A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anemia Bagi Remaja

Anemia bermaksud kekurangan hemoglobin dalam darah. Fungsi utama hemoglobin adalah membawa oksigen ke seluruh tisu badan, dengan demikian anemia akan membawa kepada keadaan hipoksia kepada organ dan seterusnya mengakibatkan kesan klinikal yang besar kepada seseorang. Paras hemoglobin yang normal adalah di antara 11.5 hingga 16.5g/dL untuk perempuan dan 12.5 hingga 18.5g/dL untuk lelaki.

Pengenalan

Apakah Anemia?

Anemia bermaksud kekurangan hemoglobin dalam darah. Fungsi utama hemoglobin adalah membawa oksigen ke seluruh tisu badan, dengan demikian anemia akan membawa kepada keadaan hipoksia kepada organ dan seterusnya mengakibatkan kesan klinikal yang besar kepada seseorang. Paras hemoglobin yang normal adalah di antara 11.5 hingga 16.5g/dL untuk perempuan dan 12.5 hingga 18.5g/dL untuk lelaki.

Anemia bukanlah penyakit tetapi merupakan gejala kepada pelbagai keadaan termasuklah kehilangan darah yang banyak, kemusnahan sel darah yang banyak atau pembentukan sel darah merah yang kurang. Terdapat berbagai jenis anemia dengan pelbagai penyebab; kekurangan zat besi daripada pemakanan seharian adalah punca yang paling biasa kepada anemia.

Penyebab Anemia

  1. Kehilangan darah (sama ada akut atau kronik).
    1. Kehilangan darah yang akut boleh berlaku semasa kemalangan jalan raya atau selepas pembedahan. Kehilangan darah yang melebihi 500ml biasanya memerlukan gantian darah.
    2. Kehilangan darah kronik biasanya berlaku semasa kedatangan haid yang berlebihan, infestasi cacing dan keadaan lain.
  2. Kurang penghasilan sel darah merah oleh sum-sum tulang. Ini mungkin disebabkan oleh :
    1. Kekurangan faktor penting seperti zat besi, vitamin B12, folate dan erythropoietin.
      1. Pertumbuhan yang mendadak di kalangan remaja yang menyebabkan peningkatan keperluan zat besi di mana ianya mengatasi paras penyerapan zat besi.
      2. Kitaran haid bagi wanita dengan kehilangan anggaran 30mg zat besi setiap bulan boleh menyebabkan kekurangan zat besi.
    2. Faktor Toksik : penyakit inflamasi, kerosakan hati dan ginjal,serta ubat-ubatan.
    3. Kekurangan hormon : paras hormon tiroid rendah.
    4. Kerosakan sum-sum tulang : kanser darah, penyakit sum-sum tulang.
    5. Gangguan pembentukan sel darah merah : keadaan seperti Talasemia.
  3. Kemusnahan sel darah merah yang berlebihan yang mungkin berlaku di dalam beberapa jenis jangkitan atau pengambilan sesuatu ubat.
  4. Anemia juga boleh berlaku akibat kekurangan nutrien. Selain protein, beberapa mikronutrien lain seperti Zat besi, vitamin C, vitamin E, vitamin B12, vitamin B6, Kuprum, Riboflavin, dan Asid Folik adalah perlu untuk pembentukan sel darah merah dan haemoglobin. Oleh yang demikian, kekurangan salah satu daripada nutrient ini boleh menyebabkan anemia.Jenis anemia yang biasa berlaku adalah :
    1. Anemia kekurangan zat besi.
    2. Talasemia.

Tanda-tanda dan Gejala

Ramai remaja tidak menyedari bahawa mereka mengalami anemia.

Gejala-gejala termasuklah:

  1. Beras letih pada setiap masa
  2. Pening
  3. Sesak nafas apabila melakukan aktiviti fizikal
  4. Kulit pucat
  5. Kadar denyutan jantung yang laju
  6. Kurang daya ingatan
  7. Kurang berat badan

Komplikasi

Jika anemia sangat teruk, ia akan menyebabkan :

  1. Kegagalan jantung di mana fungsi jantung menjadi lemah dan tidak mencukupi.
  2. Masalah semasa mengandung seperti kelahiran pramatang dan kerencatan pertumbuhan janin di dalam kandungan.

Rawatan

Pemeriksaan haemoglobin boleh dilakukan di klinik berhampiran dengan anda untuk menentukan sama ada anda menghidapi anemia atau tidak.

Rawatan adalah bergantung kepada jenis anemia yang dihadapi.

  1. Jika ia disebabkan oleh masalah perubatan seperti Talasemia, Leukaemia, rawatan khusus perlu dilakukan.
  2. Jika ia disebabkan oleh kekurangan zat besi, maka ia perlu mengambil makanan seimbang yang mengandungi zat besi yang tinggi dan juga pil tambahan zat besi. Sila lihat Jadual 1 dan Jadual 2 untuk kandungan zat besi dalam makanan.

Saranan pemakanan yang lain:

  1. Ambil makanan seimbang yang mengandungi protein nilai biologi tinggi seperti daging, ayam, ikan, telur, susu dan produk tenusu.
  2. 1 hingga 2 hidangan buah-buahan segar dan 2 hingga 3 hidangan sayur-sayuran yang akan memenuhi keperluan asid folik. Pemakanan tambahan (suplemen) hanya diperlukan sekiranya pengambilan makanan tidak memuaskan. Rujuk PIRAMID MAKANAN MALAYSIA untuk maklumat lanjut berhubung pemakanan seimbang.
  3. Vitamin C yang banyak dalam buah-buahan segar menggalakkan penyerapan asid folik dan zat besi daripada makanan.

Tip lain untuk merawat kekurangan zat besi :

  1. Dinasihatkan mengambil pil tambahan zat besi bersama dengan vitamin C untuk meningkatkan penyerapan zat besi.
  2. Penyebab spesifik seperti infeksi cacing dan keradangan pada usus perlu dirawat.

Jadual 1 : Kandungan zat besi dalam makanan

Makanan
Saiz Hidangan
Zat besi (mg
Hati, Ayam 2 keping, 105g
12.8
Paha ayam 1 ketul kecil, 125g
1.0
Daging lembu tanpa lemak 1 keping, 268g
5.9
Hati, Lembu 1 keping, 283g
11.1
Tuna 1 ketul, 73g
1.1
Kerang 10 biji, 86g
2.0
Paru 1/2 cawan, 2g
7.7
Oat di proses 1 cawan
10
Tauhu 1 keping, 107g
3.4
Kacang 1 cawan, 154g
4.5
Bayam 1 cawan di cincang, 64g
2.4
Kismis 1/4 cawan, 39g
1.4
Roti 1 keping, 25g
0.8
Nasi 128g
0.3

Rujukan : Nutrition Composition of Malaysian Food, 4th Edition. Institute for Medical Research, 1997.

Jadual 2 : Sumber zat besi

Makanan
Zat besi (mg/100g)
Kacang kuda
6.9
Pucuk paku
4.8
Peria
6.1
Kangkung
5.2
Telur
2.4
Ikan bilis (dengan kepala dan perut)
5.3

Rujukan : Recommended Nutrient Intakes for Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005.

Pencegahan

  1. Makan makanan seimbang setiap hari. Sila rujuk Piramid Makanan Malaysia
  2. Ambil makanan yang mengandungi zat besi tinggi.

Rujukan

  1. Escott-Stump. S (2002) Nutrition and Diagnosis – Related Care. Fifths Edition. Lippincott Williams & Wilkins, USA.
  2. Mahan LK, Escott-Stump S (2004) Krause’s Food, Nutrition & Diet Therapy. 11th edition. Elsevier USA.
  3. Malaysian Association for the study on Obesity (2005) Strategy for the Prevention of Obesity- Malaysia: Malaysian Association for the Study of Obesity.
  4. National Coordinating Committee on Food & Nutrition. MOH. ( 2005). Recommended Nutrient Intakes for Malaysia : Ministry of Health Malaysia.
  5. utrition Society Malaysia (2002). Resipi Sihat, Pilihan Bijak : Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Zainab bt. Kusiar
Penyemak : Nik Mahani bt. Nik Mahmood
  : Zarina bt. Samsudin

Artikel Berkaitan

Omega-3 Laut Dalam

Omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh. Ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,255

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia