Pengenalan
Bahan bukti forensik merupakan bahan atau maklumat yang diperolehi melalui kaedah saintifik untuk digunakan ketika perbicaraan di mahkamah. Semasa penyiasatan, bahan bukti forensik yang dikumpul di tempat kejadian atau semasa bedah siasat mayat akan di analisis di makmal dan hasil analisis tersebut akan dibentangkan di mahkamah.Setiap tempat kejadian jenayah adalah unik dan setiap kes mempunyai cabarannya yang tertentu. Kes-kes kematian atau jenayah yang kompleks memerlukan pengumpulan, pemeriksaan dan analisis sebilangan besar bahan bukti.
Kepentingan
Pengumpulan bahan bukti forensik adalah sangat penting di dalam penyiasatan jenayah dan pendakwaan di mahkamah. Antara kepentingan bahan bukti forensik adalah seperti berikut:
- Membuktikan bahawa jenayah telah dilakukan atau wujudnya elemen utama jenayah
- Memberikan arah yang jelas dalam sesuatu penyiasatan kes
- Menghubungkan di antara suspek dengan mangsa atau tempat kejadian jenayah
- Mengenal pasti identiti individu yang terlibat dengan jenayah
- Melepaskan mereka yang tidak bersalah
- Menyokong atau menyangkal pengakuan atau bukti alibi suspek
- Mendorong pengakuan oleh suspek
- Menyokong testimoni mangsa dan saksi
- Membantu dalam membuktikan fakta-fakta yang sebenarnya berlaku
- Membantu dalam menyediakan testimoni pakar di mahkamah
Jenis-jenis Bahan Bukti
Terdapat pelbagai jenis bahan bukti forensik yang boleh digunakan untuk membantu para penyiasat dalam menyelesaikan kes-kes jenayah dan kematian. Pelbagai klasifikasi telah digunakan untuk mengkategorikan bahan bukti forensik. Secara umumnya, bahan bukti forensik dapat dikategorikan kepada 3 bahan bukti utama iaitu bukti biologi, fizikal dan kimia.
- Bukti Biologi
Bukti biologi merupakan segala bahan yang berasal dari sesuatu atau seseorang hidup seperti darah, air liur, semen, urin, peluh, tulang, rambut, kandungan perut, organ dalaman badan dan bendalir badan lain. Bahan bukti biologi termasuk juga tumbuhan dan serangga seperti lalat, semut dan sebagainya.
Bahan bukti ini biasanya dikumpul sama ada di tempat kejadian atau semasa autopsi mayat dijalankan. Biasanya bukti biologi ini akan dihantar ke makmal sama ada untuk analisis DNA, toksikologi, ujian kandungan alkohol dalam darah, ujian dadah, pemeriksaan histopatologi dan mikrobiologi.
Spesimen darah, air liur, semen, peluh dan tulang yang dikumpul boleh dihantar ke makmal untuk analisis DNA. Untuk ujian toksikologi pula, sampel yang akan dihantar biasanya adalah seperti darah, urin, kandungan perut dan organ dalaman.
Bukti biologi ini banyak ditemui dalam kes pembunuhan, jenayah seksual, bunuh diri dan jenayah ganas.
Gambar 1 : Percikan darah
(Sumber: http://www.thes4p.com/wp-content/uploads/2013/07/Dexter_19.jpg) - Bukti Fizikal
Bukti fizikal merupakan bahan bukan hidup seperti senjata api, luka akibat pisau, kaca, serpihan dan termasuk juga bukti impresi seperti cap jari, bekas tapak kaki dan kasut, bekas tayar dan peralatan, dan kesan gigitan. Bukti impresi terjadi apabila berlakunya sentuhan di antara dua objek.
Cap jari diterima sebagai satu bukti penting sebagai pengenalan diri yang eksklusif kepada pemiliknya. Bahkan pasangan kembar seiras yang mempunyai DNA yang serupa juga memiliki set cap jari yang tersendiri (berbeza). Pengetahuan cap jari digunakan sebagai cara untuk menentukan identiti seseorang dengan tepat.
Bahan bukti fizikal ini biasanya boleh ditemui dalam kes pecah rumah, rompakan, kemalangan jalan raya, kes langgar dan lari dan pembunuhan.
Gambar 2 : Contoh-contoh bukti fizikal
Kesan pemutar skru di bawah pembesaran mikroskop
(sumber: http://www.anilaggrawal.com/ij/vol_001_no_002/paper005.html) -
Bukti Kimia
Bukti kimia terdiri daripada pelbagai jenis dadah, ubat-ubatan, produk alkohol, serbuk senjata api, sisa bahan letupan, bahan kimia beracun, bahan pelincir dan bahan pembakar. Bahan-bahan bukti ini biasanya ditemui dalam kes-kes pembakaran dengan sengaja, pembunuhan, bunuh diri, rompakan dan vandalisme.
Gambar 3 : Contoh-contoh bukti kimia
Penerimaan dalam mahkamah
Penerimaan dan penolakan sesuatu bahan bukti berkait rapat dengan integriti bahan bukti tersebut. Integriti dan identiti sesuatu bahan bukti dapat dipelihara dengan menjaga rantaian bahan bukti iaitu bermula daripada ia dikumpul, dihantar ke makmal sehingga laporan keputusan analisis dikeluarkan. Dalam menjaga rantaian bahan bukti, proses pengumpulan dan penyerahan sesuatu bahan bukti daripada satu pihak kepada pihak yang lain hendaklah didokumentasikan dengan jelas. Tarikh, masa, jenis bahan bukti dan individu yang menyerah dan menerima bahan bukti tersebut mesti direkodkan dengan teliti. Selain itu, integriti dan identiti bahan bukti dapat dipelihara dengan pengendalian spesimen yang betul iaitu bermula daripada proses pengumpulan, pembungkusan, pelabelan, pemeteraian dan penyimpanan spesimen. |
|
![]() Gambar 5 : Spesimen yang telah dimeterai |
Pengendalian spesimen yang betul dan penjagaan rantaian bahan bukti dapat mengelakkan integriti dan kesahihan bahan bukti tersebut dipersoalkan dan menimbulkan keraguan di mahkamah. Dengan itu, hasil laporan analisis atau pemeriksaan dapat diterima sebagai bahan bukti di mahkamah. Sebarang kesilapan yang berlaku boleh mengakibatkan sesuatu kes dibuang oleh mahkamah, seterusnya seseorang pesalah terlepas daripada tuduhan dan seseorang yang tidak bersalah disabitkan dengan sesuatu tuduhan.
|
Rujukan
- Saferstein, R. (2007). Criminalistics: An Introduction to Forensic Science. 9th Ed. Upper Saddle River, NJ: Pearson/ Prentice Hall.
- William, G.E. (2000) Introduction to Forensic Sciences. 2nd Edition. Boca Raton, Florida: CRC Press
- Tom, M.E. (2010). The Role and Impact of Forensic Evidence in the Criminal Justice System Final Report
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Asrul Fahmi b. Abd Mutalib |
Akreditor / Penyemak | : | Dr. Khoo Lay See |