Home > Ubat & Anda > Fakta Ubat > Antikolesterol

Antikolesterol

Pengenalan

Antikolesterol adalah ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol yang tinggi dalam darah. Organ hati menghasilkan kolesterol daripada lemak yang terdapat dalam diet kita. Kolesterol tidak larut dalam darah, sebaliknya ia bercantum dengan pembawa yang dinamakan lipoprotein yang bertanggungjawab mengangkutnya antara sel. Kolesterol dalam kuantiti tertentu diperlukan oleh badan kita bagi penghasilan membran sel, beberapa jenis hormon dan vitamin D.

Sebahagian besar kolesterol dalam badan kita terdiri daripada kompleks Low-density lipoproteins (LDL). LDL dikenali sebagai kolesterol jahat kerana kandungannya yang tinggi boleh menyebabkan gumpalan dalam arteri yang akan mengakibatkan penyakit jantung. Kompleks High-density lipoproteins (HDL) pula menyerap kolesterol dan membawanya kembali ke organ hati yang akan mengepam keluar kolesterol dari badan. Kandungan HDL atau kolesterol baik yang tinggi akan mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.

Kiraan jumlah kolesterol ditentukan oleh paras kandungan kompleks kolesterol LDL, HDL dan trigliserida, di mana kiraan yang tinggi menunjukkan paras kandungan kompleks kolesterol tersebut yang abnormal.

Jenis Antikolesterol

Ubat antikolesterol bertindak mengurangkan paras kolesterol darah melalui pelbagai fungsi berdasarkan jenis yang berbeza.

Jenis-jenis ubat antikolesterol:

  1. Perencat Hydroxy-Methylglutaryl Coenzyme A (statin)
  2. Resin pengikat asid hempedu
  3. Asid Nikotinik
  4. Derivatif Asid Fibrik
  5. Perencat serapan kolesterol

Fungsi

Perencat Hydroxy-Methylglutaryl Coenzyme A (HMG Co A) juga dikenali sebagai statin. Ubat dalam kumpulan ini berfungsi untuk mengurangkan penghasilan kolesterol oleh tubuh dengan merencat atau menghalang sejenis enzim iaitu HMG Co A. Enzim ini bertanggungjawab untuk menghasilkan kolesterol di dalam organ hati.

Resin pengikat asid hempedu bertindak dengan mengikat asid hempedu sehingga menyebabkan kekurangan asid ini bagi tujuan pencernaan. Apabila asid hempedu berkurangan, hati akan meningkatkan penggunaan kolesterol untuk menghasilkan asid hempedu dan keadaan ini membantu dalam menurunkan aras kolesterol yang berlebihan dalam darah.

Asid Nikotinik atau nama lainnya Niacin bertindak mengurangkan penghasilan kolesterol dalam badan melalui beberapa tapak jalan yang akan menyebabkan paras LDL dan Trigliserida menurun dan paras HDL meningkat.

Derivatif Asid Fibrik biasanya digunakan bagi rawatan paras trigliserida yang tinggi dalam darah. Ubat dalam kumpulan ini akan mengurangkan penghasilan Very Low-density lipoproteins (VLDL) dan mempercepatkan pembuangan trigeliserida daripada tubuh kita.

Perencat serapan kolesterol bertindak dengan menghadkan penyerapan kolesterol daripada sumber makanan di usus tanpa mengganggu penyerapan Trigliserida dan vitamin larut lemak.

Terdapat rawatan yang mengabungkan dua kumpulan ubat antikolesterol. Gabungan ubat antikolesterol ini didapati berguna bagi pesakit yang gagal mencapai paras kolesterol dalam darah yang optima walaupun pesakit patuh dalam pengambilan ubat sedia ada.

Formulasi ubat antikolesterol di pasaran.

Bil.
Jenis Antikolesterol
Nama Ubat
Dos
1. Perencat Hydroxy-Methylglutaryl Coenzyme A (statin) Lovastatin 20-80 mg
Pravastatin 20-40 mg
Simvastatin 20-80 mg
Atorvastatin 10-80 mg
Fluvastatin 20-80 mg
Rosuvastatin 10-40 mg
2. Resin pengikat asid hempedu Cholestyramine Tiada di pasaran Malaysia
Colestipol
Colesevelam
3. Asid Nikotinik Immediate release Nicotinic Acid 50-250mg
Extended release Nicotinic Acid 375-1000mg
4. Derivatif Asid Fibrik Gemfibrozil 300,600 mg
Fenofibrate 100-300mg
5. Perencat serapan kolesterol Ezetimibe 10 mg
6. Combination therapy Ezetimibe and Simvastatin 10/10mg, 10/40mg, 10/80mg

Cara ambilan dan kesan sampingan.

Pesakit yang mengambil ubat jenis statin bermungkinan mengalami beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala, loya, sembelit, gatal/ruam dan keletihan yang biasanya akan reda setelah tubuh menyesuaikan diri. Masalah otot dan keabnormalan organ hati walaupun jarang berlaku, namun mungkin memerlukan pemantauan berkala.

Kesan sampingan utama dengan pengambilan Resin pengikat asid hempedu adalah sembelit. Ianya boleh diatasi dengan meningkatkan kuantiti pengambilan air harian. Kesan sampingan lain yang boleh berlaku termasuk loya, kembung perut dan ketidakhadaman. Memandangkan ubat dari jenis ini akan mengganggu penyerapan pelbagai ubat-ubatan lain, pesakit dinasihatkan agar mengambil ubat ini 1 jam sebelum atau 4 jam selepas mengambil ubat-ubatan yang lain.

Kulit bertukar kemerah-merahan adalah kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit yang mengambil asid nikotinik. Kesan sampingan ini boleh diatasi dengan mengambil ubat ini pada waktu malam dan mengelakkan pengambilan minuman panas dan beralkohol.

Antara kesan sampingan dengan pengambilan ubat Derivatif Asid Fibrik adalah gangguan saraf otot (sakit kepala, keletihan dan vertigo), cirit-birit, loya, ruam dan ekzema. Pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat antikolesterol ini bersama makanan bagi mengelakkan gangguan gastrousus. Selain daripada itu, pesakit yang mengalami kesakitan dan kelemahan otot atau sendi selepas pengambilan asid fibrik ini perlu memaklumkan perkara tersebut kepada doktor.

Pemantauan

Ubat antikolesterol seperti statin,gemfibrozil dan niacin boleh menganggu fungsi normal hati. Oleh itu, pesakit yang menggunakan ubat antikolesterol ini perlu menjalani ujian makmal secara berkala bagi memastikan fungsi hati adalah dalam keadaan baik. Jika ujian makmal menunjukkan terdapat perubahan dalam fungsi hati, pertukaran dos atau ubat perlu dilakukan oleh doktor yang merawat pesakit tersebut.

Maklumat khas

Keberkesanan pengambilan ubat antikolesterol adalah berbeza bagi setiap individu. Kepatuhan dalam pengambilan ubat antikolesterol ini amat penting bagi mencapai sasaran rawatan. Pesakit juga perlu memaklumkan pihak doktor sekiranya mengalami sebarang kesan samping akibat pengambilan ubat antikolesterol.

Selain daripada pengambilan ubat antikolesterol, pesakit juga perlu mengamalkan perkara-perkara berikut bagi meningkatkan keberkesanan rawatan:

  1. Makan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
  2. Kerap melakukan senaman
  3. Berhenti merokok
  4. Mengurangkan dan menghentikan pengambilan alkohol

Rujukan

  1. Anonymus (2013).High cholesterol. Retrived November 1,2013, from http://www.mayoclinic.com/health/high-blood-cholesterol/DS00178/DSECTION=treatments-and-drugs
  2. Hochholzer,W.Berg,D.D, Giugliano,R.P.(2011). The facts behind niacin. Retrieved November 2,2013, from http://www.medscape.com/viewarticle/750937_3
  3. Joint Formulary Committee (2008-2009). British National Formulary. 58th edition. London: British Medical Association and Royal Pharmaceutical Society of Great Britain.
  4. Moll.J (April 13,2009).Niacin effect can lower your cholesterol.Retrived October 29,2013, from http://cholesterol.about.com/od/nicotinicacid/
  5. Moll.J (December 19,2007).What is niacin and how does it work ?.Retrived October 29,2013, from http://cholesterol.about.com/od/nicotinicacid/
  6. Ogbru,O. (n.d.). Statins. Retrived October 31,2013, from http://www.medicinenet.com/statins/article.htm
  7. Safeer,R.S & Lacivita,C.L (2000).Choosing drug therapy for patients with hyperlipidemia.Retrived October 29,2013, from http://www.aafp.org/afp/2000/0601/
  8. Simon,H.,Zieve.D (2012). High blood cholesterol level in-depth report. Retrived November 1,2013, from http://health.nytimes.com/health/guides/disease/high-blood-cholesterol-and-triglycerides/background.html
Semakan Akhir : 11 Ogos 2014
Penulis : Mazuin bt. Mahmud Taridi
Akreditor : Najwa bt. Ahmad Hamdi

 

(Visited 122 times, 1 visits today)