian belakang badan, rasa lemah pada kaki atau masalah pada sistem pembuangan air besar.

Kaedah Rawatan

Terdapat kes skoliosis tidak memerlukan sebarang rawatan khusus. Tetapi, ada juga kes skoliosis yang perlu menggunakan alat sokongan iaitu ‘brace’ bagi membetulkan kedudukan tulang belakang. Secara umumnya, setiap pesakit perlu menghadiri temujanji dan melakukan pemeriksaan berkala oleh pegawai perubatan.

Berdasarkan Altaf .et al. (2013), faktor-faktor yang meramalkan perkembangan keluk bengkok tulang belakang termasuk tempoh matang (umur ketika di diagnosis dan jumlah pertumbuhan tulang yang tinggal), saiz keluk dan kedudukan puncak keluk. Pembedahan adalah disyorkan di kalangan remaja yang mempunyai lengkung sudut Cobb lebih daripada 45°- 50°.

Perbezaan Kedudukan Tulang Belakang.

Sumber : ADAM

Punca terjadinya skoliosis masih belum dapat dipastikan dan terdapat juga teori yang menyatakan ia mungkin berpunca daripada masalah genetik, masalah kolagen atau hormon yang tidak stabil. Kes-kes skoliosis ini disedari oleh orang terdekat apabila melihat keadaan fizikal pesakit yang membengkok serta kerap mengadu susah bernafas, cepat letih dan rasa kebas atau lemah pada bahagian kaki.

Pakar perubatan atau pegawai perubatan juga akan menjalankan pemeriksaan x-ray bagi mengetahui tahap skoliosis pesakit. Melalui pemeriksaan x-ray, pakar atau pegawai perubatan akan menentukan kedudukan tulang belakang yang bengkok, menentukan arah tulang yang bengkok dan mengira magnitude darjah kebengkokkan tulang belakang dengan menggunakan kaedah ‘Cobb’s Angle’.

Pengiraan ‘Cobb’s Angle’
Sumber: Spine Secrets, Vincent J. Devlin

Bagi kes-kes pesakit yang telah disahkan mengidap skoliosis dengan tahap kelengkungan melebihi 40 darjah yang boleh mengganggu fungsi paru-paru dan jantung serta disyorkan oleh pakar perubatan perlu menjalani rawatan pembedahan. Rawatan tersebut perlu bagi menstabilkan kedudukan tulang belakang. Rawatan diperlukan bukan sahaja untuk meningkatkan taraf kesihatan, ia juga penting untuk memulihkan emosi pesakit dan waris. Dengan menstabilkan tulang belakang, ia akan menimbulkan keyakinan kepada pengidap skoliosis terutama kepada remaja kerana fizikal akan kelihatan normal. Pembedahan yang dijalankan melibatkan prosedur menstabilkan tulang belakang untuk menyamai tulang belakang yang normal melalui pembedahan secara ‘anterior’ atau ‘posterior’ atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan implan dan ‘bone graft’.

Perbezaan Sebelum Dan Selepas Rawatan Pembedahan

Perkhidmatan Oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan

Kos untuk membiayai pembelian implan agak mahal iaitu anggaran harga yang melebihi RM20,000.00, dan telah menjadi beban kepada penjaga atau waris terutama kepada mereka dari golongan pendapatan rendah dan tidak berkemampuan. Kekangan kewangan boleh mengakibatkan pesakit tidak dapat menjalani rawatan yang sewajarnya. Jika ini berlaku, kualiti hidup pesakit akan menurun dan emosi penjaga juga turut terjejas seperti berada dalam keadaan bimbang tentang implikasi kesihatan serta masa depan pesakit.

Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan di hospital, institusi dan klinik kesihatan adalah untuk memberikan bantuan psikososial kepada pesakit dan/ atau waris. Bantuan psikososial ini melibatkan penilaian biopsikososial yang perlu dijalankan ke atas pesakit dan / atau waris oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan sebelum intervensi bantuan praktik dan intervensi bantuan terapi sokongan diberikan.

Proses intervensi kerja sosial perubatan memfokuskan kepada tiga proses utama iaitu kerja kes, kerja kumpulan dan kerja komuniti. Intervensi bantuan praktik melibatkan aspek bantuan kewangan (pembelian peralatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, membiayai kos rawatan atau bantuan am), penempatan institusi dan mengesan waris. Bantuan praktik ini diberikan kepada pesakit akut dan kronik.

Pengurusan kes bantuan praktik ini memerlukan jaringan kerjasama dengan pelbagai disiplin profesion perubatan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sumber komuniti setempat.

Kelayakan Pemohonan Bantuan

Secara umumnya, setiap permohonan adalah tertakluk kepada kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pemberi bantuan. Berikut adalah beberapa syarat umum untuk permohonan tersebut:

  1. Pesakit adalah warganegara Malaysia.
  2. Pesakit mestilah mendapat rawatan di hospital kerajaan.
  3. Pesakit dari golongan miskin atau kurang mampu.

Sumber Bantuan

Pegawai kes akan membuat permohonan bantuan kewangan kepada agensi yang berkaitan berdasarkan kelayakan pesakit. Antara agensi yang terlibat adalah agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGOs). Jumlah bantuan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh pihak-pihak berkenaan.

Dokumen Yang Diperlukan

Setiap permohonan perlu dikemukakan bersama dokumen sokongan dan hanya akan diproses setelah semua dokumen berkaitan dikemukakan oleh pesakit dan perujuk. Dokumen sokongan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Salinan kad pengenalan
  2. Salinan penyata gaji
  3. Laporan Pegawai Perubatan / Pakar atau surat pengesahan rawatan
  4. Sebut harga peralatan yang diperlukan
  5. Dokumen-dokumen lain yang diperlukan mengikut tatacara yang ditetapkan agensi berkaitan.

Rujukan

  1. Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia. 2014. Tabung Bantuan Perubatan. http://finance.moh.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=275&Itemid=272&lang=en.html [13 Ogos 2014].
  2. Dr. Nazrila Hairizan bt. Nasir. 2012. Skoliosis. MyHealth Ministry of Health Malaysia. http://myhealth.moh.gov.my/index.php/en/skoliosis.html [13 Ogos 2014].
  3. Farhaan Altaf, Alexander Gibson, Zaher Dannawi dan Hilali Noordeen. 2013. Adolescent Idiopathic Skoliosis. Volume 346. Clinical Riview [13 Ogos 2014].
  4. MedlinePlus. 2014. Scoliosis. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001241.html [15 Ogos 2014].
  5. Medicinenet.com. 2014. Scoliosis. http://www.medicinenet.com/scoliosis/article.html [15 Ogos 2014].
  6. Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia. 2014. Perkhidmatan Bantuan. http://www.msw.org.my/html [10 Ogos 2014].
  7. Portal1Klik. 2008. Tabung Bantuan Perubatan. http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/isu-nasional/198-bantuan-dan-subsidi-kerajaan/526-tabung-bantuan-perubatan.html                   [14 Ogos 2014].
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : En. Mohd Sahriman B. Ariffin
Akreditor : En. Abd Halim Bin Jamil

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,806

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia