A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Analisis Biokimia Bendalir Badan

Analisis Biokimia Bendalir Badan

Apakah bendalir badan?

Secara asasnya, bendalir badan adalah semua jenis cecair yang dikeluarkan dan dirembeskan oleh tubuh badan. Terdapat banyak jenis bendalir badan dalam tubuh manusia. Bendalir-bendalir ini mempunyai peranan masing-masing dalam mengekalkan fungsi badan. Contoh bendalir badan adalah seperti berikut:

  • Plasma darah (membawa sel-sel darah, zat makanan, hormon-hormon dan lain-lain)
  • Urin (bahan kumuh yag dikeluarkan dari buah pinggang)
  • Cecair tisu (terdapat di antara sel-sel)
  • Cecair serebrospina (cecair yang mengelilingi otak dan saraf tunjang)
  • Air liur dan cecair usus (membantu proses pencernaan)

Di makmal biokimia, kebanyakan spesimen rutin yang diterima untuk diuji adalah spesimen darah dan spesimen urin. Permohonan ujian bagi bendalir-bendalir seperti cecair serebrospina, cecair sinovial, cecair peritoneal, dan cecair ascites tidaklah sekerap permohonan ujian berbanding spesimen darah dan urin. Ini kerana, prosedur yang rumit diperlukan bagi mengeluarkan cecair-cecair ini dari badan. Dalam kebanyakan analisis biokimia bendalir badan, adalah disarankan supaya menjalankan ujian ke atas spesimen cecair secara serentak dengan spesimen darah bagi mengesahkan diagnosis penyakit.

Pengetahuan asas tentang jenis bendalir badan yang berbeza adalah perlu kerana bendalir-bendalir badan ini terlibat dalam pembentukan dan manifestasi penyakit-penyakit berbahaya seperti kegagalan jantung dan kanser.

  1. Cecair Serebrospina (CSF)

    Cecair serebrospina (CSF) berasal dari otak dan saraf tunjang. Fungsi CSF adalah:

    • Melindungi otak dalam tempurung dan saraf tunjang dari sebarang hentakan kepada Sistem Saraf Pusat (CNS)
    • Mengedar bahan termasuk zat maknan.
    • Menyingkirkan bahan buangan dan metabolit yang berbahaya dari otak.

    Ujian Biokimia CSF

    Ujian biokimia CSF diminta oleh doktor apabila pesakit mempunyai simptom-simptom penyakit yang melibatkan Sistem Saraf Pusat (CNS). Contohnya, sakit kepala yang teruk, kesukaran bercakap, koma, dan lain-lain. Biasanya, dua analit akan dianalisis oleh kakitangan makmal iaitu protein dan glukosa.

      1. Protein Serebrospina
        • Peningkatan kandungan protein – Oleh kerana protein mempunyai molekul yang besar, ianya tidak boleh melalui pemisah darah otak. Maka, apabila protein CSF meningkat, ini menunjukkan bahawa terdapat kerosakan kepada pemisah darah otak dan pesakit mungkin menderita akibat meningitis, pendarahan otak atau multiple sclerosis.
        • Penurunan kandungan protein – Cecair bocor dari CNS
    1. Glukosa Cecair Serebrospina
      • Kandungan glukosa normal untuk CSF adalah 2/3 daripada kandungan glukosa darah.
      • Peningkatan kandungan glukosa – Adalah hasil dari peningkatan dalam plasma.
      • Kandungan glukosa rendah – Petunjuk kepada jangkitan bakteria atau virus. Kandungan glukosa biasanya menurun apabila sel-sel asing seperti bakteria menggunakan glukosa tersebut. Glukosa CSF yang rendah dan peningkatan kandungan sel darah putih (WBC), terutamanya neutrofil, menunjukkan bahawa pesakit mungkin mengalami jangkitan bakteria meningitis. Selain itu, jika kandungan glukosa CSF normal, tetapi WBC terutamanya monosit dan limfosit meningkat, pesakit dipercayai mengalami jangkitan virus, kulat, atau parasit.
  2. Cecair Sinovial

    Cecair sinovial yang dikenali juga sebagai cecair sendi berasal dari rongga pada sendi (ruang antara tulang-tulang). Fungsi cecair sinovial adalah:

    • Sebagai medium pengangkutan untuk bahan-bahan zat makanan seperti glukosa.
    • Bertindak sebagai pelincir

    Analisis Cecair Sinovial

    Doktor biasanya membuat permohonan ujian ini bagi kes-kes yang melibatkan keradangan atau kecederaan pada sendi. Analit-analit biokimia seperti protein, glukosa, albumin, lactate dehydrogenase (LDH), dan asid urik adalah perlu secara klinikal.

    • Glukosa – Biasanya, dalam keadaan berpuasa, kepekatan glukosa dalam cecair sinovial sepatutnya tidak lebih dari 0.55 mmol/L kurang dari kepekatannya dalam darah. Kandungan glukosa yang rendah dalam cecair sinovial memungkinkan terdapat jangkitan ataupun keradangan pada sendi hasil dari aktiviti glikolitik bakteria atau sel darah putih.
    • Protein – Oleh kerana protein mempunyai molekul yang besar, molekul ini tidak dapat ditapis melalui membran sinovial. Kandungan protein yang normal dalam cecair sinovial adalah lebih kurang 1/3 daripada kandungannya dalam darah. Kebolehtelapan membran sinovial boleh berubah akibat radang. Jadi, peningkatan kandungan protein sinovial memberi tanda bahawa pesakit mungkin menderita pendarahan atau keradangan sendi.
    • Lactate dehydrogenase (LDH) – Enzim LDH biasanya meningkat dalam keadaan seperti rheumatoid arthritis.
    • Asid urik – Ujian asid urik cecair sinovial dilakukan untuk mengesahkan diagnosis gaut setelah melihat hasil keputusan ujian asid urik dalam serum.
  3. Cecair Peritoneal/ Ascites

    Cecair peritoneal adalah cecair yang terletak di dalam rongga abdomen. Fungsi-fungsi cecair peritoneal adalah untuk menyokong organ-organ pada abdomen dan mengurangkan kesan geseran yang disebabkan oleh pergerakan organ-organ pada abdomen. Keabnormalan terjadi apabila cecair peritoneal ini terkumpul di dalam rongga abdomen yang menyebabkan kesakitan pada bahagian abdomen.

    Punca pengumpulan cecair (ascites) ini adalah:

    • Transudate: Tekanan tidak seimbang dalam salur-salur darah akibat dari keadaan seperti penyakit-penyakit hati.
    • Exudate: Kecederaan atau keradangan pada peritoneum yang menyebabkan kelimpahan cecair dalam ruang abdomen yang disebabkan oleh keadaan seperti kanser yang metastasis

    Analisis cecair peritoneal

    Ujian biokimia yang paling penting dijalankan dalam analisis cecair peritoneal adalah albumin. Analisis kedua-dua kandungan albumin dalam serum dan dalam cecair peritoneal dilakukan dengan tujuan untuk membezakan di antara keadaan transudate dan exudate. Perbezaan kandungan dikira (serum-ascites albumin gradient (SAAG)) untuk menentukan keadaan transudate atau exudate di dalam rongga abdomen.

     ‘Transudate’

    • Nilai SAAG melebihi 1.1 g/dL
    • Kandungan protein yang rendah (<30 g/L)

    ‘Exudate’

    • Nilai SAAG kurang daripada 1.1 g/dL
    • Kandungan protein yang tinggi (>30 g/L)

    Ujian biokimia lain yang boleh dijalankan sebagai tambahan kepada ujian albumin termasuklah:

    • Glukosa – Untuk pesakit normal, kandungan glukosa dalam cecair peritoneal sepatutnya sama dengan kandungan glukosa dalam darah. Walau bagaimanapun, jika berlaku jangkitan, kandungan glukosa dalam cecair peritoneal akan rendah akibat dari aktiviti glikolisis bakteria atau sel darah putih.
  4. Cecair Pleural

    Cecair pleural merupakan cecair yang dihasilkan di dalam rongga dada dan mengelilingi paru-paru. Fungsi cecair pleural adalah sebagai pelincir ketika bernafas. Pengumpulan cecair di dalam ruang pleural disebut efusi pleural. Efusi pleural terjadi akibat keadaan-keadaan seperti kegagalan jantung dan pneumonia.

    Pengumpulan cecair adalah disebabkan oleh:

    • Transudate’: Ketidakseimbangan tekanan dalam salur-salur darah atau kepekatan protein darah rendah yang menyebabkan kebocoran cairan dalam ruang pleural. Keadaan ini biasa berlaku akibat kegagalan jantung atau sirosis.
    • Exudate’: Kecederaan atau radang pada membran yang mengelilingi paru-paru yang menyebabkan kelimpahan jumlah cecair pada ruang pleural. Efusi exudate biasanya terjadi dalam keadaan-keadaan seperti pneumonia, batuk kering dan kanser.

     Analisis cecair pleural

    Spesimen cecair pleural akan di ambil dari paru-paru untuk mendiagnosis pesakit yang mengalami sakit dada dan sukar bernafas. Ujian biokimia yang berkaitan dengan analisis cecair pleural adalah ujian kandungan protein, albumin dan LDH.

    ‘Transudate’

    • Kandungan protein, albumin dan LDH yang rendah
    • Nilai SAAG melebihi 1.1 g/dL

    ‘Exudate’

    • Kandungan protein, albumin dan LDH yang tinggi
    • Nilai SAAG di bawah 1.1 g/dL
    • Kandungan glukosa yang rendah

Rujukan

  1. National Multiple Sclerosis Society. (n.d). Cerebrispinal Fluid. Jun 19, 2013, dari http://www.nationalmssociety.org/
  2. Porcel, J. M., & Light, R. W. (2006). Diagnostic Approach To Pleural Effusions in Adults. Am Fam Physician
  3. Strasinger, S. K., & Lorenzo, M. S. (2008). Urinalysis and Body Fluids. Philadelphia.
  4. Garcia-Tsao G. Cirrhosis and its sequelae. In: Goldman L, Ausiello D, eds. Cecil Medicine. 23rd ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007: bab 157.

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2014
Penulis : Noradilah bt. Hamid

 

Artikel Berkaitan

Berhenti Merokok

Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda untuk mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok. Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.

Japanese Encephalitis (JE)

Japanese Encephalitis (JE) ialah penyakit bawaan nyamuk. Penyakit ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang membawa virus tersebut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,423,448

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia