Ringkasan Bahan Bukti Forensik
Bahan bukti forensik memainkan peranan yang penting dalam satu-satu penyiasatan. Ketika penyiasatan dilakukan, pelbagai bahan bukti forensik akan diambil dari tempat kejadian. Bahan-bahan bukti ini dianalisa di makmal dan kebanyakannya digunakan dalam perbicaraan kes di mahkamah. Ia bukan sahaja akan memberi klu-klu yang penting dalam penyiasatan seperti mengenalpasti identiti si mati malah membantu mengesan bahan terlarang dan membina semula kejadian jenayah.
Berdasarkan National Institute of Justice (NIJ), USA, bahan bukti adalah maklumat atau objek yang digunakan oleh juri dan hakim dalam satu-satu perbicaraan kes di mahkamah. Dalam erti kata yang lain, bahan bukti membawa maksud dokumentari atau kenyataan lisan dan objek yang diterima sebagai bahan keterangan dalam mahkamah.
Secara amnya, bahan bukti boleh terdiri daripada pelbagai sumber dan dibahagikan kepada beberapa kategori. Bahan bukti kimia merupakan salah satu kategori utama bahan bukti forensik. Bahan bukti kimia adalah bahan kimia yang boleh dijumpai pada badan manusia, objek atau yang terhasil di tempat kejadian ketika jenayah berlaku. Dengan pengendalian dan pemeliharaan yang betul, bahan bukti kimia ini dapat memberi objektif dan informasi yang tepat tentang kejadian tersebut.
Analisis Forensik Bahan Bukti Kimia
Dalam bidang forensik, terdapat pelbagai analisis dapat dilakukan pada bahan bukti kimia. Sampel yang diperlukan untuk analisis ini diperolehi daripada pelbagai objek dan pada kebiasaannya sampel tersebut dalam kuantiti yang amat sedikit. Pada asasnya, terdapat dua matlamat yang perlu dicapai apabila analisis bahan bukti kimia dilakukan:
- mengenalpasti kehadiran bahan kimia yang disasarkan (Analisis kualitatif)
- mengira kepekatan bahan kimia tersebut (Analisis kuantitatif)
- Analisis Toksikologi Forensik dan Dadah
Dalam analisis toksikologi forensik, pelbagai sampel yang dikumpul dari tempat kejadian atau si mati akan dianalisis bagi mengesan kehadiran bahan toksik atau toksin, termasuklah dadah. Dalam laporan toksikologi, dua perkara penting perlu dimasukkan iaitu:
- nama bahan kimia yang dikesan; dan
- kepekatan bahan kimia tersebut.
Maklumat ini boleh digunakan dalam membuat kesimpulan jika bahan kimia tersebut berpotensi menyebabkan kematian, penyakit atau kecacatan fizikal seseorang individu. Contohnya, keputusan analisis darah daripada seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan boleh digunakan bagi menentukan sama ada pemandu tersebut memandu dibawah pengaruh alkohol/dadah atau tidak.
Menurut Jabatan Kimia Malaysia (JKM), toksin boleh terdiri daripada pelbagai bahan, yang membawa kesan buruk kepada kesihatan jika diambil secara sengaja mahupun tidak. Faktor utama yang membezakan bahan kimia tersebut adalah dadah teraputik atau toksin adalah kuantiti atau dos bahan tersebut.
Kebiasaannya, analisis dadah atau bahan toksik dalam sampel forensik akan dimulakan dengan analisis pengesanan awal diikuti analisis pengesahan. Kaedah analisis yang berbeza boleh dilakukan untuk analisis pengesanan awal dan pengesahan bahan tersebut jika perlu. Pemilihan kaedah analisis sesuatu bahan adalah bergantung kepada jenis bahan toksikologi yang dijangka dijumpai dalam sampel tersebut dan alat-alat yang akan digunakan. Terdapat pelbagai teknik analisis yang digunakan dalam Makmal Toksikologi Forensik termasuklah Gas-Liquid Chromatography yang digunakan untuk pemeriksaan sebatian organik yang meruap, Atomic Absorption Chromatography untuk analisis logam berat dan High Liquid Performance Chromatography (HPLC) untuk analisis toksin atau racun.
Umumnya, analisis toksikologi forensik adalah bidang tugas yang mencabar. Penentuan bahan kimia yang hadir dalam satu-satu sampel adalah rumit untuk dilakukan kerana sampel yang digunakan dalam analisis ini merupakan sampel-sampel biologi. Bahan-bahan ini telah melalui pelbagai mekanisma dalam badan dan jarang kekal dalam bentuk asalnya. Pada masa yang sama, kepekatan bahan kimia tersebut mungkin telah berkurangan akibat penyebaran dalam badan. Kontamimasi yang mudah berlaku pada sampel biologi turut merumitkan lagi analisis bahan kimia.
- Pengesanan Bahan Mudah Terbakar
Dalam konteks penyiasatan kebakaran, bahan mudah terbakar merujuk kepada bahan-bahan atau bahan campuran yang mempercepatkan kebakaran berlaku. Apabila bahan mudah terbakar ini didedahkan kepada api, lebih banyak haba dihasilkan, tindakbalas bahan berlaku dengan lebih cepat malah menyebabkan api merebak dengan pantas.
Bahan mudah terbakar memainkan peranan yang penting dalam siasatan terutamanya dalam penentuan punca kebakaran. Bahan mudah terbakar yang sering digunakan dalam kes-kes kebakaran angkara khianat (arson) terdiri daripada pelbagai bentuk bahan cecair (petrol atau minyak tanah) dan gas (propana dan gas asli). Secara amnya, kebanyakan bahan mudah terbakar terdiri daripada bahan api berasaskan hidrokarbon.
Dalam penyiasatan, pengumpulan dan pembungkusan sisa kebakaran daripada tempat kebakaran mestilah dilakukan dengan betul dan cermat bagi mengelak bahan tersebut rosak. Sisa kebakaran tersebut perlu diletakkan ke dalam bekas yang sesuai dan kedap udara kerana kebiasaanya bahan mudah terbakar adalah mudah meruap. Sisa kebakaran yang telah dibungkus kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk analisis selanjutnya.
Terdapat pelbagai teknik yang digunakan untuk mengesan bahan mudah terbakar daripada sisa kebakaran. Analisis sisa kebakaran boleh dibahagikan kepada dua bahagian:
- pengekstrakan atau pengasingan sebatian meruap yang mudah terbakar
- mengenalpasti sebatian meruap yang telah lengkap diasingkan daripada sisa kebakaran.
Untuk bahagian pertama, terdapat beberapa kaedah yang sering digunakan di makmal forensik termasuklah solvent extraction, headspace extraction, dan adsorption extraction. Selepas itu, komposisi sebatian meruap itu akan dikesan menggunakan Gas Chromatography-Mass Spectrometry (GCMS).
Analisis forensik bahan mudah terbakar bukanlah mudah seperti yang disangka. Penemuan sisa kebakaran yang masih mempunyai bahan mudah terbakar adalah sukar dek kerana bahan mudah terbakar ini selalunya terbakar habis dalam kebakaran. Selain itu, sisa kebakaran juga perlu dijaga dengan rapi kerana kebanyakan bahan mudah terbakar mudah meruap. Kaedah analisis yang sesuai juga perlu dipilih agar keputusan analisis yang diperolehi tepat.
- Sisa Tembakan dan Pengesanan Primer
Dalam kejadian jenayah yang membabitkan tembakan senjatan api, adalah penting untuk penyiasat yang terlibat menentukan siapakah yang melepaskan tembakan. Bahan bukti penting dalam kes ini adalah sisa tembakan (Gunshot Residue, GSR) yang membantu penyiasat membina semula kejadian tembakan tersebut.
Berdasarkan Association of Firearms and Toolmark Examiners (AFTE), GSR adalah semua sisa tembakan yang terhasil apabila tembakan dilepaskan, ia merangkumi serbuk letupan dan sisa primer serta sisa logam yang terhasil daripada lantunan, kotoran dan sebagainya. Sisa tembakan ini boleh ditemui pada kulit atau pakaian si penembak, luka peluru masuk pada mangsa atau barang-barang yang disasar oleh penembak di tempat kejadian.
Pada asasnya, elemen-elemen utama sisa tembakan adalah Plumbum (Pb), Barium (Ba) atau Antimoni (Sb) yang sering dikesan dalam kebanyakan kes tembakan. Dalam analisis forensik, kaedah utama yang sering digunakan dalam pengesanan sisa tembakan adalah kaedah analitikal seperti Atomic Absorption Spectrophotometry (AAS) dan Inductive Coupled Plasma Mass Spectroscopy (ICP-MS) sementara kaedah kualitatif menggunakan Scanning Electron Microscopy with Energy Dispersive Analysis (SEM-EDA) and Atomic Force Microscopy (AFM).
Masalah utama yang sering berlaku dengan sisa tembakan adalah masalah kontaminasi. Terdapat pelbagai sumber alam sekitar yang mempunyai elemen yang sama seperti sisa tembakan dan ini boleh menjejaskan keputusan analisis. Keputusan false positive boleh diperolehi jika sisa tembakan ini dikontaminasi. Selain itu, sisa tembakan ini juga mudah hilang dari permukaan terlibat. Aktiviti seperti menggosok tangan dan memasukkan tangan ke dalam kocek juga boleh menyebabkan sisa tembakan ini berkurangan atau hilang. Oleh itu, pengendalian sisa tembakan ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan secepat mungkin agar perkara ini tidak berlaku.
Walaupun terdapat pelbagai limitasi dalam analisis sisa tembakan ini, ia masih memainkan peranan yang penting dalam penyiasatan forensik khususnya apabila bukti ini digabungkan dengan bahan bukti yang lain.
Kesimpulan
Setiap kejadian yang berlaku termasuklah jenayah, kemalangan, bencana alam, konflik bersenjata atau lain-lain pasti akan meninggalkan kesan di tempat kejadian. Objektif penyiasatan adalah untuk mentafsir maklumat-maklumat dengan tepat, membina semula kejadian, dan memahami apa-apa yang telah berlaku. Walau bagaimanapun, analisis forensik menjadi lebih mencabar kerana kesan atau sisa yang ditinggalkan di tempat kejadiah adalah mudah hilang dan tidak kekal. Oleh itu, pengendalian bahan bukti di tempat kejadian dan makmal forensik adalah sangat penting bagi memelihara bahan bukti tersebut sekaligus menghasilkan keputusan analisis yang tepat dan boleh dipercayai.
Rujukan
- http://www.nij.gov/nij/topics/forensics/evidence/welcome.html
- http://www.nij.gov/nij/topics/forensics/evidence/toxicology/welcome.html
- http://www.nij.gov/topics/forensics/evidence/
- http://www.kimia.gov.my/bm/fungsi-bahagian/92.html
- Dennis L. McGuire, M.S., “The Controversy Concerning Gunshot Residues Examinations”, Forensic Magazine, January 2008
- AFTE Glosary, Fourth Edition, 2001
- Phil Locke, “Gunshot Residue Evidence – What It Really Takes”, March 2012
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Phang Hui Lee |
Penterjemah | : | Nurhusni bt. Mohammad Room |
Akreditor / Reviewer | : | Dr. Khoo Lay See |