A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Splint?

Splint adalah sejenis alat yang digunakan untuk menyokong anggota badan yang patah atau terseliuh yang boleh mengurangkan risiko kecederaan.

Pengenalan

Splint adalah sejenis alat yang digunakan  untuk menyokong anggota badan yang patah atau terseliuh. Splint boleh diperbuat daripada sebarang bahan yang kukuh seperti kayu, kotak tebal, papan  dan juga thermoplastik. Splint boleh mengurangkan risiko kecederaan menjadi lebih serius.  Di hospital, thermoplastik splint merupakan bahan yang paling sesuai untuk menyokong dan membantu memulihkan anggota badan yang patah, terseliuh atau otot yang cedera.

Kenapa Perlu Guna Splint?

Splint sangat perlu bagi mengelakkan  anggota  yang  patah atau  terseliuh dari menjadi lebih teruk. Splint digunakan sebagai penyokong dan  mengunci pergerakan anggota tersebut. Selain daripada itu, penggunaan splint juga menggalakkan proses penyembuhan  dengan merehatkan anggota yang cedera dalam kedudukan yang menggalakkan peredaran darah dan mengurangkan bengkak. Berikut adalah beberapa fungsi splint yang lain:

  • Menyokong dan mengurangkan sakit pada sendi
  • Menghadkan pergerakan bagi proses penyembuhan anggota yang cedera
  • Melindungi otot yang cedera
  • Menyokong anggota yang patah supaya lebih stabil
  • Menghadkan pergerakkan anggota yang tidak diperlukan
  • Menggalakkan fungsi anggota terlibat
  • Menguatkan pergerakan otot
  • Mengelakkan anggota yang cedera menjadi cacat
  • Merehatkan otot yang sakit

 

 

Berapa Lamakah Perlu Memakai Splint?

Penggunaan splint sangatlah berkait rapat dengan tahap kecederaan yang dialami. Sebagai contoh, splint digunakan selama 6 minggu bagi kecederaan patah tangan dan selama dua  hingga enam bulan untuk kederaaan patah kaki. Sekiranya pesakit mengalami simptom kebas  tangan, splint juga sangat sesuai digunakan bagi merehatkan  tangan tersebut dan mengurangkan simptom kebas dan sakit. Keistimewaan splint adalah, ia boleh dibuka dan dipasang semula dengan mudah bagi tujuan kebersihan anggota yang terlibat. Namun adalah tidak digalakkan  membuka splint untuk tempoh yang lama kerana ia boleh menggangu proses penyembuhan anggota tersebut.

 

Apa Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Mengalami Alah Kepada Splint?

Tempoh pemakaian splint yang lama ada kalanya menyebabkan kulit alah kepada bahan tersebut. Alahan  ini adalah disebabkan oleh peluh dan keadaan kulit yang kurang bersih.

Antara tanda-tanda pesakit alah kepada splint adalah :

  1. Rasa gatal pada kulit dan kulit mula menjadi kemerahan.
  2. Timbul ruam atau bintik-bintik kecil pada kulit yang ditutup splint.

 

Sekiranya timbul gejala di atas, pesakit adalah dinasihatkan segera berjumpa dengan Terapis yang membuat splint tersebut bagi mengelakkan sebarang keadaan yang lebih memudaratkan.

Selain daripada itu, pesakit juga boleh segera berjumpa Terapis sekiranya rasa tidak selesa dan mengganggu aktiviti harian, timbul tanda merah pada sendi dan juga garisan merah pada anggota yang ditutupi splint.

 

Bagaimana Untuk Menjaga Splint?

Apa pun bentuk splint dan bahan yang digunakan, pesakit juga perlu tahu cara menjaga splint. Ini bertujuan untuk mengelakkan jangkitan kuman pada kawasan yang cedera, dan juga memastikan tujuan pemakaian splint tercapai. Splint perlu sentiasa dicuci dengan sabun dan air pili bagi menjamin kebersihannya. Splint tidak boleh diletakkan di tempat yang panas atau ada punca haba, ini bagi mengelakkan splint rosak dan hilang bentuk  yang dikehendaki. Jangan sekali-kali menggunakan agen pelembap semasa memakai splint.

 

Rujukan

  1. Occupational Therapy for Physical Dysfunction (6th Edition).Catherine A. Trombly Latham.
  2. Dorland’s Medical Dictionary for Health Consumers. © 2007 by Saunders, an imprint of Elsevier, Inc.
  3. Ewing Fess E, McCollum M. The influence of splinting on healing tissues.Journal of Hand Therapy. 1998;11:157–161. [PubMed]
  4. Rives K, Gelberman R, Smith B, Carney K. Severe contractures of the proximal interphalangeal joint in Dupuytren’s disease: results of a prospective trial of operative correction and dynamic extension splinting. J Hand Surg [Am] 1992;17:1153–1159. [PubMed]
  5. Webb CW. Metacarpal fractures. In: Eiff MP, Hatch RL, eds. Fracture Management for Primary Care. 3rd ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2011:chap 4.

 

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Juliana Bt Ibrahim
Akreditor : Jamilah Bt Abdul Kuthoos
Penyemak : Tan Foo Lan

Artikel Berkaitan

Luka Tembakan : Rawatan Awal

Luka ini berpunca daripada kemasukan peluru atau lain-lain pelontar ke dalam tubuh badan yang menyebabkan kecederaan dalaman yang serius. Luka pada titik kemasukan peluru mungkin kecil dan bersih tetapi luka di dalam mungkin lebih serius serta lebih besar akibat peluru yang berselerak.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,193,916

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia