Home > Umum > Forensik > Analisa Diatom Dalam Kes Mati Lemas

Analisa Diatom Dalam Kes Mati Lemas

Diatom merupakan sekumpulan alga uniselular yang terdapat  di kawasan akuatik atau semi-akuatik, seperti  laut, sungai, tasik, kolam, mata air panas, salji dan juga air paip. Menurut Van Den Hoek dan rakan-rakan (1995), mereka telah mengenal pasti lebih kurang 12,000 spesies diatom dari laut, air tawar dan habitat tanah yang boleh digolongkan kepada 250 kumpulan genus. Sehingga kini, terdapat  100,000 spesies diatom yang telah dikenal pasti.

Morfologi Diatom

Selama ini, diatom dibezakan daripada alga yang lain berdasarkan ciri-ciri dinding selnya (frustules). Dinding selnya adalah lutsinar dan diperbuat dari silikon dioksida terhidrat (Si02 + H20). Silikon dioksida atau lebih dikenali sebagai silika, merupakan sejenis komponen untuk membuat kaca. Jadi, diatom juga dikenali sabagai “alga yang berada di dalam rumah kaca”. Sel dindingnya mengandungi dua bahagian yang dipanggil injap (valves), di mana kedua-dua injap ini berpegang antara satu sama lain seperti piring Petri (Gambar 1). Setiap injap akan dilengkapi dengan satu atau lebih jalur pergelangan. Injap atas dikenali sebagai epitheca manakala injap bawah dikenali sebagai hypotheca.


Gambar 1: Morfologi diatom

 

Pengelasan Diatom

Diatom dinamakan secara saintifik sebagai ‘Bacillariophyta’, iaitu nama botani untuk diatom. Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk mengelaskan diatom. Pada masa kini, masih tiada satu cara pengelasan diatom yang digunakan secara uniform di seluruh dunia. Salah satu cara pengelasan yang paling meluas digunakan adalah cara yang diperkenalkan oleh Round dan rakan sekerjanya (1990), mereka telah membahagikan diatom kepada tiga kelas berdasarkan morfologi, iaitu Coscinodiscophyceae (diatom berbentuk sentrik), Fragilariophyceae (diatom berbentuk pena arafik) dan Baccilariophyceae (diatom berbentuk pena rafik) (Gambar 2).


(a) Contoh Coscinodiscophyceae (diatom berbentuk sentrik) – Dipetik daripada http://www.microscopy-uk.org.uk/mag/indexmag.html?http://www.microscopy-uk.org.uk/mag/artdec08/cs-eocene.html


(b) Contoh Fragilariophyceae (diatom berbentuk pena arafik) – Dipetik daripada http://westerndiatoms.colorado.edu/taxa


(c) Contoh Baccilariophyceae (diatom berbentuk pena rafik) – Dipetik daripada http://westerndiatoms.colorado.edu/taxa

Gambar 2 : Pengelasan diatom

Habitat air yang berlainan mempunyai spesies diatom yang berlainan, contohnya diatom yang hidup di air tawar adalah berlainan daripada diatom yang hidup di dalam laut. Selain itu, kualiti air yang berlainan iaitu pH, pendedahan kepada cahaya matahari, nutrisi dan kemasinan air turut akan mempengaruhi saiz, bentuk dan warna diatom. Oleh yang demikian, boleh dikatakan setiap sumber air adalah unik dan berbeza antara satu lain sebab memiliki profil diatom tersendiri.

Kegunaan Diatom

Masih ramai orang tidak tahu akan kewujudan diatom dalam hidup kita walaupun diatom memainkan pelbagai peranan yang penting dalam kehidupan harian dan juga banyak menyumbang kepada kajian sains persekitaran (ekologi dan palaentologi).

Beberapa kegunaan utama diatom akan diterangkan di bawah:

  • Kehidupan harian
    1. Dinding sel diatom yang diperbuat dari  silika yang tebal  serta struktur halus dinding sel membolehkan diatom digunakan sebagai penapis semulajadi untuk bendalir, perubatan, pelarut, bahan kimia dan industri minuman.
    2. Diatom juga digunakan sebagai pengisi dalam kertas, cat, seramik dan detergen kerana strukturnya yang ringan, halus dan mampan.
    3. Diatom digunakan sebagai penebat haba dan bunyi.
    4. Pada zaman dulu, diatom digunakan untuk memperbaiki kualiti pengimejan optikal mikroskop dan sebagai pelelas dalam ubat gigi.
  • Paleontologi
    Diatom digunakan secara meluas dalam pelbagai kajian dalam bidang paleontologi, yang merangkumi analisa cuaca-paleo, paleolimnologi, paleoseanografi, analisa suhu-paleo, paleoproduktiviti kolam atau laut, indikator untuk tempoh pengglasieran dan penyahglasieran.Dari perspektif Paleontologi, diatom merupakan inkator yang berguna untuk berbagai  analisa seperti :

    1. Indikator untuk pH-PaleoIni merupakan salah satu kegunaan utama diatom dalam bidang Paleontologi. Ini kerana diatom sangat peka terhadap pH. Dengan mengetahui pH diatom, seseorang dapat mengkategorikan spesies fosil mengikut kumpulan pH. Ini merupakan satu aspek yang berguna dalam mengkaji sejarah fosil tersebut.
    2. Indikator untuk kemasinanTujuan indikator ini adalah untuk mengkaji lingkungan kemasinan diatom dan seterusnya menentukan kawasan zon laut (air masin) dan air tawar.
    3. Indikator untuk produktiviti (Status trofik)Jumlah bilangan diatom, nisbah diatom jenis sentrik kepada pena, indikator untuk spesies, nisbah organisma plankton kepada bukan plankton, dan indikator kepelbagaian digunakan untuk menguji produktiviti air.
    4. Indikator suhu-PaleoLingkungan suhu diatom biasanya dikaji untuk membandingkan air panas, air suam dan air sejuk secara ekologi.
  • Sains Persekitaran dan Sains Ekologi
    Kini, diatom digunakan sebagai alat untuk mengkaji indeks pencemaran di habitat akuatik, contohnya laut, sungai, tasik, kolam, glasier dan sebagainya.
  • Limnologi Forensik
    Tanpa diketahui umum, diatom sebenarnya digunakan untuk menyiasat kes mati lemas, iaitu lebih dikenali sebagai bidang Limnologi Forensik. Artikel berikut akan memberi penerangan lanjut mengenai bidang ini :

Limnologi Forensik

Seperti yang pernah disebutkan dalam buku-buku seperti “The Green Revolution: Botanical Contributions to Forensics and Drug Enforcement”, “Limnology” dan “Diatoms and Forensic Science”, analisa diatom merupakan salah satu analisa major dalam bidang Limnologi Forensik iaitu  siasatan berkaitan kes mati lemas.

Apakah itu Limnologi Forensik? Ia  merupakan satu cabangan daripada Botani Forensik, di mana Limnologi Forensik akan menggunakan organisma dalam air untuk menyiasat kes forensik. Sehingga kini, analisa yang paling popular digunakan adalah analisa diatom sebagai bukti sokongan untuk kes mati lemas.

Sejarah Penggunaan Ujian Diatom Dalam Penyiasatan Kes Lemas

1896 – Diatom pertama kali dijumpai dalam peparu oleh Hofmann.
1904 – Rovenstoff telah berjaya menggunakan diatom untuk menyelesaikan satu kes lemas yang misteri.
1942 – Incze berjaya mengesan diatom dalam darah dan organ parenkima.
1949 – Tamasaka mengesan diatom dalam sumsum tulang.
1960’s – 1970’s – Timperman telah memberi bukti diatom yang kukuh dalam menyiasat banyak siri kes mati lemas.

Bagaimana?

Dalam analisa diatom, terdapat dua persoalan yang penting untuk dijawab, iaitu:

  1. Adakah mangsa mati sebab lemas ataupun dia telah mati sebelum masuk ke dalam air?
  2. Adakah mangsa  sebenarnya mati lemas dalam sumber air di mana jasadnya dijumpai?

Persoalan 1: Adakah mangsa  mati sebab lemas ataupun dia telah mati sebelum ‘masuk’ ke dalam air?

Apabila seseorang bernafas, udara yang mengandungi oksigen akan disedut masuk ke dalam peparu  manakala jantung mengepam dan mengedarkan darah yang beroksigen ke seluruh badan, termasuklah organ vital seperti hati, ginjal, limpa dan lain-lain. Sebaliknya, jika seseorang sudah mati, peparu dan jantung akan berhenti berfungsi di mana tiada udara akan disedut dan tiada darah akan dipam.

Ketika seseorang mati lemas, dia akan bergelut dalam air. Pada masa itu, air (yang terdapat diatom di dalamnya) akan memasuki salur pernafasannya. Diatom-diatom yang masuk ini akan meresap ke dalam sistem peredaran darah Apabila jantung mengepam, diatom akan mengikuti darah dan memasuki organ-organ dalaman badan.

Justeru itu, jikalau diatom dapat dikesan dalam peparu, hati, ginjal, jantung, limpa dan juga otak, maka ini menunjukkan orang tersebut kemungkinan besar mati lemas di dalam sumber air tersebut. Dalam erti kata lain,  jika diatom dijumpai dalam kesemua organ-organ tersebut, ianya adalah sebagai kenyataan positif yang menyokong mangsa itu mati lemas.

