A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keraguan Jantina dikalangan Bayi

Seseorang bayi dikatakan mengalami keraguan jantina apabila keadaan fizikal pada kemaluannya tidak menyerupai sama ada lelaki atau perempuan.

Seseorang bayi dikatakan mengalami keraguan jantina apabila keadaan fizikal pada kemaluannya tidak menyerupai sama ada lelaki atau perempuan.

Ibu bapa boleh mendapat bantuan daripada kumpulan perubatan profesional untuk menentukan apa yang terbaik untuk anak mereka. Ibu bapa dinasihatkan supaya jangan putus asa tetapi bekerjasama dengan pihak hospital untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan anak mereka.

Gejala

Bila seseorang bayi dilahirkan, ibu bapa akan melihat bahagian kemaluan bayi tersebut untuk mengetahui jantina bayi.

Sekiranya bahagian kemaluan bayi tidak normal untuk lelaki atau perempuan, bayi ini dikatakan mengalami keraguan jantina (gambar 1). Keadaan ini disebabkan oleh proses pembentukan jantina yang tidak lengkap semasa dalam kandungan.

Salah satu daripada punca-punca keraguan jantina ialah congenital adrenal hyperplasia (CAH). Pemeriksaan oleh doktor adalah sangat penting untuk memastikan sama ada bayi mengalami masalah ini.

CAH ialah sejenis masalah kekurangan hormon cortisol dan aldosterone tetapi berlebihan hormon testosterone (hormon lelaki).

Hormon cortisol dan aldosterone diperlukan untuk mengawal air dan garam dalam badan. Tanpa rawatan, ia boleh memudaratkan nyawa bayi disebabkan kekurangan air dan garam yang teruk. Risiko ini paling tinggi semasa bayi berumur antara1 minggu ke 3 bulan.

Selain daripada keraguan jantina, CAH juga menyebabkan warna kulit/ bibir/ jari bayi jauh lebih gelap daripada yang sepatutnya (gambar 1).

Bayi tersebut juga mengalami tumbesaran terbantut (susut berat badan) kerana kerap muntah atau cirit.

Punca-punca

Semasa dalam kandungan, proses pembentukan jantina berlaku secara berperingkat. Bahan genetik ibu dan bapa akan bergabung menjadi sama ada janin lelaki atau perempuan. Janin perempuan mempunyai bahan genetik 46,XX manakala janin lelaki 46,XY.

Di peringkat permulaan, janin tidak menunjukkan fizikal jantina dan mempunyai organ reproduktif yang tidak khusus untuk lelaki atau pun perempuan. Peringkat seterusnya ialah organ reproduktif yang tidak khusus ini akan menjadi ovari pada janin 46,XX dan buah zakar (testes) pada 46,XY. Sekiranya bahan genetik adalah tidak normal, proses ini akan terjejas.

Seterusnya organ reproduktif dalaman akan terbentuk, iaitu rahim untuk perempuan dan penurunan buah zakar dari bahagian atas abdomen ke bahagian kemaluan pada lelaki.

Rupa bentuk bahagian kemaluan akan terbentuk pada minggu ke 6 janin dalam kandungan.

Bahan genetik atau paras hormon yang tidak normal boleh menjejaskan peringkat-peringkat pembentukan fizikal jantina (Gambar 2).

Ibu bapa tidak harus menyalahkan diri sendiri kerana mereka bukanlah yang menyebabkan keadaan ini, tetapi disebabkan oleh faktor genetik, hormon ataupun faktor yang lain

Penyiasatan

Adalah sangat mustahak untuk menentukan jantina yang paling sesuai bagi bayi ini sebelum mendaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran.

Ibu bapa disarankan untuk tidak menamakan anak atau mendaftarkan kelahiran anak sebelum siasatan lengkap dijalankan oleh pihak hospital. Surat penundaan pendaftaran kelahiran akan dikeluarkan oleh pihak hospital untuk tujuan ini.

Untuk menentukan jantina yang paling sesuai dengan bayi, pelbagai faktor termasuk kesihatan, sosial dan agama akan dipertimbangkan.

Untuk memahami peringkat pembentukan jantina bayi, ujian-ujian yang lazim dijalankan di hospital rujukan Pediatrik Endokrin termasuk:

  • Ujian kromosom untuk mengenal pasti bahan genetik untuk bayi (46,XX atau 46,XY).
  • Imbasan ultrasound (ultrasound scan) untuk memastikan organ reproduktif dalaman (rahim atau buah zakar). Sila ambil perhatian bahawa rahim seseorang bayi tidak mudah dikesan melalui imbasan ini. Oleh itu, ia kadangkala tidak dapat dilihat walaupun bayi tersebut mempunyai rahim.
  • Genitogram untuk mengenal pasti organ reproduktif dalaman (faraj atau urethra) (Gambar 3). Tiub halus akan dimasukkan melalui saluran kencing dan cecair pewarna akan disuntik melalui tiub ke saluran kencing, pundi kencing dan sedikit cecair mungkin memasuki faraj. Seterusnya gambar X-ray akan diambil.
  • Ujian darah (kimia dan hormon) untuk mengetahui paras hormon pada bayi.

Komplikasi

Penentuan jantina pada bayi yang mengalami keraguan jantina adalah proses yang rumit dan mungkin mengambil masa. Semua pihak (ibu bapa dan doktor) ingin membuat keputusan yang terbaik supaya memberi kesan jangka panjang yang baik dan sesuai dengan kehendak anak itu sendiri bila dia dewasa.

Kadang kala, disebabkan oleh faktor emosi ibu bapa, keputusan terdesak mungkin dibuat untuk mendapatkan pembedahan bahagian kemaluan sebelum masa yang sesuai. Dalam keadaan demikian, anak tersebut berkemungkinan tidak gembira dengan bahagian kemaluannya dan mungkin tidak bersetuju dengan jantina yang telah dipilih. Oleh itu, ibu bapa tidak patut menganggap bahawa pembedahan yang dibuat secepat mungkin akan membetulkan keadaan anak mereka untuk selama-lamanya.

Petua untuk Ibu bapa:

  • Ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak hospital untuk memahami faktor penyebab keraguan jantina. Sebarang kemusykilan perlu dibincang secara terbuka.
  • Adalah mustahak untuk bersifat sabar dan jangan tergesa-gesa untuk menentukan jantina bayi tanpa penyiasatan yang lengkap oleh pihak hospital. Sila ambil perhatian bahawa penentuan jantina yang paling sesuai untuk bayi bukan hanya berdasarkan rupa bentuk kemaluan sahaja tetapi ada banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan.

Rawatan

Pasukan perubatan melibatkan semua atau beberapa orang daripada yang berikut:

Pakar Pediatrik Endokrin: Pakar dalam masalah hormon dan merupakan orang yang sangat penting dalam pasukan perubatan ini.

Pakar Pembedahan Pediatrik khusus bahagian organ reproduktif:Pakar bedah yang berpengalaman dalam pembedahan kemaluan kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Pakar Psikologi: Membantu ibu bapa dan keluarga mengatasi masalah emosi.

Pegawai Sosial:Menolong ibu bapa dan keluarga dalam hal ehwal sosial dan masalah kewangan akibat rawatan hospital.

Pakar Genetik: Memberi nasihat kepada ibu bapa sama ada punca keraguan jantina pada bayi adalah disebabkan oleh faktor genetik (keturunan) dan kebarangkalian untuk mendapat masalah yang sama sekiranya ibu mengandung lagi.

Rawatan bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi oleh pesakit. Masalah tertentu memerlukan pembedahan untuk membetulkan bahagian kemaluan kepada jantina yang telah ditetapkan. Kadang kala pembedahan dijalankan berperingkat dan lebih daripada sekali.

Pada umur 12 tahun, kanak-kanak memerlukan rawatan hormon untuk mengalami perubahan akil baligh sehingga menjadi wanita atau lelaki yang matang.

Pesakit yang tidak mempunyai ovari atau buah zakar memerlukan rawatan hormon ini sepanjang hayat.

Untuk pesakit yang mengalami penyakit congenital adrenal hyperplasia, rawatan dengan ubat hydrocortisone dan fludrocortisone mesti dimulakan sebaik masalah ini disyaki.

Bilakah pembedahan diperlukan?

Sekiranya diperlukan, pakar akan berbincang dengan ahli keluarga masa yang sesuai untuk melakukannya. Bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi oleh pesakit, kadang kala pembedahan perlu ditunda sehingga pesakit dalam umur belasan tahun.

Organisasi Sokongan

Peringatan:

  • Anda tidak akan menghadapi masalah ini bersendirian. Pihak hospital akan sentiasa membantu anda.
  • Rawatan kaunseling, ubat dan pembedahan boleh menolong anak anda menjalani hidup yang normal.
  • Beri kerjasama kepada kumpulan perubatan professional.

Adalah biasa untuk ibu bapa berasa cemas dan risau tentang masa depan anak pada permulaannya. Anda mungkin berasa tertekan untuk menentukan jantina anak serta-merta.

Ibu bapa perlulah bersabar dan berilah kasih sayang dan sokongan sepenuhnya kepada anak anda.

Ibubapa perlu menerima hakikat bahawa bukan semua manusia adalah sempurna. Dapatkan sokongan dan nasihat daripada kaunselor/ psikologis semasa berasa tertekan.

Jangan sesekali berputus asa dengan situasi ini

Gambar 1: Keraguan jantina dan kulit sekeliling kuku bewarna gelap pada bayi yang mengalami congenital adrenal hyperplasia

Gambar 2. Peringkat kelelakian pada bahagian kemaluan dalam sistem Prader, dari perempuan normal (kiri) ke lelaki normal (kanan). Pandangan tepi (panel atas) dan pandangan horizontal (panel bawah) ditunjukkan.

Gambar 3: Genitogram menunjukkan pundi kencing dan saluran urogenital
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penterjemah : Dr. Janet Hong Yeow Hua
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Kecil daripada Usia Kandungan (SGA)

Bayi normal dilahirkan dengan berat badan anggaran 2.5 kg hingga 3.5 kg, tetapi bayi SGA dilahirkan lebih kecil berbanding bayi normal pada usia kandungan yang sama.

Penjagaan Bayi Baru Lahir: Strategi bagi Ibu Bapa yang Tertekan

Penjagaan bayi yang baru lahir mungkin dilihat terhad kepada penyusuan, mandi, menukar lampin dan memujuk – namun begitu, terdapat penjagaan lain yang diperlukan oleh bayi selain daripada penjagaan asas ini. Penjagaan kesihatan bayi yang lain termasuklah penjagaan kulit bayi, memahami tangisan bayi dan membantu dalam perkembangan bayi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,229,554

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia