Home > Umum > Forensik > Anggaran Jangka Masa Kematian

Anggaran Jangka Masa Kematian

Anggaran Jangka Masa Kematian Dengan Menggunakan Pendekatan Forensik

Apakah Itu Jangka Masa Kematian(PMI)

Jangka masa kematian (PMI) adalah tempoh masa sejak kematian berlaku sehingga mayat tersebut ditemui semula. Ia hanya merupakan anggaran dan bukannya penentuan masa kematian. Ia biasanya diambil kira sebagai tempoh minimum atau dalam lingkungan anggaran masa dan boleh diberikan dalam tempoh jam, minggu, bulan atau tahun. Dalam 72 jam yang pertama selepas kematian, pakar patologi forensik biasanya menentukan masa kematian dengan agak tepat berdasarkan keadaan mayat dan faktor penurunan suhu mayat. Perubahan-perubahan setelah mati yang selanjutnya kurang memberi maklumat untuk menentukan anggaran jangka masa kematian. Oleh sebab itu, satu bidang kepakaran khusus diperlukan untuk menentukan masa kematian tersebut (Dorothy 2007).


Sumber: taphonomy.wikispaces.com
Gambar tulang manusia di tempat kejadian

Masa kematian boleh dianggar dengan tiga cara yang berbeza. Cara pertama adalah anggaran pakar patologi forensik berdasar kepada perubahan-perubahan mayat. Cara kedua adalah kematian dari segi undang-undang iaitu ditakrifkan sebagai masa apabila mayat itu ditemui. Cara ketiga pula adalah kematian dari segi fisiologi iaitu masa di mana fungsi-fungsi penting mangsa betul-betul terhenti. Sebagai contoh, jika seorang pembunuh bersiri membunuh mangsa pada bulan Julai, tetapi mayat tidak ditemui sehingga Oktober; maka kematian dari segi fisiologi telah berlaku pada bulan Julai, tetapi kematian dari segi undang-undang adalah pada bulan Oktober. Masa kematian berlaku yang dianggarkan oleh pakar patologi boleh tercatit sama ada pada Julai mahupun Jun atau Ogos. Banyak kes kematian adalah berlaku disaksi oleh sesiapa pun. Kematian kejut boleh berlaku semasa tidur, kematian akibat kemalangan sering berlaku apabila mangsa bersendirian, begitu juga dengan kematian bunuh diri. Dalam kes dibunuh, pembunuh biasanya adalah satu-satunya saksi. Walaupun pembunuh itu memeriksa jam tangannya, dia tidak mungkin menyampaikan maklumat itu kepada pegawai penyiasat (Lyle 2004).

Kaedah Menganggar PMI Untuk Mayat

Selepas kematian, mayat mula mengalami perubahan dalam corak tertentu yang dapat digunakan untuk menganggar masa kematian dari segi fisiologi. Bagaimanapun, perubahan mayat ini berlaku dengan kadar yang tidak tetap dan tiada faktor tertentu yang dapat memberikan PMI dengan tepat. 


Sumber: ilbe.com
Hubungkait antara penurunan suhu badan dengan kadar penguraian, lebam mayat dan kaku mayat

Suhu Badan

Suhu badan biasa seseorang yang masih hidup adalah 37°C, kehilangan suhu badan selepas kematian adalah pada kadar lebih kurang 1 darjah Fahrenheit sejam sehingga ia selaras dengan suhu sekeliling tetapi kadar ini berbeza-beza di persekitaran yang berlainan. Suhu di bawah organ hati biasa diguna sebagai suhu badannya. Pada lazimnya anggaran masa kematian adalah lebih tepat jikalau mayat dijumpai lebih awal. Jenis pakaian, udara panas, pendedahan kepada cahaya matahari secara langsung atau persekitaran yang tertutup akan menyebabkan kehilangan haba berlaku secara perlahan. Seseorang kanak-kanak atau warga tua yang kurus badannya, mayat tidak berpakaian yang terdedah kepada keadaan sejuk, udara bergerak, air, keadaan teduh atau permukaan sejuk akan mengalami kehilangan haba dengan lebih cepat. Walaupun sukatan kehilangan haba ini adalah tidak begitu tepat, akan tetapi pakar patologi masih boleh membuat anggaran yang agak jitu dengan adanya ukuran suhu badan teras dan faktor-faktor sekeliling diambil kira dengan teliti (Lyle 2004).


Sumber: skepticaljuror.com
Perubahan suhu badan teras selepas kematian

Kaku Mayat

Kaku mayat melibatkan kekakuan otot yang disebabkan oleh perubahan kimia dalam sel-sel otot berjalur dan otot polos selepas kematian. Badan menjadi kaku selepas mati adalah disebabkan oleh kehilangan adenosina trifosfat (ATP) dari sel otot. ATP adalah sebatian yang terbentuk daripada oksigen dan nutrien dan berfungsi sebagai sumber tenaga untuk aktiviti yang berkenaan dengan pengecutan otot. Apabila paras ATP jatuh selepas kematian, otot akan kecut, jadi kaku dan mula menghasilkan ketegaran. Kaku mayat akan berlaku sebelum tisu otot sendiri mula terurai. Pada suhu bilik, kaku mayat didapati dalam corak yang tertentu. Pada lebih kurang 2 jam selepas kematian, kaku mayat dikesan pada otot kecil seperti di bahagian muka dan leher dan terus merebak ke otot yang lebih besar. Keseluruhan proses pengecutan mengambil masa selama 8 – 12 jam, selepas itu badan akan menjadi kaku, keras dan menetap pada kedudukan asal sewaktu kematian berlaku. Mayat akan mengekalkan kekakuannya pada 12 jam yang berikutannya. Secara ringkasnya, kaku mayat adalah hanya berguna untuk menganggarkan masa kematian selama 36 – 48 jam pertama selepas kematian. Kadang-kadang kaku mayat berlaku dengan sangat cepat selepas kematian apabila tahap ATP telah banyak dihabiskan sebelum kematian seperti aktiviti lari dari penyerang, aktiviti fizikal yang berat, obesiti, strok haba, keracunan strychnine, sepsis, radang paru-paru atau proses lain yang menyebabkan demam. Manakala iklim sejuk atau keadaan beku segera mungkin dapat mengelakkan kaku mayat daripada berlaku pada badan selama beberapa hari, dan mungkin tidak sekata sehinggalah badan mula dipanaskan atau dicairkan. Oleh itu, kekakuan otot adalah kaedah yang kurang jitu untuk menentukan PMI kerana ia adalah sangat kerap berubah-ubah dan mudah diganggu kerana gentian otot akan pecah dan kekakuan tidak akan berlaku semula apabila mayat itu dibengkok atau diregang (Lyle 2004).


Sumber: skepticaljuror.com

Entomologi

Anggaran PMI boleh dilakukan melalui analisis terhadap urutan penggantian serangga yang menghurungi pada mayat dan dikaitkan dengan kitaran hidup setiap spesis tersebut yang terlibat. Contohnya, kemunculan longgokan besar bagi kombinasi spesis lalat, kumbang dan serangga lain yang hadir pada mayat telah menunjukkan anggaran PMI sekurang-kurangnya selama 3 bulan atau lebih. Analisis terhadap setiap peringkat urutan penggantian ini adalah berhubungkait rapat dengan peringkat pereputan untuk memberikan anggaran tepat masa seseorang itu telah mati. Pertama sekali, kaedah ini memerlukan setiap spesimen dikenal pasti mengikut kategori “family” masing-masing dan kemudian dikaitkan dengan kolonialisme dan urutan penggantian oleh organisma penguraian itu (Arnaldos et al. 2004). Goff (1993) menyatakan bahawa sesetengah serangga singgah pada mayat hanya menunjukkan sesuatu lokasi atau habitat tertentu manakala serangga lain hadir pada mayat adalah disebabkan terdapat hubungan secara langsung dengan peringkat penguraian mayat itu dan boleh diguna untuk menganggarkan sesuatu PMI. Urutan kolonialisme serangga adalah berbeza-beza dan bergantung kepada lokasi mayat itu sama ada dikebumikan, terbiar di atas permukaan tanah atau terendam dalam air. Kepelbagaian organisma kolonialisme pada mayat yang dikebumikan adalah kurang daripada organisma yang terdapat pada mayat yang terdedah di atas tanah. Lalat langau jarang hadir pada mayat yang dikebumikan. Namun kehadiran lalat keranda Conicera tibialis membuktikan mayat itu telah dikebumikan di lokasi berkenaan sekurang-kurangnya selama setahun atau lebih lama lagi. Lalat akan melalui beberapa generasinya di bawah tanah sebelum muncul semula di permukaan; maka ini tidak dapat menentukan tempoh pengebumian tetapi hanya membuktikan mayat itu telah dikebumikan di situ. Hakbijl (2000) telah menunjukkan kehadiran kumbang Rhizophagus paralellocollis (Gyllenhal) yang menjadikan kulat sebagai makanannya adalah berkaitrapat dengan mayat yang telah dikebumikan selama 2 tahun atau lebih. Perubahan dalam urutan penggantian serangga pada mayat di atas tanah adalah saling berkait dengan peringkat penguraian yang berlaku pada badan itu. Secara amnya dan dalam keadaan biasa, jika ahli entomologi hanya menjumpai telur lalat bangau, kematian itu mungkin berlaku kurang daripada 24 jam. Jika terdapat larva yang berkembang sepenuhnya tetapi tiada kekompong dijumpai, kematian mungkin berlaku kurang daripada 10 hari. Kemunculan kepompong menunjukkan bahawa mayat itu telah terbiar selama 6 – 10 hari atau lebih manakala kemunculan lalat dewasa yang baru menetas membuktikan kematian itu telah berlaku 2 – 3 minggu.

 
Sumber: willsavive.com
Kehadiran serangga penting dalam anggaran PMI


Kitaran Hidup
Sumber: nlm.nih.gov


Lalat langau
Sumber: entomology.unl.edu


Conicera tibialis
Sumber: thecoffinfly.com


Rhizophagus paralellocollis
Sumber: coleoptera.ksib.pl

Justeru itu, PMI boleh dianggar dengan menggunakan data darjah suhu terkumpul di tempat kejadian serta suhu minimum untuk pertumbuhan (suhu asas) khusus kepada spesis yang berbeza mengikut beberapa peringkat kitaran hidup untuk dibandingkan dengan kadar pertumbuhan eksperimennya yang sedia ada pada suhu tertentu (Klotzbach et al. 2004). Tempoh PMI mula dikira apabila lalat mula bertelur pada mayat sehinggalah mayat itu ditemui semula dan ini adalah sangat bergantung kepada pengenalpastian terhadap peringkat tertua bagi spesis yang singgah padanya. Serangga adalah berdarah sejuk (poikiloterma) dan tidak dapat mengawal suhu badannya, jadi mereka bergantung kepada alam sekitar sebagai sumber tenaga. Serangga menggunakan sebahagian daripada tenaga alam sekitar (unit termal) untuk membesar dan bertumbuh. Jumlah tenaga keseluruhan yang diperlukan untuk mencapai peringkat hidup tertentu boleh dikira secara spesifik. Unit-unit haba ini ditulis sebagai darjah hari (°D) atau darjah jam (°H). Setiap unit ini boleh ditambah untuk menggambarkan tempoh pertumbuhannya yang dikenali sebagai darjah hari terkumpul (ADD) atau darjah jam terkumpul (ADH) berdasarkan suhu tempat kejadian yang diperbetulkan dengan menggunakan regresi antara data dan suhu cuaca di tempat kejadian selepas kematian, kemudiannya ditolak dengan suhu asasnya. Suhu asas ini adalah dikira di makmal iaitu teruja daripada kadar pertumbuhan serangga pada suatu set suhu eksperimen. Suhu lawan 1/(jumlah hari untuk bertumbuh) diplot melalui kaedah anggaran penghampiran linear yang mana semakin sejuk suhunya, maka semakin perlahan serangga itu berkembang (Dorothy 2007).

Di bawah persekitaran terkawal atau keadaan dalam bilik di mana suhu adalah tetap, pertumbuhan larva dari segi panjangnya boleh diguna untuk menentukan PMI melalui lakaran rajah isomegalen dan isomorphen. Apabila larva dibunuh dengan merendamkannya dalam air mendidih, panjang larva boleh dikaitkan dengan masa sejak telurnya menetas. Masa sejak telur menetas ini boleh dibaca secara langsung dari rajah isomegalen berdasarkan panjang larva yang dikutip dari tempat kejadian. Satu lagi jenis graf yang dipanggil rajah isomorphen pula adalah hasil terbitan daripada plot peringkat kitaran hidup dari peringkat telur menetas ke peringkat lalat dewasa melawan dengan masa pada suhu tertentu. Setiap garisan dalam rajah ini telah menunjukkan perubahan dalam kitaran hidup serangga dari satu peringkat ke peringkat seterusnya (Dorothy 2007).


Sumber: scielo.br
Data eksperimen

 
Sumber: scielo.br
Rajah Isomegalen


Sumber: peerj.com
Rajah Isomorphen

Vitreous Humor

Akhir sekali, pemeriksaan mata akan memberi beberapa petunjuk mengenai PMI juga. Selepas kematian, kornea (lapisan jernih meliputi pupil) akan menjadi kabur dan legap tetapi ini mungkin berlaku hanya dalam masa beberapa jam sahaja sekiranya mata adalah terbuka ketika mati atau sehingga 24 jam jika mata tertutup. Kepekatan kalium dalam vitreous humor (bahan seperti jeli yang tebal dan mengisi bebola mata) meningkat dengan perlahan-lahan dalam beberapa hari pertama dan independen kepada suhu sekelilingnya. Walau bagaimanapun, penentuan PMI melalui kandungan kalium dalam vitreous humor adalah tidak begitu tepat dan berguna dalam 3 atau 4 hari pertama sahaja (Lyle 2004).


Sumber: stlukseye.com
Vitreous humor


Sumber: anilaggrawal.com
Kepekatan Kalium

Bagaimana PMI Membantu Dalam Penyiasatan

Dalam kes-kes jenayah, anggaran masa kematian yang tepat dapat membantu dalam penyingkiran seseorang suspek dan lebih tertumpu penyiasatannya terhadap suspek yang lain. Sebagai contoh, suami mangsa mengatakan bahawa dia meninggalkan rumah untuk menghadiri mesyuarat perniagaan pada pukul 2 petang dan kembali pada pukul 8 malam semasa mendapati isterinya telah meninggal dunia. Suami mangsa berkata bahawa dia berada di rumah sepanjang waktu sebelah pagi dan isterinya masih hidup apabila dia meninggalkan rumahnya. Jika ahli patologi menentukan masa kematian mangsa adalah di antara 10 pagi dan tengah hari, maka suami mangsa itu perlu membuat penjelasan terhadap apa yang telah berlaku sebenarnya. Sebaliknya, jika anggaran mendedahkan bahawa kematian itu berlaku di antara 4 dan 6 petang, suami mangsa akan mempunyai alibi yang boleh dipercayai untuk tempoh masa itu, maka siasatan akan bergerak ke arah yang lain. Bagaimanapun, anggaran masa kematian adalah tidak selalunya tepat. Demi membuat anggaran terbaik, pakar patologi forensik telah menggunakan setiap cara yang sedia ada iaitu dari keterangan saksi, suhu badan teras kepada serangga berkepentingan forensik yang menghurungi mayat seperti mana yang telah dibincangkan di atas (Lyle 2004).


Sumber: visual-evidence.com

Bagaimana PMI Menentu Tempatan Kejadian Primer dan Sekunder

Kehadiran serangga tertentu yang singgah pada mayat juga boleh dijadikan petunjuk penting sama ada mayat pernah dipindah dari tempat kejadian pertama ke tempat kejadian sekunder. Sekiranya terdapat spesis lalat yang tak terjangka hadir pada mayat iaitu lebih kepada sebab ciri-ciri habitat atau kawasan geografi yang berbeza, maka ini menunjukkan bahawa badan itu mungkin telah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari dalam bangunan ke luar bangunan. Ini sekali lagi adalah bergantung kepada pengetahuan tentang fauna tempatan serta catatan dalam jurnal yang dapat memberikan maklumat tentang spesis di kawasan berkenaan dan seterusnya membentuk asas kepada kesimpulan yang boleh diterima di mahkamah. Lebam mayat (Livor mortis) turut diguna untuk menganggarkan PMI dan menentukan sama ada mayat itu pernah dipindah atau tidak. Lebam mayat yang berwarna gelap keunguan ini akan muncul dalam tempoh 30 minit sehingga maksimum 8 – 12 jam selepas kematian. Warna gelap keunguan itu boleh dialih dengan mengubah kedudukan badan mayat dari kedudukan asal dalam tempoh 6 jam pertama selepas kematian, namun ia akan menjadi kekal sama selepas 6 – 8 jam kerana saluran darah sudah pecah dan darah terkumpul di sekeliling tisu badan (Dorothy 2007).


Sumber: ghefley.com
Lebam mayat yang berlaku pada mayat

Cabaran Dalam Pendekatan PMI

  • Tempat Dalam Bilik / Luar Bilik
  • Cuaca
  • Kecederaan

Beberapa faktor penting perlu diambil kira apabila mengira PMI. Keadaan mayat dalam bilik akan mengalami kelewatan 3 – 4 hari untuk membolehkan lalat mula singgah pada badan berbanding dengan mayat di kawasan luar.  Suhu jisim larva perlu dipertimbangkan dan diguna sebagai suhu untuk pertumbuhan larva sekiranya suhunya lebih tinggi daripada suhu sekeliling terutamanya apabila melibatkan larva instar kedua atau instar ketiga. Jika kepompong direkodkan, suhu tanah pada kedalaman 5, 10 dan 20 cm di tempat kejadian harus diukur untuk mengubahsuaikan anggaran suhu udara di tempat kejadian bagi mengetahui masa serangga itu mula berada dalam keadaan kepompong. Ketepatan ramalan suhu selalunya bergantung kepada variasi dalam rakaman suhu di stesen meteorologi sebelum mayat ditemui dibandingkan dengan rekod untuk beberapa hari atau minggu selepas mayat ditemui (Archer, 2004). Jika keadaan cuaca berubah-ubah secara ketara dalam masa 3 – 5 hari, cara terbaik adalah untuk membela serangga tersebut sehingga mencapai peringkat kitaran hidupnya seperti mana yang telah direkodkan pada mayat tersebut dengan menggunakan suhu seperti di tempat kejadian. Wall (2004) mencadangkan purata (min) suhu harian diguna apabila mengira data darjah terkumpul tanpa mengambil kira data suhu maksimum dan minimum. Kecederaan pada mayat sebelum mati akan memberi kesan terhadap pengiraan PMI kerana mayat yang berluka akan lebih cepat didedahkan kepada kolonislime lalat dan kemudiannya berlaku urutan penggantian organisma penguraian. Kesimpulannya, PMI selalunya merupakan hanya ramalan terbaik untuk membantu dalam penyiasatan jenayah dan menyingkirkan suspek yang tidak bersalah.

Rujukan

  1. Archer M.S. 2004. The effect of time after body discovery on the accuracy of retrospective weather station ambient temperature corrections in forensic entomology. Journal of Forensic Sciences 49(3): 1 – 7.
  2. Arnaldos M.I., Garcia M.D., Romera E., Presa J.J. and Luna A. 2004. Estimation of Postmortem Interval in Real Cases Based on Experimentally obtained Entomological Evidence. Forensic Science International 149: 57 – 65.
  3. Dorothy E.G. 2007. Calculating the Post Mortem Interval. 1st Ed. Forensic Entomology: An Introduction pg. 115 – 130. UK: John Wiley & Sons Ltd.
  4. Goff M.L. 1993. Estimation of post mortem interval using arthropod development and successional patterns. Forensic Science Review 5(2): 81 – 94.
  5. Hakbijl T. 2000. Arthropod remains as indicators for taphonomic processes: an assemblage from 19th century burials, Broerenkerk, Zwolle, The Netherlands. In Huntley J.P. and Stallibrass S. (eds), Taphonomy and Interpretation. Symposia for the Association for Environmental Archaeology, No 14. Oxbow Books: Oxford; pp 95 – 96.
  6. Klotzbach H., Schroeder H., Augustin C. And Pueschel K. 2004. Information is Everything – A Case Report Demonstrating the Necessity of Entomological Knowledge at the Crime Scene. Aggrawal’s Internet Journal of Forensic Medicine and Toxicology 5(1): 19 – 21.
  7. Lyle, D.P. 2004. Estimating the Time of Death. 1st Ed. Forensic for Dummies  pg. 161 – 173. Indiana: Wiley Publishing Inc.
  8. Wall R. 2004. Daily temperature fluctuation and the accumulation of the day-degrees. Proceedings of the European Association for Forensic Entomology, 29 – 30 March 2004, London.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Lai Poh Soon
Akreditor : Dr. Siew Sheue Feng
Penyemak : Dr. Khoo Lay See