A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa yang Boleh Anda Lakukan Sekiranya Terjadi Kecederaan Kepada Gigi Anak Anda?

Kemalangan kepada kanak-kanak yang menyebabkan kecederaan pada bahagian muka, mulut dan gigi sering terjadi sama ada di dalam atau di luar rumah. Ini mungkin disebabkan oleh kanak-kanak terjatuh, berlaga semasa bermain, aktiviti sukan dan kemalangan jalan raya.

Pengenalan

Kemalangan kepada kanak-kanak yang menyebabkan kecederaan pada bahagian muka, mulut dan gigi sering terjadi sama ada di dalam atau di luar rumah. Ini mungkin disebabkan oleh kanak-kanak terjatuh, berlaga semasa bermain, aktiviti sukan dan kemalangan jalan raya. Menurut kajian, 1/3 kanak-kanak berumur 5 tahun dan 20-30% kanak-kanak berumur 12 tahun telah mengalami kecederaan melibatkan gigi dan ianya lebih kerap terjadi di kalangan kanak-kanak lelaki.

alt

Sekira berlaku kepada anak anda, anda seharusnya mendapatkan nasihat doktor pergigian dengan segera untuk memastikan sama ada rawatan diperlukan atau tidak. Doktor pergigian selalunya akan memeriksa bahagian yang tercedera dan mengambil x-ray.

Penjagaan Awal Jika Terjadi Kecederaan

Langkah-langkah yang cepat dan sesuai di tempat kejadian berupaya mengurangkan kebimbangan dan kesakitan serta boleh menyelamatkan gigi sekiranya gigi tercedera. Ia berkemungkinan mencegah kehilangan awal gigi semasa tempoh penting tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak yang terlibat.

  • Sekiranya berdarah, tekap bahagian yang berdarah dengan kapas atau kain bersih.
  • Sekiranya sakit, tekap bahagian yang sakit dengan ais yang dibalut dengan kain selama 20 minit.
  • Sekiranya bahagian di sekitar bibir atau muka membengkak akibat kecederaan, tuam dengan tuala sejuk untuk mengurangkan bengkak.
  • Sekiranya masih sakit, ambil ubat penahan sakit yang boleh didapati di farmasi seperti paracetamol (Panadol) atau ibuprofen (Brufen)
  • Untuk gigi yang longgar, elakkan makan makanan yang keras, hanya ambil makanan lembut seperti bubur nasi, roti dan sebagainya.

Sekiranya kemalangan tersebut menyebabkan gigi anak anda retak, pecah atau patah, jika boleh, simpan bahagian gigi yang patah dan bawa ia bersama anda semasa berjumpa doktor gigi. Gigi retak atau patah seharusnya dirawat dan diperbaiki secepat mungkin untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk. Kebiasaannya gigi yang pecah boleh diperbaiki dengan ditambah bahan tampalan bergantung kepada saiz gigi yang pecah tersebut.

Bilakah Anda Patut Membawa Anak Anda Ke Klinik Kecemasan?

Di kebanyakan hospital di Malaysia, terdapat doktor pergigian yang memberikan rawatan kecemasan di luar waktu pejabat. Mereka kebiasaannya merawat pesakit di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan.

Bawa anak anda ke klinik kecemasan sekiranya

  • Anda rasa yang anak anda perlu dilihat atau mendapat kecederaan serius
  • Pendarahan tidak berhenti walaupun setelah anda cuba menekan kawasan luka dengan kapas atau kain selama 10 minit
  • Gigi kekal dan gigi susu terasa longgar apabila anda cuba menyentuhnya
  • Gigi tertolak keluar dari tempat asal
  • Gigi berubah kedudukan sehingga mengganggu gigitan asal (tersesar ke bahagian bibir, tersesar ke lelangit ataupun termasuk ke dalam tulang rahang).
  • Gigi terkeluar sepenuhnya dari soket
  • Sakit gigi yang teruk
  • Anak anda di bawah umur 1 tahun

Pengendalian Gigi Kekal Hadapan Yang Tertanggal Dari Soket

Jika sekiranya berlaku kemalangan kepada anak anda yang menyebabkan gigi kekal hadapannya terkeluar dari soket (lubang tulang di mana gigi tertanam), anda masih boleh menyelamatkan gigi tersebut dengan memasukkan gigi tersebut semula ke dalam soketnya. Teknik ini dipanggil reimplantation atau implantasi semula. Terdapat tip-tip yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan kejayaan langkah ini.

alt   alt
     
alt

Tindakan yang perlu

  • Pegang gigi di bahagian kepala atau korona gigi
  • Jika gigi itu bersih, masukkannya dengan perlahan ke kedudukan asal
  • Jika terdapat kekotoran,bilas gigi dengan air mengalir
  • Bila gigi telah berada di kedudukan asal (soket), arahkan kanak-kanak berkenaan menggigit sapu tangan atau kain lembut supaya gigi tidak berganjak
  • Bawa kanak-kanak berjumpa doktor gigi dengan segera untuk rawatan selanjutnya

Jangan lakukan

  • Jangan memegang bahagian akar gigi
  • Jangan memberus permukaan gigi dan akarnya
  • Tidak perlu menggunakan apa-apa bahan pencuci
  • Jangan membalut gigi dengan kertas tisu atau sapu tangan
  • Jangan berlengah-lengah untuk mendapatkan rawatan segera
  • Jangan bawa gigi dalam keadaan kering, dibalut kain atau tisu
  • Jangan bawa dalam air paip

Nota: Tempat simpanan gigi yang paling sesuai sebelum dibawa ke klinik ialah soketnya sendiri.

Sekiranya gigi tersebut tidak dapat dimasukkan ke kedudukan asalnya dengan segera:

  • Simpan gigi didalam cecair yang sesuai sebelum dibawa ke klinik gigi.

Cecair yang sesuai ialah:

  • Susu segar dan bukannya susu pekat atau susu tepung;
  • Air salina (0.9% sodium chloride) dan jangan cuba membuatnya sendiri;
  • Air liur kanak-kanak tersebut yang diletakkan di dalam bekas yang bersih;

Sekiranya cairan tersebut tidak diperolehi:

  • Bawa gigi di dalam beg plastik yang bersih untuk memastikan gigi tidak terbiar kering.
  • Gigi juga boleh diletakkan di bahagian tepi pipi di dalam mulut untuk memastikan ia basah. Walau bagaimanapun, cara ini tidak digalakkan kerana kemungkinan ia boleh tertelan oleh kanak-kanak tersebut.

PERINGATAN: Faktor yang kritikal di sini ialah gigi sentiasa berada di dalam keadaan lembab, tidak kering di sepanjang perjalanan sebelum mendapatkan rawatan lanjut.

Kesimpulan

Langkah-langkah awal dan berkesan dalam menangani kecederaan di bahagian mulut berupaya mengurangkan kebimbangan dan kesakitan serta boleh mencegah kehilangan awal gigi sekiranya gigi tercedera, terutamanya semasa tempoh penting tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Sarimah bt. Mohd Mokhtar
Akreditor : Dr. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus
Penyemak : Dr. Laila bt. Abd Jalil

 

Artikel Berkaitan

Peningkatan Usia dan Perubahan Gusi

Penyusutan gusi telah memberi kesan ke atas peratusan besar golongan warga tua. Disebabkan terdapat pendedahan akar, golongan ini lebih cenderung untuk mendapat karies dan penyakit gusi.

‘Mucocele’

‘Mucocele’ adalah salah satu penyebab bengkak di dalam mulut. Ia adalah lesi yang kerap melibatkan mukosa mulut yang di gambarkan sebagai satu atau beberapa benjolan bulat yang lembut, berisi cecair; yang biasanya tidak menyebabkan kesakitan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,234,064

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia