Home > Umum > Forensik > Apakah Itu Prinsip Locard?

Apakah Itu Prinsip Locard?

Pengenalan Kepada Prinsip

Tahukan anda, sesiapa yang memasuki sesuatu kawasan (lokasi kejadian) pasti akan meninggal kesan atau membawa sesuatu dari lokasi kejadian tersebut. Jadi jika anda tidak mahu kehadiran anda di ketahui, jangan tinggalkan kesan dengan menyentuh sesuatu di tempat anda berada.

Inilah prinsip asas dalam bidang forensik iaitu setiap sentuhan fizikal akan meninggalkan kesan.

Secara umumnya, prinsip ini melibatkan tiga elemen iaitu, mangsa, penjenayah dan juga lokasi kejadian.


Sumber: http://hairandfibre.weebly.com/fibers.html

Berdasarkan prinsip ini, apabila terjadinya sesuatu kejadian jenayah, akan berlaku sentuhan fizikal di antara penjenayah dengan mangsa, penjenayah dengan lokasi kejadian dan juga mangsa dengan lokasi kejadian.

Apabila sentuhan fizikal ini berlaku, maka bukti fizikal dan juga bukti biologi akan ditinggalkan oleh mangsa dan penjenayah dilokasi kejadian ataupun mereka akan membawanya bersama ketika mereka meninggalkan lokasi kejadian.

Bukti fizikal dan bukti biologi ini boleh di ibaratkan seperti cebisan ‘puzzle’ yang perlu di cantum untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian jenayah yang berlaku di lokasi kejadian yang juga di kenali sebagai ‘crime scene reconstruction’.

Bahan bukti ini boleh dikatakan sebagai saksi utama di lokasi kejadian. Oleh itu rantaian bahan bukti perlu dah di jaga supaya setiap bahan bukti ini tidak boleh di cabar.

Melalui perinsip Locard, status lokasi kejadian juga boleh di kenalpasti sama ada, lokasi kejadian tersebut merupakan ‘ primary crime scene’ ataupun ‘ secondary crime scene

‘Primary crime scene’ merujuk kepada tempat di mana kejadian jenayah itu berlaku, manakala ‘secondary crime scene’ pula merujuk kepada kawasan selain daripada ‘primary crime scene’ tadi.

Sebagai contoh, sekiranya kejadian jenayah berlaku di dalam bilik A sebuah rumah, bilik-bilik lain di dalam rumah tersebut merupakan ‘secondary crime scene’ termasuklah laluan masuk dan keluar penjenayah di mana cap jari penjenayah mungkin boleh di peroleh.

Sejarah Edmond Locard

Dr Edmond Locard, nama yang tidak asing lagi bagi sesiapa yang menceburi bidang forensik. Beliau dilahirkan pada 1877 di Lyon, Perancis. Pada tahun 1902, beliau telah memperoleh kelulusan doktor falsafah dalam bidang perubatan.

Setelah itu, Locard telah bekerja sebagai pembantu kepada Dr. Alexander Lacassagne. Beberapa tahun kemudian, Locard mula mengorak langkah dengan mengambil peperiksaan sebagai seorang peguam dan lulus pada tahun 1907 dan beliau memulakan pengembaraan beliau pada tahun 1908.

Pada perang dunia pertama, Locard bekerja di ‘French Secret Service’ sebagai Pegawai Pemeriksa Perubatan, di mana beliau ditugaskan untuk menyiasat sebab dan lokasi kematian tentera dan juga banduan berdasarkan kesan darah dan koyakan pakaian mereka.

Locard telah menubuhkan sebuah makmal jenayah di Lyon, Perancis pada tahun 1910 dan secara rasminya beroperasi pada tahun 1912.

Sepanjang hidup Locard, beliau pernah bertugas sebagai anggota polis di Lyon dan beliau telah menghasilkan lebih dari 40 penerbitan di dalam pelbagai bahasa termasuk Jerman, Sepanyol dan Inggeris.

Dr. Edmond Locard banyak mempelajari mengenai forensik melalui mentornya iaitu Alexander Lacassagne ‘Bapa Perubatan Forensik Moden’ (1843-1924) dan rakan sepengajian beliau iaitu Alphonse Bertillon (1853-1914) yang merupakan bapa antropometri.

Menurut Locard, dalam mengembangkan sesuatu beban bukti kes jenayah ianya perlu melalui 4 langkah ini

  • Cermat: Pengalaman, pertempuran
  • Pengakuan
  • Saksi, testimonial
  • Pembuktian fizikal

Manakala, dalam proses pemikiran pula, Locard menyatakan terdapat beberapa elemen yang sangat penting iaitu permerhatian yang terperinci, alasan yang sesuai dan logik, pemerhatian tentang ketepatan hubungkait dan signifikan terhadap sesuatu ciri yang diperhatikan, aplikasi teknik pemerhatian yang tepat dan sesuai, dan akhir sekali adalah interpertasi terhadap keputusan yang di peroleh

Sumbangan beliau di dalam bidang forensik terlalu besar, salah satunya adalah, beliau merupakan orang memperkenalkan sistemnya sendiri dalam poroskopi di mana liang-liang peluh pada cap jari tangan boleh di gunakan untuk tujuan identifikasi 

Selain itu beliau juga telah mengubahsuai kaedah analisis kesan darah dan juga menyusun kembali tatacara untuk menganalisis habuk di pakaian suspek.

Aplikasi Prinsip

Siapakah yang ada di lokasi kejadian? Bagaimanakah untuk membuktikan seseorang itu beada di lokasi kejadian? Apakah yang berlaku di lokasi kejadian ini? Semua persoalan ini sentiasa berlegar di pemikiran seorang pegawai siasatan jenayah.

Bagi menjawab semua persoalan ini, prinsip Locard merupakan prinsip yang paling tepat dan sesuai untuk digunapakai.

Jadi, apakah bahan bukti yang boleh di jumpai di lokasi kejadian dan adakah bahan bukti ini signifikan dan membantu dalam siasatan pihak polis?

Cap jari

Cap jari merupakan satu bahan bukti yang paling utama untuk mengesan kehadiran seseorang di lokasi kejadian. Berdasarkan Prinsip Locard, cap jari seseorang pasti akan dapat di kesan jika dia memegang sesuatu di lokasi kejadian.

Sebagai contoh, dalam satu kes rompakan, suspek perlu memegang tombol pintu untuk masuk ke dalam rumah mangsa. Jadi, sentuhan ini pasti akan meninggalkan kesan cap jari pada tombol pintu itu. Inilah yang dikatakan oleh Locard bahawa setiap sentuhan pasti meninggalkan kesan.

Sekiranya pihak penyiasat berjaya mendapatkan dan menganalisis cap jari tesebut, dan kemudian dapat mengenalpasti identity suspek, maka ini akan membantu siasatan. Seterusnya akan menyelesaikan kes rompakan ini.

Terdapat 2 ciri utama yang menjadikan cap jari adalah bahan bukti yang boleh dipercayai. Pertama tiada siapa yang mempunyai cap jari yang sama didalam dunia ini dan yang kedua ialah cap jari akan kekal dan tidak akan berubah.

Secara ringkasnya, cap jari terdiri dari pada 3 jenis iaitu

  • Cap jari tekanan – kesan yang terbentuk pada permukaan yang liat dan lembut seperti tanah liat, llin dan cat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar.
  • Cap jari Nampak – terbentuk apabila jari terkena bahan cecair seperti dakwat atau cat can kemudian menyentuh permukaan objek. Cap jari boleh kelihatan dengan mata kasar
  • Cap jari pendam – terbentuk melalui peluh dari kelenjar peluh pada permukaan jari. Cap jari tidak dapat di lihat dan hanya boleh di liahat dengan menggunakan teknik tertentu seperti kaedah serbuk, ‘fuming’ atau bahan kimia.

Rambut/bulu dan fiber

Berbalik kepada prinsip Locard, setiap sentuhan akan meninggalkan kesan, bulu rambut dan fiber juga merupakan salah satu bahan bukti yang mampu mengaitkan antara suspek dan mangsa dan juga lokasi kejadian.

Sebagai contoh, seorang bayi perempuan di jumpai mati di rumah dan bedah siasat di jalankan. Keputusan bedah siasat menunjukan kematian adalah di sebabkan hentakan kuat di kepala. Waris mengatakan bahawa seekor beruk telah mngambil bayi tersebut dan kemudian melepaskan bayi tersebut dari sebatang pokok

Jadi, pihak forensik menjalankan siasatan menjumpai beberapa helai rambut pada badan bayi tersebut dan di hantar analisa. Setelah analisis morfologi rambut tersebut, rambut tersebut kepunyaan kumpulan beruk. Maka dapat disimpulkan bahawa ada sentuhan antara bayi tersebut dan beruk.

Bagi bahan bukti rambut atau bulu, analisis yang dijalankan adalah lebih kepada morfologi dan ciri-cirinya. Setiap helai rambut seseorang tidak akan sama walaupun dari kepala yang sama, malahan tidak akan sama dengan orang lain. Selain itu bulu rambut kepala juga tidak akan sama dengan bulu rambut di kawasan badan lain seperti bulu di dada dan bulu pubis.

Sewaktu ketika dulu, kain hanya terdiri dari pada benang, kapas, linen dan juga sutera. Namun kini kain boleh terdiri dari perlbagai campuran fiber dan ditambah lagi penghasilan fiber sintetik.

Ini secara tidak langsung menambahkan lagi kesukaran pihak forensik menganalisis selengkapnya dan mengenalpasti jenis-jenis fiber yang di jumpai di lokasi kejadian.

Kebiasaannya, analisis yang dijalankan adalah ujian kepanasan dan juga ujian kimia bagi mengetahui jenis dan komposisi fiber tersebut. Ujian fizikal juga seperti kekuatan fiber tersebut juga membantu dalam proses identifikasi.

Kesan darah

Dalam sesuatu kes pergelutan yang mengakibatkan kecederaan, darah menjadi bahan bukti yang penting bagi mengaitkan antara suspek, mangsa dan juga lokasi kejadian. Penemuan kesan darah mangsa pada alat senjata juga memberitahu pihak penyiasat mengenai alat yang diguanakan semasa pergelutan.

Dari situasi di atas, sekali lagi prinsip Locard memainkan peranan penting dalam membantu siasatan.

Apakah maklumat yang boleh diperoleh dari kesan darah ini?
Pertama ialah identity empunya darah melalui ujian Deoxyribonucleic acid (DNA) analisis, sama ada darah suspek atau mangsa dan yang kedua adalah bentuk kesan darah ini membantu pihak penyiasat untuk membina semula kejadian jenayah tersebut (crime scene reconstruction)

Kesimpulan

Prinsip Locard yang di asaskan oleh Dr. Edmond Locard banyak membantu siasatan dalam menghubungkaitkan antara suspek, mangsa dan juga lokasi kejadian. Bahan bukti yang di jumpai di lokasi perlu di analisis dengan cermat agar signifikan dengan kes supaya suspek dapat di kaitkan seterusnya membuktikan suspek berada di lokasi kejadian.

Namun begitu, pada masa kini penjenayah semakin maju dengan menggunakan teknologi terkini, malahan semakin mahir untuk menghapuskan bukti kehadiran mereka di lokasi jenayah. Oleh itu, tugas seorang Ahli Forensik kini semakin mencabar dan mereka perlu menyiapkan diri dengan segala ilmu forensik agar penjenayah dapat di bawa kemuka pengadilan.

Semakan Akhir : 21 April 2014
Penulis / Penterjemah : Mohd Faizul b. Abd Wahab
Akreditor : Sharifah Safoorah bt. Syed Alwee Al Aidrus