Sebaliknya, jika diatom tidak dapat dikesan di kesemua organ-organ dalaman, sebab kematian hendaklah disiasat lebih lanjut kerana berkemungkinan  kes tersebut  bukannya mati lemas. Kalau seseorang telah mati sebelum masuk ke dalam air, sistem pernafasan dan sistem jantung sudah berhenti berfungsi, maka  kebiasaannya diatom tidak dapat masuk ke dalam sistem peredaran darah dan juga ke dalam organ-organ. Tambahan pula, jika diatom hanya dijumpai di dalam peparu sahaja, ini juga tidak dapat menyokong yang mangsa tersebut mati lemas. Ini disebabkan  kemungkinan diatom dapat masuk secara pasif ke dalam peparu walaupun orang tersebut telah mati (diatom terapung dan berenang masuk sendiri ke dalam salur pernafasan). Gambar 1 dan Gambar 2 di bawah akan menerangkan lebih lanjut.


Gambar 1: Dalam keadaan biasa, peparu akan menyedut udara dan jantung akan mengepam darah beroksigen ke seluruh badan dan organ-organ dalaman.


Gambar 2: Dalam kes mati lemas, mangsa akan menyedut air yang mengandungi diatom. Diatom ini akan mengikut sistem peredaran darah dan memasuki organ-organ lain dalam badan.

Persoalan 2: Adakah si mati ini betul-betul lemas dalam sumber air di mana jasadnya dijumpai?

Seperti yang  disebut di atas, sumber dan jenis air yang berlainan akan memiliki spesies diatom yang berlainan, di mana sesetengah diatom hanya spesifik kepada sesetengah sumber air. Oleh yang demikian, jika satu jasad dijumpai di laut tetapi jenis diatom yang dikesan dalam badannya adalah jenis diatom air tawar, maka siasatan  harus dibuat untuk mencari tempat kejadian yang sebenar.


Gambar 3: (Kanan) Jikalau spesies diatom yang dijumpai dalam badan adalah berpadanan dengan spesies diatom dalam air tawar di mana jasad dijumpai, maka keputusan ini menyokong secara positif bahawa orang tersebut mati lemas di dalam sumber air tersebut. (Kiri) Jikalau spesies diatom yang dijumpai dalam badan si mati adalah langsung tidak berpadanan dengan spesies diatom dari sumber air tersebut, ini berkemungkinan besar orang itu mati lemas di dalam air laut sebelum dibuang ke dalam sumber air tawar.

Dalam sesetengah situasi pula, terdapat spesies diatom yang spesifik kepada sumber air yang tertentu sahaja. Ini amat berguna untuk membantu penyiasat dalam menyiasat tempat kejadian kematian sebenar  walaupun mayat telah dipindah  ke tempat lain.

Kesimpulannya, masih terdapat banyak perdebatan serta penghujahan berkenaan dengan penggunaan analisa diatom dalam mengesahkan kes mati lemas. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa diatom boleh digunakan sebagai panduan dan bukti sokongan dalam membuktikan kes mati lemas. Sehingga kini, pemeriksaan bedah siasat masih lagi merupakan piawaian emas (yang terbaik) dalam mengesahkan sebab kematian.

Rujukan

  1. Coyle, Heather Miller; Carll Ladd; Timothy Palmbach; Henry C. Lee (2001). “The Green Revolution: Botanical Contributions to Forensics and Drug Enforcement”. Croatian Medical Journal (2001): 340–345
  2. Dommelen, Jennifer Van (17 June 2005). “Limnology”. Forensic Botany. Dalhousie University. Retrieved 29 September 2012.
  3. Horton, Benjamin P. (27 October 2007). “Diatoms and Forensic Science”. Paleontological Society Papers: 14–22.
  4. http://westerndiatoms.colorado.edu/about/what_are_diatoms
  5. http://www.answers.com/Q/How_do_you_use_diatoms
  6. http://www.ucmp.berkeley.edu/chromista/diatoms/diatomlh.html
  7. https://answers.yahoo.com/question/index?qid=20100323220544AAo2zXU
  8. Kelly, M., Identification of common benthic diatoms in rivers, Volume 9.4, 2013.
  9. Kumar, M., Deshkar, J., Naik, SK., Yadav, PK., (2012). “Diatom Test – Past, Present, and Future: A brief Review. IJRRMS: 2(3).
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Chong Sin Leng
Akreditor : Dr. Nurliza bt. Abdullah
Penyemak : Dr. Khoo Lay See