A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Bagaimana Diagnosa Asma Di...

Bagaimana Diagnosa Asma Di kalangan Dewasa Dilakukan? – Tanda-tanda

Pengenalan

Asma adalah penyakit saluran paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas yang berepisod. Ia boleh berlaku di semua peringkat umur. Siasatan awal asma amat penting supaya rawatan awal dapat diberikan serta serangan asma dapat dielakkan. Asma yang lambat dikesan menyebabkan rawatan awal tertangguh, meningkatkan risiko komplikasi asma dan risiko dimasukkan ke hospital atau boleh mengancam nyawa.

Bagaimana diagnosa asma di kalangan dewasa dilakukan? 

Diagnosa asma adalah berdasarkan:

  • Mempunyai sejarah dan symptom berkaitan asma.
  • Pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda asma. Walau bagaimanapun, semasa tiada serangan asma, pemeriksaan fizikal mungkin menunjukkan keadaan normal.
  • Pengukuran aliran udara dalam paru-paru dengan menggunakan alat aliran ekspiratori (Peak Expiratory Flow meter(PEF)) puncak dan alat spirometer.

Maklumat sokongan bagi diagnosa asma dan tahap kawalan asma

  • Sejarah keluarga berkaitan asma dan alahan – ekzema kulit, sejarah keluarga menghidap asma atau penyakit atopik yang sering t erkait dengan asma.
  • Batuk – lebih teruk terutama pada waktu malam atau awal pagi, sehingga menyebabkan pesakit terjaga.
  • Nafas berbunyi terutama sekali semasa menghembus nafas.
  • Sukar & sesak ketika bernafas yang berulang.
  • Mengalami gejala asma yang berulang
  • Gejala dan serangan asma boleh berlaku atau menjadi lebih teruk dengan kehadiran pencetus. Contohnya senaman, jangkitan saluran pernafasan, terhidu asap seperti asap kayu, asap rokok, asap persekitaran dan juga hama (dalam tilam, bantal, permaidani) .
  • Masalah kesihatan lain yang boleh mencetus asma contohnya alahan rhinitis, jangkitan sinus, refluks penyakit dan tekanan psikologi.

Pemeriksaan fizikal

Seseorang disyaki menghidap asma jika terdapat tanda-tanda berikut :

  1. Nafas berbunyi – bunyi seperti siulan nyaring ketika menghembus nafas.
  2. Batuk – kerap dan lebih teruk pada waktu malam atau awal pagi, menyebabkan pesakit sukar tidur atau terjaga daripada tidur kerana batuk serta sesak dan sukar bernafas.
  3. Tanda-tanda alahan seperti :
    • Hidung berair
    • Turbinat hidung (nasal turbinate) bengkak
    • Alahan kulit (seperti ekzema)

Pesakit boleh menghidap asma walaupun tanda-tanda tidak dikesan semasa pemeriksaan kerana tanda-tanda asma dan alahan bukan terus- menerus dan akan berulang kembali.

Tanda asma semakin teruk

Tanda-tanda asma adalah pelbagai daripada tiada sebarang tanda kepada tahap yang teruk dan ia berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Sesetengah pesakit mungkin kerap mendapat serangan asma, sesetengah pesakit pula mempunyai tanda-tanda asma hanya pada masa-masa tertentu (seperti semasa bersenam) manakala terdapat juga pesakit yang mempunyai tanda-tanda asma sepanjang masa.
Berikut adalah tanda-tanda yang menunjukkan asma menjadi semakin teruk :

  1. Tanda-tanda asma yang lebih kerap dan semakin sukar dikawal.
  2. Keadaan sesak nafas bertambah teruk (boleh diukur dengan alat (PEF) atau spirometer).
  3. Penggunaan ubat sedut pelega yang semakin kerap (contohnya menggunakan ubat pelega yang lebih dari dua kali sehari).
  4. Tanda-tanda asma akan muncul atau bertambah teruk dalam keadaan tertentu :
    • Senaman yang mencetuskan asma – menjadi lebih teruk apabila udara sejuk dan kering.
    • Asma pekerjaan – dicetuskan oleh pera ngsa di tempat kerja seperti w asap kimia, gas atau debu.
    • Alahan yang mencetuskan asma – dicetuskan oleh alergen (benda asing) tertentu, seperti bulu haiwan peliharaan, lipas atau debunga.

Tanda-tanda kecemasan asma

Serangan asma yang teruk boleh mengancam nyawa. Oleh itu, pesakit perlu berbincang dengan doktor lebih awal untuk mengenal pasti pencetus serangan asma, seterusnya menghindar dari terdedah kepada pencetus tersebut. Tindakan yang perlu dilakukan apabila tanda dan gejala asma menjadi lebih teruk dan mengenal pasti masa untuk bertindak mendapatkan rawatan kecemasan juga perlu di bincangkan. Tanda-tanda kecemasan asma adalah :

  • Sesak nafas semakin teruk dan nafas berbunyi
  • Gejala tidak pulih walaupun selepas menggunakan ubat sedut pelega
  • Sesak nafas walaupun pesakit melakukan aktiviti fizikal yang minima

Kesimpulan

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang boleh menyebabkan gejala berulang dan ia bukan sahaja mengganggu aktiviti harian, bahkan boleh membawa maut. Adalah penting untuk mengenali  tanda-tanda awal asma supaya rawatan yang betul boleh mencegah kesan komplikasi asma jangka pendek dan jangka panjang.

Rujukan

  • National Heart, Lung, and Blood Institute. What is asthma? http://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/asthma/. Accessed May 6, 2013.
  • McPhee SJ, et al. Current Medical Diagnosis & Treatment 2012. 51st ed. New York, N.Y.: The McGraw-Hill Companies; 2012. http://www.accessmedicine.com/content.aspx? aID=2740. Accessed May 6, 2013.
  • Parker MJ. Asthma. Otolaryngologic Clinics of North America. 2011;44:667.
Last Reviewed : 21 Mei 2015
Writer : Dr. Ho Bee Kiau
Translator : Noorhayati bt. Kassim
Accreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,057,033

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia