Home > Warga Emas > Pendekatan dari Segi Gejala > Apakah Yang Perlu Dilakukan Apabila Warga Emas Jatuh – Perspektif Penjaga

Apakah Yang Perlu Dilakukan Apabila Warga Emas Jatuh – Perspektif Penjaga

Pengenalan

Kejatuhan ditakrifkan sebagai keadaan di mana seseorang itu dengan tidak sengaja jatuh ke tanah atau tahap yang lebih rendah biasanya lantai selain daripada akibat mengalami pukulan kuat, tidak sedar diri atau kejadian lumpuh secara tiba-tiba akibat strok atau sawan.

Kejatuhan adalah biasa di kalangan warga emas. Kajian melaporkan bahawa 30 hingga 40% daripada warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas dalam masyarakat mengalami satu atau lebih kejadian  jatuh dalam tempoh 12 bulan. Kira-kira 20% mengalami kecederaan akibat terjatuh. Kira-kira 40% hingga 50% daripada penduduk institusi jatuh setiap tahun. Dalam satu kajian yang dilakukan di klinik penjagaan primer di Malaysia, kelaziman jatuh dalam kalangan warga emas adalah sekitar 47%.

Adalah penting bagi penjaga untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila mereka melihat seseorang warga emas itu jatuh. Tindak balas yang betul boleh membantu mengurangkan kesan-kesan fizikal dan psikologi dan membolehkan wargaemas mendapatkan semula keyakinan mereka dengan lebih cepat tanpa bergantung kepada penjaga.

Kesan-kesan yang tidak diingini akibat jatuh

  • Kecederaan akibat jatuh termasuklan tulang patah (5%) dan kecederaan serius yang lain (15%)
  • Selepas jatuh, kesan akibat tidak bergerak untuk tempoh panjang adalah:
    • Atrofi otot
    • Kekakuan sendi
    • Kudis tekanan
    • Dehidrasi
    • Radang paru-paru
    • Darah membeku di dalam saluran darah
    • Tekanan darah rendah
    • Tulang rapuh
  • Kecederaan sekundar akibat tidak bergerak untuk tempoh panjang selepas jatuh boleh mengakibatkan separuh daripada warga emas tidak boleh bangun semula selepas jatuh dan peningkatan kepergantungan kepada penjaga
  • Kesan psikologi boleh mengakibatkan kehilangan keyakinan, takut jatuh, kebimbangan dan kemurungan
  • Kemasukan ke  institusi penjagaan
  • Punca utama kecacatan dan kematian di kalangan warga emas

Mengapakah penting bagi penjaga untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan jika warga emas jatuh?

  • Jatuh adalah perkara biasa di kalangan warga emas yang dijaga oleh penjaga
  • Apabila umur meningkat, kekerapan jatuh dan kemungkinan kecederaan akan meningkat
  • Oleh itu, adalah sangat penting bagi penjaga untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan jika pesakit jatuh
  • Reaksi yang betul boleh mengurangkan kesan-kesan fizikal dan psikologi kepada wargaemas

Ia juga membolehkan wargaemas yang dijaga mendapat semula keyakinan dengan lebih cepat dan kekal berdikari

Apakah yang perlu penjaga lakukan sekiranya mereka menyaksikan kejatuhan seseorang warga emas?

Dalam usaha untuk mengurangkan kesan-kesan yang tidak diingini akibat jatuh, penjaga harus cuba untuk menjalankan langkah-langkah berikut, bergantung kepada keadaan warga emas selepas jatuh.

Jika penjaga menyaksikan warga emas jatuh, dia perlu menahan keinginan untuk membangunkan warga emas itu dengan segera. Terlebih dahulu, periksa keadaan warga emas tersebut untuk tanda-tanda berikut:

  • Adakah warga emas sedar atau tidak?
  • Adakah warga emas kelihatan cedera atau mengalami patah tulang?
  • Menenangkan warga emas

Jika warga emas tidak boleh bangun sendiri, penjaga boleh mengambil langkah-langkah berikut:

  • Panggil bantuan dengan segera
  • Melakukan pertolongan cemas jika penjaga mampu untuk berbuat demikian
  • Cuba membantu warga emas untuk mencari posisi yang selesa dan tidak menyakitkan
  • Memastikan suhu badan terjaga dengan menggunakan pakaian atau selimut

Jika warga emas itu ternyata dapat bangun dengan sendiri, ikuti langkah di bawah dengan teliti:

  • Bawa sebuah kerusi yang stabil berhampiran dengan pesakit, membantu warga emas untuk pusing ke sebelah, bengkokkan kaki atas dan membantu pesakit ke dalam kedudukan separa duduk
  • Penjaga berada di belakang warga emas dan membuat cengkaman yang kukuh pada pinggul, kemudian membantu warga emas dalam posisi merangkak dengan meletakkan kedua- dua tangan di atas kerusi
  • Dengan berpegang kepada kerusi, warga emas perlu meletakkan kaki yang lebih kuat di hadapan. Penjaga boleh membantu dengan memposisikan kaki beliau
  • Dengan membuat genggaman yang kukuh pada pinggul dan membantu warga emas untuk berdiri, kemudian berpusing dan duduk di atas kerusi

Penjaga harus menggalakkan warga emas untuk mengamalkan langkah-langkah ini dengan kerap supaya mereka lebih bersedia jika mereka jatuh lagi pada masa depan.

Bilakah penjaga perlu membawa warga emas untuk berjumpa dengan doktor untuk penilaian selanjutnya?

Penjaga tidak boleh memandang ringan keseriusan akibat jatuh walaupun ia kelihatan tidak mencerderakan warga emas pada mulanya.

Sebab-sebab untuk membawa warga emas untuk berjumpa dengan doktor termasuklah:

  • Hilang kesedaran, mungkin singkat, sebelum atau selepas kejatuhan
  • Sebarang kecederaan
  • Kesakitan kuat atau berterusan
  • Pening atau sakit kepala
  • Loya atau muntah-muntah
  • Sebarang kelemahan
  • Sebarang masalah penglihatan

Tanda-tanda di atas boleh muncul pada bila-bila masa selepas kejatuhan. Adalah penting bagi penjaga untuk memaklumkan kepada doktor tentang keadaan jatuh supaya doktor boleh menilai dan menentukan sama ada kejatuhan adalah dikaitkan dengan penyakit, ubat yang diberi oleh doktor, ubat yang dibeli melalui kaunter atau faktor-faktor lain.

Bagaimana penjaga boleh membantu warga emas untuk mengelakkan kejatuhan pada masa depan?

  • Memastikan persekitaran yang selamat
  • Penjaga perlu memeriksa persekitaran untuk mengetahui sama ada terdapat apa-apa bahaya jatuh dan pengubahsuaian yang mudah boleh dilakukan untuk mencegah kejatuhan pada masa depan, contohnya memasang bar pemegang di bilik mandi, permaidani tidak licin dan susur tangan di kedua-dua belah tangga.

  • Memakai kasut yang sesuai
  • Penjaga perlu memastikan bahawa warga emas memakai kasut yang sesuai untuk mengurangkan risiko jatuh. Kasut sesuai harus mempunyai tapak kasut yang tidak licin, tumit ketinggian yang munasabah dan cukup luas untuk menghalang kaki terseliuh.

  • Membantu warga emas untuk merancang bagaimana untuk mendapatkan bantuan jika mereka mengalami kejatuhan pada masa depan dan berkongsi rancangan itu dengan ahli keluarga dan jiran-jiran mereka
  • Penjaga perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan alat panggilan kecemasan atau telefon tanpa kord rapat di tangan warga emas, meminta kawan atau ahli keluarga untuk menelefon warga emas secara berkala, memberi kunci rumah warga emas kepada seseorang yang mereka percayai yang boleh menggunakannya dalam keadaan kecemasan. Pendek kata, penjaga perlu berfikir tentang apa yang warga emas boleh lakukan untuk mendapatkan bantuan jika mereka mengalami kejatuhan pada masa depan.

Kesimpulan

Kejatuhan boleh membawa kepada kecacatan yang ketara dan kematian pada warga emas dan juga boleh menjejaskan kualiti hidup warga emas. Apabila usia semakin meningkat, kekerapan jatuh dan kemungkinan kecederaan akan meningkat.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi penjaga untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan jika warga emas jatuh. Tindak balas yang betul oleh penjaga boleh mengurangkan akibat fizikal dan psikologi akibat kejatuhan dan membolehkan warga emas untuk mendapatkan semula keyakinan mereka dengan lebih cepat dan untuk terus berdikari.

Rujukan

  1. The prevention of falls in later life. A report of the Kellogg   International Work Group on the Prevention of Falls by the   Elderly. Dan Med Bull 1987;34 Suppl 4:1-24.
  2. Centers  for Disease Control and Prevention(CDC). Self reported  falls  and falls at home among person more or equal 65 years- United States,2006. MMWR Morb Mortal Wkly Rep.2008:57:225
  3. Sazlina SG, Krishnan R, Samsul AS, Zaiton A , Visvanathan R.    Prevalence of falls among older people attending a primary care  clinic in Kuala Lumpur Malaysia.  Malaysian Journal of Community  Health (2008) Vol 14(1): 11-15.
  4.  Ayse O, Hulya D, Nihal G, Mehtap O, Didem K. The relationship between risk factors for falling and the quality of life in older  adults. BMC Public Health 2005, 5:90 doi:10.1186/1471-2458
  5. Public Health Agency of Canada. If you fall or witness a fall, do you know what to do? (Date modified : 05-07-2011) (http://www.phac-aspc.gc.ca/seniors-aines/publications/ public/injury-blessure/falls-chutes/index-eng.php)(Accessed on 12 August 2015)
Semakan Akhir : 20 Oktober 2016
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi
(Visited 444 times, 1 visits today)