A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Bantuan Kepada Pesakit Kanser

Bantuan Kepada Pesakit Kanser

Bagi membantu pesakit serta keluarga menangani situasi yang dihadapi dengan cara terbaik, mereka sering dirujuk ke Pegawai Kerja Sosial Perubatan. Ini bagi memastikan perkhidmatan sokongan dan bantuan yang sewajarnya disediakan sebagai pelengkap kepada proses rawatan. Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit dewasa mahupun kanak-kanak.

Pengenalan

Pesakit yang disahkan mengalami penyakit kanser akan mengalami pelbagai perubahan dalam hidupnya. Perubahan tersebut disebabkan oleh penyakit kanser itu sendiri dan juga rawatan yang diberikan. Diagnosis penyakit kanser itu sendiri boleh menyebabkan seseorang berasa tertekan dan pemikirannya buntu. Rawatan penyakit kanser pula boleh mengakibatkan beberapa perubahan kepada seseorang merangkumi perubahan fizikal, mental, sosial dan ekonomi. Setiap orang yang menerima diagnosis kanser akan menangani situasi tersebut dengan cara tersendiri, bergantung kepada daya tahan diri seseorang itu. Begitu juga dengan ahli keluarga pesakit kanser, mereka juga akan menghadapi tekanan. Bagi membantu pesakit serta keluarga menangani situasi yang dihadapi dengan cara terbaik, mereka sering dirujuk ke Pegawai Kerja Sosial Perubatan. Ini bagi memastikan perkhidmatan sokongan dan bantuan yang sewajarnya disediakan sebagai pelengkap kepada proses rawatan. Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit dewasa mahupun kanak-kanak.

Cabaran Pesakit Kanser

Seseorang yang menghidap kanser perlu menghadapi pelbagai cabaran dalam hidupnya. Cara seseorang menangani cabaran tersebut bergantung kepada sistem kepercayaan individu, etnik serta sumber sokongan yang sedia wujud. Antara cabaran yang sering dihadapi oleh pesakit dewasa serta kanak-kanak ialah:

  • Perubahan pada rupa paras yang boleh menyebabkan seseorang menyendiri dan enggan bergaul.

Rajah 1: Rambut Gugur Akibat Kimoterapi

  • Menghadapi tekanan akibat perubahan yang dialami dan kesukaran berkongsi masalah dengan ahli keluarga.
  • Kesukaran meneruskan usaha menjana pendapatan.
  • Masalah menanggung kos pembelian peralatan perubatan, susu serta ubat untuk menjalani rawatan.

Rajah 2: Antara Peralatan Yang Dibelanjakan

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan

Pegawai Kerja Sosial Perubatan bertugas di hospital untuk membantu semua pesakit daripada pelbagai aspek. Perkhidmatan yang disediakan adalah berbentuk terapi sokongan serta bantuan praktik. Bagi pesakit yang disahkan menghidap kanser terdapat beberapa aspek yang diberi tumpuan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan. Aspek tersebut adalah seperti berikut :-

  • Meningkatkan Kualiti  Hidup

Pegawai Kerja Sosial Perubatan yang bertugas di hospital akan membantu pesakit menangani masalah kesihatan yang dialami dengan sewajarnya. Pengetahuan serta kemahiran seseorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan tertumpu ke arah membantu meningkatkan kualiti hidup seseorang pesakit. Selain daripada itu, perasaan takut yang dihadapi oleh pesakit akan ditangani juga. Intervensi yang disediakan diharap akan membuka ruang untuk pesakit bersikap lebih positif terhadap potensi pemulihan mengikut keadaan. Semoga pesakit dapat mengikuti rawatan yang dirancang dengan jayanya. Bagi pesakit kanak-kanak, usaha dijalankan untuk membolehkan mereka mengikuti pelajaran agar mereka tidak ketinggalan. Selain daripada itu, aktiviti lain dianjurkan bersama badan-badan bukan kerajaan serta sukarelawan untuk menceriakan suasana ketika menerima rawatan.

  • Menangani Perubahan Peranan

Isu lain yang sering dikendalikan adalah persediaan kepada perubahan peranan. Sering kali mereka yang menjalani rawatan kanser akan menghadapi kesukaran untuk memainkan peranan atau menjalankan tanggungjawab seperti mana yang pernah dilakukan. Contohnya seorang ibu mungkin tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada keperluan keluarga dan anak atau untuk menjaga ibu bapanya yang uzur ketika beliau menjalani rawatan. Pegawai Kerja Sosial Perubatan boleh berbincang dengan ahli keluarga tentang perubahan peranan yang kemungkinan akan berlaku.  

 

Rajah 3: Sokongan diperlukan Ini akan membantu pesakit serta keluarga membuat persediaan yang sewajarnya agar mereka dapat menangani perubahan tersebut. Persediaan awal akan membolehkan pesakit menjalani rawatan yang diperlukan tanpa gangguan. Ini akan meningkatkan potensi pemulihan, bergantung kepada jenis dan tahap kanser tersebut.

  • Mengenalpasti Sumber Dalam Komuniti

Menghubungkan pesakit dengan sumber – sumber yang ada dalam komuniti adalah salah satu peranan  penting yang dimainkan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan. Sumber yang dimaksudkan ialah agensi – agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan kepada pesakit kanser. Bantuan yang disediakan oleh agensi tersebut berbentuk sokongan emosi dan bantuan kos pembelian peralatan serta ubat – ubatan. Sering kali seseorang pesakit kanser menghadapi tekanan dan kebimbangan, malah ahli keluarga lain juga menghadapi tekanan. Oleh sebab itu, agensi dalam komuniti yang menyediakan perkhidmatan kumpulan sokongan dan bimbingan memainkan peranan yang amat penting. Khidmat kumpulan sokongan dan bimbingan akan membantu pesakit kanser berkongsi pengalaman dan juga menimba kekuatan bagi menghadapi proses rawatan. Rawatan kanser juga ada kalanya melibatkan perbelanjaan besar bagi ubat-ubat khas dan juga pembelian alat – alat pemulihan yang lain. Kos tersebut kadang – kala tidak dapat ditanggung oleh pesakit. Oleh sebab itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan berusaha untuk membantu pesakit kanser memperolehi peralatan dan ubat tersebut daripada agensi – agensi dalam komuniti, agar pesakit bukan sahaja dapat menjalani proses rawatan dengan sewajarnya tetapi dapat menjalani proses pemulihan dengan sebaiknya.

Bagaimana Anda Mendapat Perkhidmatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan

Sekiranya pesakit kanser inginkan perkhidmatan seorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan, sila maklumkan kepada Pegawai Perubatan yang merawat. Pegawai Perubatan akan merujuk pesakit tersebut ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan mengaturkan pertemuan dengan pesakit kanser serta keluarganya untuk membincangkan perkhidmatan yang diperlukan. Pertemuan itu akan diadakan di Jabatan Kerja Sosial Perubatan atau ruang yang sesuai di wad bagi membolehkan pesakit berkongsi maklumat serta kebimbangannya secara sulit (confidential). Maklumat yang dikongsi bersama Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan digunakan untuk mengenalpasti dan mengutarakan perkhidmatan yang diperlukan oleh pesakit serta keluarganya. Pesakit akan dimakluman tentang agensi yang akan dihubungi dan bantuan atau perkhidmatan yang dipohon. Perkhidmatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan disediakan pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. Pastikan borang rujukan daripada Pegawai Perubatan dilengkapkan sebelum memohon perkhidmatan daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan.

Rujukan

  1. http://www.cancer.org.my/
  2. Rajah: http://4.bp.blogspot.com/gugur+rambut+akibat+rawatan+kemoterapi.png
  3. Rajah: http://www.oxygenconcentratormachine.com/RespironicsEverfloQ.html
  4. http://www.cafemlm.com/
  5. http://www.tenhoo-med.com/
Semakan Akhir : 6 Jun 2014
Penulis : Naomi Anne Masilamany
Akreditor : Durin Edward

Artikel Berkaitan

Rawatan Fisioterapi Bagi Hemofilia

Hemofilia boleh menyebabkan pendarahan berpanjangan atau spontan, khususnya dalam otot, sendi atau organ dalaman, yang bukan sahaja menyebabkan kesakitan, tetapi juga kerosakan teruk pada sendi, kurang upaya dan juga kematian awal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,101,900

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia