Home > Umum > Forensik > Bahaya Dalam Praktis Forensik

Bahaya Dalam Praktis Forensik

Berhati-Hati! Bahaya Dalam Praktis Forensik

Pengenalan

Bahaya merupakan perkataan yang sinonim dengan kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja. Bahaya ini boleh ditafsirkan sebagai sesuatu sumber potensi kecederaan atau kesan buruk kepada individu atau sekumpulan individu.

Kategori Bahaya

Bahaya disebabkan oleh banyak sumber atau punca. Sebarang bahan, proses kerja, praktis dan sebagainya adalah contoh-contoh bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan atau kesan buruk terhadap kesihatan seseorang berdasarkan kepada keadaan-keadaan tertentu.

Bahaya boleh dikelaskan mengikut kategori masing-masing seperti berikut:

  1. Bahaya Biologi – darah dan cecair tubuh, bakteria, virus, serangga, tumbuh-tumbuhan dan haiwan
  2. Bahaya Kimia – bergantung kepada ciri-ciri fizikal, kimia dan toksik bahan kimia yang terlibat
  3. Bahaya Ergonomik – postur yang salah, pergerakan yang berulang, susun atur ruang kerja yang tidak sesuai
  4. Bahaya Fizikal – radiasi, pendedahan yang tinggi terhadap cahaya ultraungu, keadaan persekitaran yang terlalu panas, bunyi bising yang kuat
  5. Bahaya Organisasi Kerja – tekanan jiwa, keganasan, beban kerja yang terlalu tinggi, gangguan seksual
  6. Bahaya Keselamatan – permukaan yang licin, kecuaian mengendalikan mesin, elektrik, ruang terhad

    (Sumber:www.osha.gov)

Bahaya Dalam Praktis Forensik

Seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas, terdapat pelbagai kategori bahaya. Namun artikel ini hanya menyentuh tentang kecederaan yang disebabkan oleh objek tajam dan tumpahan bahan kimia. Artikel ini akan menjelaskan secara ringkas informasi dan langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya kejadian yang tidak diingini ini berlaku.

Kecederaan Yang Disebabkan Oleh Objek Tajam

Kecederaan yang disebabkan oleh objek tajam adalah perkara yang diketahui umum sering berlaku terutamanya dalam sektor kesihatan. Contoh-contoh objek tajam termasuklah jarum, bilah pisau, gunting, pisau cukur, lanset, serpihan kaca dan peralatan perubatan atau makmal yang boleh menyebabkan kecederaan kulit (terpotong atau tertusuk). Objek tajam yang tercemar dengan darah atau cecair tubuh boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B, C dan Human Immunodeficiency Virus (HIV). Penyebaran penyakit berjangkit dengan cara ini menyebabkan setiap individu yang terlibat merasa risau dan tertekan.


Gambar 1 : Contoh-contoh objek tajam

Apabila berlaku kecederaan yang disebabkan objek tajam, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan.

  1. Galakkan luka untuk terus berdarah secara perlahan-lahan. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan tempat luka pada air yang mengalir
  2. Cuci luka dengan air mengalir dan gunakan sabun yang banyak
  3. Perlu diingatkan supaya:
    1. Tidak menggosok luka semasa membersihkannya
    2. Tidak menghisap luka tersebut
  4. Keringkan luka dan balut dengan plaster kalis air

Berpandukan kepada Sharp Injury Surveilance Manual, Kementerian Kesihatan Malaysia, sekiranya berlaku kecederaan yang disebabkan oleh objek tajam, individu yang terlibat perlu melaporkannya kepada penyelia kawasan yang dilantik serta merta (dalam tempoh 24 jam). Penyelia yang dilantik pula perlu merujuk individu yang cedera kepada Pegawai Perubatan yang dikhaskan di Jabatan Perubatan untuk pemeriksaan dan penilaian serta tindakan susulan yang diperlukan. Penyelia juga perlu mengisi dan menghantar borang notifikasi kepada jawatankuasa yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya dalam tempoh 24 jam. Antara jawatankuasa yang terlibat termasuklah Unit Kualiti, Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Pasukan Kawalan Jangkitan dan Unit Kesihatan Pekerjaan Negeri. Siasatan akan dijalankan dan semua maklumat yang diperolehi akan direkod dan disimpan.

Tumpahan Bahan Kimia

Boleh dikatakan hampir semua pekerjaan ada menggunakan bahan kimia. Pengurusan bahan kimia yang lemah boleh menyebabkan kemalangan seperti tumpahan, percikan dan letupan yang seterusnya menyebabkan penyakit, keracunan dan kanser pekerjaan.

Tumpahan bahan kimia ini boleh ditafsirkan sebagai pengeluaran bahan kimia berbahaya yang tidak terkawal sama ada dalam bentuk pepejal, cecair mahupun gas.

Tumpahan bahan kimia mestilah dibersihkan oleh individu yang terlatih. Apabila insiden ini berlaku, sementara menunggu individu terlatih untuk sampai, beberapa perkara boleh dilakukan seperti:

  1. Maklumkan pekerja lain dalam kawasan berkenaan serta merta
  2. Pekerja perlu lebih berhati-hati sekiranya tumpahan yang berlaku melibatkan bahan kimia yang menghakis, sangat toksik atau reaktif
  3. Minta bantuan kerana ia boleh mengancam semua orang yang ada berhampiran termasuklah pekerja, pesakit dan orang awam.
  4. Letakkan tanda amaran untuk menunjukkan kawasan tumpahan tersebut. Ini juga dapat mengurangkan akses ke kawasan tersebut
  5. Dan tumpahan bahan kimia ini mestilah dibersihkan oleh individu yang terlatih.

Perlu diingatkan bahawa setiap tumpahan bahan kimia haruslah dianggap berbahaya ketika membersihkannya.

  1. Baca label bahan kimia tersebut sebelum membersihkannya
  2. Jangan sedut atau merasa bahan kimia tersebut
  3. Gunakan pelindung keselamatan diri
  4. Kulit yang tersentuh dengan tumpahan bahan kimia perlu dibasuh serta merta dengan sabun dan air

Adalah disarankan supaya setiap makmal mempunyai Kit Tumpahan Bahan Kimia untuk membersihkan tumpahan bersaiz kecil. Kit ini biasanya berbeza mengikut jenis bahan kimia. Tetapi secara umum, kit ini sepatutnya mengandungi penyerap, pelindung keselamatan diri dan alat-alat untuk pembersihan.

Gambar 2: Kit Tumpahan Bahan Kimia  
Gambar 3: Pelindung keselamatan diri

Yang berikutnya adalah langkah-langkah dalam mengendalikan tumpahan bahan kimia secara ringkas.

  1. Maklumkan orang sekeliling mengenai tumpahan tersebut
  2. Asingkan kawasan tumpahan: gunakan pita halangan
  3. Kaji prosedur pembersihan bahan kimia tumpahan yang dicadangkan dalam Chemical Safety Data Sheet (CSDS)
  4. Buka Kit Tumpahan Bahan Kimia
  5. Pakai pelindung keselamatan diri mengikut keperluan
  6. Kecilkan kawasan tumpahan menggunakan penyerap bahan kimia
  7. Tumpahan asid dan alkali perlu dineutralkan terlebih dahulu sebelum dibersihkan
  8. Kutip sisa dan letakkan ke dalam bekas pelupusan dan labelkan
  9. Letakkan semua pelindung keselamatan diri yang tercemar ke dalam beg kalis bahan kimia untuk dilupuskan
  10. Cuci tangan

Di bawah Occupational Safety and Health Notification of Accident, Dangerous Occurrence, Occupational Poisoning and Occupational Disease Regulation 2004, sebarang kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan  yang berlaku di tempat kerja perlu dilaporkan oleh majikan kepada Department of Occupational Safety and Health (DOSH). Laporan boleh dilakukan dengan mengisi borang yang diwartakan oleh DOSH.

Nota

Bahaya berpunca daripada pelbagai sumber dan berlaku hampir di semua aktiviti mahupun pekerjaan. Bahaya ini boleh dihalang dan sepatutnya dihalang. Namun sekiranya kemalangan berlaku, tindakan serta merta dan pengurusan berterusan yang efisien adalah penting dan ini merupakan tanggungjawab semua tanpa mengira jawatan dan pangkat. Setiap pekerja perlulah dilengkapi dengan pengetahuan mengenai bahaya ini kerana pengetahuan ini merupakan benteng yang terbaik.

Rujukan

  1. Canadian Centre for Occupational Health and Safety (COCHS). Hazards and Risk. 2015
    http://www.ccohs.ca/oshanswers/hsprograms/hazard_risk.html (Accessed 2015-05-14)
  2. Health and Safety Authority (HAS). Hazards and Risk.2015
    http://www.hsa.ie/eng/topics/hazards/
    (Accessed 2015-05-14)
  3. Medical Staff Safety and Health Unit, Quality in Medical Care Section, Medical Development Division, Ministry of Health Malaysia. Guidelines on Chemical Management in Health Care Facilities Ministry of Health, 2010
  4. Occupational Health Unit, Disease Control Division, Ministry of Health Malaysia. Sharp Injury Surveillance Manual. Putrajaya: National Library of Malaysian, 2007
  5. United States Department of Labor. Occupational Safety & Health Administration.2015 Circle Chat
    https://www.osha.gov/dte/grant_materials/fy10/sh-20839-10/circle_chart.pdf
    (Accessed 2015-05-14)
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Reynold Vicente
Akreditor : Nurizan bt. Ismawi
Penyemak : Dr. Khoo Lay See