Home > Dewasa > Penyakit > Neurologi > Apraksia Di Kalangan Dewasa

Apraksia Di Kalangan Dewasa

Apa itu Apraksia?

Apraksia ialah kecelaruan pada otak dan sistem saraf di mana individu tersebut tidak dapat menggerakkan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi dengan betul, walaupun:-

  • Mereka faham permintaan dan arahan
  • Mereka mahu menyebut perkataan tersebut
  • Mereka mengetahui bagaimana menyebut perkataan tersebut
  • Tiada kelemahan pada otot-otot muka mereka

Apakah faktor penyebab Apraksia?

Apraksia terjadi disebabkan kerosakan dibahagian otak yang mengawal koordinasi pergerakan organ pertuturan iaitu mulut dan lidah. Penyebab utama apraksia ialah:

Apraksia selalu muncul bersama masalah komunikasi yang lain seperti afasia dan disartria. Apraksia juga boleh terjadi di kalangan kanak-kanak. Tanda-tanda apraksia akan semakin jelas apabila kanak-kanak tersebut membesar.

Apakah simptom Apraksia?

Individu yang mengalami apraksia susah untuk mengatur pergerakan otot yang diperlukan untuk menghasilkan bunyi yang dikehendaki. Mereka selalu menyebut bunyi yang jauh berbeza dari bunyi perkataan yang mahu disebutkan. Mereka juga sedar akan kesalahan ini.

Simptom apraksia termasuk:

  • Susah untuk meniru dan menyebut bunyi pertuturan dengan betul.
  • Kesalahan bunyi pertuturan yang dihasilkan tidak konsisten.
  • Kadar pertuturan adalah perlahan
  • Perkataan panjang lebih susah untuk disebut berbanding perkataan pendek.
  • Intonasi dan nada percakapan tidak normal
  • Ayat spontan lebih mudah diujarkan (“apa khabar?”, “terima kasih”)
  • Tidak dapat menyebut semua bunyi pertuturan bagi kes yang teruk.

Selain itu, kemurungan, rasa kecewa dan putus harapan juga antara simptom sampingan yang banyak dilihat di kalangan individu yang mengalami apraksia.

Bagaimana Apraksia didiagnos?

Terapis pertuturan-bahasa (TPB) akan menjalankan penilaian formal dan tidak formal untuk mendiagnos apraksia dan menetapkan tahap keterukan keadaan pesakit. Proses penilaian selalunya melibatkan pemeriksaan terhadap pergerakan mulut, intonasi pertuturan dan penghasilan bunyi pertuturan dalam konteks yang pelbagai.

Apakah terapi bagi Apraksia?

Apakah terapi bagi Apraksia

Matlamat utama terapi adalah meningkatkan keupayaan untuk merancang, menyusun dan mengkoordinasikan pergerakan otot mulut untuk penghasilan pertuturan.TPB akan merancang dan menetapkan terapi yang sesuai berdasarkan hasil dari penilaian. TPB akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk merawat apraksia. Setakat ini tiada satu pendekatan yang dapat disahkan sebagai kaedah yang paling berkesan. Namun rawatan yang kerap dan intensif dilihat antara faktor penyumbang kejayaan terapi.

Terapi pertuturan melibatkan:

  • Menyebut bunyi sasaran berulang-ulang kali untuk mengajar pergerakan mulut
  • Mengurangkan kelajuan percakapan
  • Terapi intonasi melodi (melodic intonation therapy)
  • Komunikasi augmentatif dan alternatif digunakan bagi kes yang teruk

Sokongan dan galakan dari ahli keluarga dan rakan juga sangat penting dalam proses rawatan.

Apakah tips bagi penjaga individu bermasalah apraksia?

  • Sediakan persekitaran yang santai dan tenang untuk individu bermasalah apraksia berkomunikasi.
  • Berikan ruang dan masa untuk individu bermasalah apraksia melakukan sesuatu tugasan. Jangan paksa mereka untuk mengulangi tugasan tersebut jika jelas mereka susah untuk melaksanakannya. Ini akan menyebabkan mereka rasa semakin tertekan dan kecewa seterusnya menyebabkan simptom apraksia semakin teruk.
  • Cadangkan cara-cara alternatif untuk berkomunikasi. Contohnya, menulis perkataan yang hendak disebut.

Apakah tips untuk individu bermasalah apraksia berkomunikasi dengan efektif?

  • Elakkan daripada memberi arahan kompleks.
  • Gunakan ayat pendek ketika berbual untuk mengelakkan salah faham.
  • Bercakap dengan nada suara biasa.
  • Sediakan alat bantu komunikasi (pen, kertas, tablet) jika perlu.

Apakah komplikasi lain yang mungkin hadir bersama apraksia?

  • Masalah Pembelajaran
  • Kurang keyakinan diri
  • Masalah sosial

Rujukan

  1. American Speech Language Association (2015). Apraxia of Speech in Adult http://www.asha.org/public/speech/disorders/ApraxiaAdults/ September 11,2015
  2. Freed, D. (2011).Motor Speech Disorders: Diagnosis & Treatment. Cengage Learning.
  3. Kortte, J. H., & Palmer, J. B. (2008). Speech and language disorders.Frontera: Essentials of Physical Medicine and Rehabilitation, 2nd ed. Philadelphia: Saunders Elsevier.
  4. Medline Plus (2014). Apraxia .https://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/007472.htm September 11,2015

 

Semakan Akhir : 18 February 2016
Penulis : Fairus bt. Mukhtar
Akreditor : Nur Syuhada bt. Hosni