Home > Dewasa > Kerja Sosial Perubatan > Bantuan Kepada Pesakit Strok Terlantar

Bantuan Kepada Pesakit Strok Terlantar

Pengenalan

Serangan strok biasanya meninggalkan kesan yang besar kepada pesakit dan ahli keluarga mereka. Bagi penderita strok, kesan perubahan akibat strok tidak hanya tertumpu terhadap perubahan fizikal yang perlu diuruskan melalui rawatan dan pemulihan, tetapi juga perubahan terhadap kesan emosi,  psikologi dan sosial yang juga perlu ditangani.

Pesakit mungkin akan mengalami perubahan dari segi hidup seperti kehilangan maruah, rasa kehilangan “peranan” dalam keluarga, pengasingan sosial, perubahan perasaan seperti cepat marah dan sedih, kemurungan, masalah dengan kognisi dan komunikasi.

Kesan strok kepada ahli keluarga tidak kurang hebatnya. Ia dianggap sebagai satu bencana yang perlu mereka hadapi terutamanya tentang realiti baru mengenai kedudukan pesakit dalam keluarga, ketidaktentuan dan kebimbangan mengenai masa depan dan kedudukan kewangan yang perlukan pengubahsuaian perbelanjaan.

Proses pemulihan pesakit strok merupakan jalan yang panjang, sukar, mengecewakan dan memerlukan kesabaran yang tinggi di kalangan mangsa-mangsa strok, pasukan perubatan dan keluarga ataupun penjaga mereka.

Satu pelan yang menyeluruh berkenaan temu janji rawatan dan program pemulihan pesakit strok perlu dirangka oleh pasukan perubatan pelbagai disiplin termasuk Pegawai Kerja Sosial Perubatan bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan pesakit strok berjalan lancar.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan

Pegawai Kerja Sosial Perubatan adalah salah seorang anggota pasukan pelbagai disiplin yang terlibat dalam proses rawatan, pemulihan dan penjagaan pesakit strok. Pegawai Kerja Sosial Perubatan bukan sahaja memahami mengenai masalah fizikal pesakit strok tetapi juga memahami tentang kesan-kesan psikologi, sosial dan emosi pesakit strok.

Peranan Pegawai Kerja Sosial perubatan di Hospital adalah seperti berikut:

1. Membuat Penilaian Biopsikososial

Satu penilaian biopsikososial yang menyeluruh akan dibuat oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan untuk mengenalpasti masalah dan keperluan pesakit. Penilaian untuk penjaga juga akan dibuat bagi menilai kemampuan penjaga apabila pesakit strok keluar dari hospital dan pulang ke rumah.

2. Memberi Khidmat Sokongan Terapi

Pesakit strok biasanya akan mengalami gangguan emosi atas masalah yang disebabkan oleh penyakit strok. Sedih, bimbang, perasaan cemas, marah, tidak menerima penyakit yang dihidapi adalah beberapa gejala yang akan melambatkan proses pemulihan.

Sesetengah pesakit strok akan mengalami gangguan kemurungan utama yang perlu didiagnosa dan dirawat secepat mungkin. Sekiranya ini berlaku, ahli keluarga ataupun penjaga mereka perlu mendapatkan bantuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan supaya sokongan terapi atau kaunseling dapat diberikan secepat mungkin.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan bersedia mendengar luahan pesakit strok dengan cara yang tenang dan tidak menghukum. Membolehkan mereka mencari kelegaan dan berkongsi masalah yang dihadapi oleh pesakit strok.

Diharapkan pesakit strok  akan beransur-ansur mengatasi halangan-halangan psikologi yang mungkin melambatkan pemulihan mereka secara keseluruhan.

Sokongan terapi juga diberikan kepada ahli keluarga yang mempunyai masalah untuk menghadapi atau menyesuaikan diri dengan tanggungjawab dan perubahan gaya hidup dalam menjaga seorang pesakit strok.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga boleh memberikan panduan dan nasihat untuk mendapatkan pelbagai bantuan dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi pendaftaran orang kurang upaya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meliputi pelbagai manfaat keilatan dan sebagainya.

3. Memberi Khidmat Bantuan Praktik

Pegawai Kerja Sosial Perubatan mempunyai pengetahuan yang luas tentang sumber-sumber yang terdapat dalam komuniti dan berupaya untuk menasihati pasukan perubatan dan pesakit mengenai apakah bantuan yang boleh diperolehi bagi pesakit dan keluarganya. Bantuan praktik yang biasa diperlukan pesakit strok terlantar adalah dalam bentuk alat-alat sokongan perubatan, bantuan saradiri dan bantuan penjagaan di rumah atau institusi penjagaan selepas keluar dari hospital.

Alat-alat sokongan perubatan yang biasa diperlukan pesakit strok adalah seperti kerusi roda, commode chair, ripple mattress, lampin pakai buang dan sebagainya. Kos alat-alat perubatan ini adalah tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh pesakit.

Pegawai kerja sosial perubatan akan mendapatkan bantuan kewangan bagi membantu pesakit membeli alat-alat perubatan yang diperlukan bagi memudahkan penjagaan pesakit semasa di rumah. Bantuan juga diberi bagi pesakit yang memerlukan susu khas sebagai ganti pemakanan mereka yang terjejas akibat strok.

Sumber kewangan yang biasa boleh membantu pesakit adalah seperti Tabung Bantuan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (TBPKKM), Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, (TKPM) Lembaga Zakat Negeri dan sebagainya.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga berperanan membuat penilaian tentang opsyen penjagaan alternative pesakit strok terlantar. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan mendapatkan pandangan daripada pasukan pelbagai disiplin dan berbincang dengan pesakit dan penjaga cara terbaik untuk memenuhi keperluan penjagaan semasa discaj dari hospital.

Adalah penting untuk Pegawai Kerja Sosial Perubatan sedar akan keupayaan keluarga pesakit semasa mencadangkan penjagaan alternatif yang sesuai sama ada dijaga sendiri di rumah atau ditempatkan di nursing home (kerajaan atau swasta).

Pegawai kerja sosial perubatan juga akan membuat penilaian kemampuan kewangan keluarga menjaga pesakit strok terlantar. Bagi keluarga yang tidak mampu akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mendapatkan elaun menjaga pesakit terlantar.

Dengan bantuan ini bolehlah keluarga menggunakannya untuk membuat proses pemulihan seperti dengan mendapatkan khidmat fisioterapi atas panggilan untuk datang ke rumah pesakit.

4. Mendapatkan Sokongan Sosial

Pegawai Kerja Sosial Perubatan boleh merujuk kepada agensi-agensi sukarela seperti Persatuan Strok Kebangsaan (NASAM) untuk memberi sokongan sosial semasa di rumah. Program Khidmat Bantu Di Rumah di bawah 1 Malaysia Family Care kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga boleh dihubungkan bagi memberi sokongan sosial kepada pesakit strok terlantar dan keluarganya di kalangan warga emas semasa di rumah.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga boleh menggalakkan keluarga pesakit strok untuk terlibat dalam Kelab strok iaitu perkumpulan bagi orang yang terjejas oleh strok.

Keahlian dalam kelab seperti ini akan membolehkan keluarga pesakit berkongsi pengalaman dan mengambil bahagian dalam perjalanan dan aktiviti-aktiviti yang membantu pemulihan pesakit strok terlantar.

5. Membuat Khidmat Susulan Kes

Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan membuat lawatan susulan ke rumah pesakit bersama ahli pasukan rawatan multidisiplin pada tempoh tertentu untuk memantau dan mengkaji semula apa-apa perkhidmatan yang telah diberikan. Pegawai Kerja sosial perubatan juga boleh dihubungi di antara tempoh masa lawatan susulan ini jika pesakit mempunyai apa-apa isu atau kebimbangan.

Sebaik sahaja pesakit telah di discaj, Pegawai Kerja Sosial Perubatan hospital akan kekal terlibat untuk tempoh masa yang tertentu membantu pesakit sebelum Pegawai Kerja Sosial Perubatan di komuniti mengambil alih tanggungjawab ini. Pesakit akan dimaklumkan mengenai pertukaran itu dan diberikan penerangan mengenai bidang tugas Pegawai Kerja Sosial Perubatan di komuniti yang terlibat.

Pertubuhan Sokongan Komuniti

National Stroke Association Of Malaysia (NASAM) No.12, Jalan 7/2, 46050 Petaling Jaya, Selangor Telefon : 03-7956 4840 / 7956 1876 (Nota : NASAM mempunyai cawangan di Ampang, Penang, Perak, Malacca, Johor, Kuantan dan Sabah)

Rujukan

  1. US Agency for Health care Research and Quality (1995). Recovering After a Stroke: A Patient and Family Guide, AHCPR Publication No. 95-0664: May 1995
  2. Scottish Intercollegiate Guidelines Network (2002), Management of Patients with Stroke, Rehabilitation, Prevention and Management of Complications and Discharge Planning, 9 September, 2013 from http://www.carerscotland.org
  3. National Stroke Association (2006), Recover After Stroke: Social support, 14 September, 2013 from http://www.stroke.org
  4. National Stroke Association Of Malaysia, Apa Itu Strok, 19 September, 2013 from http://www.nasam.org
Semakan Akhir : 22 Disember 2014
Penulis : En. Harolhanam Bin Mohamed Wahid
Akreditor : Pn. Durin Edward