A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Aspirin?

Aspirin atau nama bahan aktif Acetyl Salicylic Acid merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan Non-Steroidal Anti Inflammatory Drug (NSAID). Ubat dari kumpulan NSAID merupakan ubat tahan sakit untuk kesakitan tahap ringan ke sederhana. Aspirin merupakan ubat am yang boleh diperolehi tanpa preskripsi doktor. Buat masa ini, terdapat lebih daripada 20 produk yang mengandungi aspirin berdaftar di Malaysia.

Bila Aspirin Diperlukan?

Fungsi ubat Aspirin adalah seperti berikut :

  1. Sebagai Ubat Tahan Sakit

    Untuk melegakan kesakitan yang dialami akibat pening, sakit gigi, sakit otot, senggugut (period pain) dan sebagainya.

  2. Sebagai Ubat Cair Darah

    Penggunaan aspirin sebagai ubat cair darah perlu melalui preskripsi doktor. Ia berfungsi menghalang pembentukan platelet yang akan menyebabkan pembekuan darah dan seterusnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok. Aspirin digunakan oleh pesakit yang pernah mendapat serangan jantung atau strok, menerima pembedahan jantung (stent atau bypass) serta berisiko tinggi mendapat serangan jantung.

Bagaimana Aspirin Bertindak Dalam Badan?

Aspirin berfungsi mengurangkan penghasilan bahan semulajadi dalam badan iaitu prostaglandin. Aspirin bertindak sebagai perencat enzim cyclooxygenase 1 (COX-1) dan cyclooxygenase 2 (COX-2) yang berfungsi menghasilkan prostaglandin.

Penghasilan prostaglandin menyebabkan pembekuan darah, rasa sakit dan pembengkakan. Oleh kerana tindakan aspirin adalah tidak selektif, kebaikan fungsi prostaglandin iaitu dalam pengekalan ketebalan lapisan perut turut terjejas. Ini menjelaskan kesan sampingan seperti ulser perut, keadaan perut yang tidak selesa dan sebagainya akibat pengambilan aspirin.

Cara Pengambilan Aspirin

Tablet aspirin boleh diambil begitu sahaja dengan segelas air atau dilarutkan dalam segelas air sebelum diminum. Ianya bergantung kepada jenis formulasi tablet aspirin. Anda perlu merujuk kepada label ubat atau doktor dan ahli farmasi bagi mengenalpasti cara pengambilan ubat yang betul. Bagi mengelakkan ulser perut atau keadaan perut yang tidak selesa, aspirin perlu diambil bersama-sama makanan atau selepas makan. Dos aspirin bergantung kepada jenis rawatan.

Dos Pengambilan Aspirin

  1. Tahan sakit

    300mg hingga 900mg setiap 4 hingga 6 jam. Dos maksima adalah 4g sehari. Anda perlu berhenti mengambil Aspirin jika anda masih berasa sakit selepas 10 hari

  2. Cair Darah

    75mg hingga 325mg sehari. Penentuan dos yang sesuai bergantung kepada keperluan dan keadaan pesakit. Pengambilan aspirin setiap hari haruslah mengikut nasihat doktor sahaja. Jika terlupa satu dos, Aspirin perlu diambil sebaik saja ingat. Jangan gandakan dos bagi menggantikan dos yang tertinggal. Jangan berhenti mengambil Aspirin sebelum mendapat nasihat doktor.

Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami?

  • Loya

  • Muntah

  • Sakit perut

  • Pedih hulu hati (heartburn)

Jika anda mengalami kesan sampingan seperti ruam, sesak nafas atau bengkak pada mata, muka, bibir, lidah atau tekak, anda mungkin menghadapi masalah alergi/alahan pada Aspirin. Anda perlu berhenti mengambil Aspirin dan segera berhubung dengan doktor.

Tanda-tanda pengambilan dos Aspirin berlebihan adalah hiperventilasi, berpeluh, bunyi bising di telinga (tinnitus), pekak, badan menggeletar, sawan dan pengsan untuk seketika. Pesakit ini perlu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan selanjutnya.

Perkara-Perkara Yang Perlu Diketahui

  1. Aspirin tidak boleh diambil oleh kanak-kanak dan remaja berumur 16 tahun ke bawah. Pengambilan Aspirin oleh golongan ini boleh menyebabkan Sindrom Reye berlaku (keadaan di mana lemak berkumpul di otak, hati dan organ lain).

  2. Aspirin tidak boleh diambil oleh pesakit yang mengalami masalah alergi/alahan pada ubat tersebut. Alergi/alahan pada Aspirin selalu berlaku kepada pesakit asma.

  3. Maklumkan kepada doktor jika anda mengandung (terutama selepas 32 minggu), ingin mengandung atau sedang menyusu. Ini kerana Aspirin mungkin akan memudaratkan bayi dalam kandungan atau menimbulkan masalah ketika melahirkan anak jika diambil selepas kandungan berusia 32 minggu.

  4. Jika anda perlu mengambil Aspirin setiap hari, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat NSAID yang lain (Ibuprofen, Naproxen dan lain-lain)

  5. Maklumkan kepada doktor jika anda mengandung (terutama selepas 32 minggu), ingin mengandung atau sedang menyusu. Ini kerana Aspirin mungkin akan memudaratkan bayi dalam kandungan atau menimbulkan masalah ketika melahirkan anak jika diambil selepas kandungan berusia 32 minggu.

  6. Maklumkan kepada doktor jika anda pernah mendapat ulser perut, masalah pendarahan seperti penyakit hemophilia serta anemia (kurang darah). Ini penting bagi mengelakkan anda diberi Aspirin sebagai pilihan rawatan.

  7. Aspirin tidak sesuai digunakan untuk rawatan penyakit gout.

  8. Jika anda minum alkohol setiap hari, bertanyalah kepada doktor dahulu sebelum anda mengambil Aspirin sebagai ubat tahan sakit.

  9. Bertanyalah kepada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil Aspirin sekiranya anda mengambil pil makanan tambahan (dietary supplement) seperti Evening Primrose Oil, Ginkgo, Fish Oil (Omega-3 Fatty Acid), Danshen, Dong Quai dan lain-lain.

  10. Aspirin harus disimpan dalam pembungkusan asal, dalam suhu bilik dan di tempat yang kering. Aspirin perlu dibuang sekiranya tablet mengeluarkan bau masam (seperti cuka).

Semakan Akhir : 02 September 2013
Penulis : Nur Izyani bt. Hanafi
Akreditor : Fatkhiah bt. Hj. Khalil

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 1,681,151

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 09:02:28
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia