Home > Kesihatan Pergigian > Amalan Penjagaan Kesihatan Pergigian Bagi Pesakit Kanser Mulut

Amalan Penjagaan Kesihatan Pergigian Bagi Pesakit Kanser Mulut


Kanser mulut

Kanser mulut dengan ulser

Pengenalan

Kanser mulut dan rawatan kanser  boleh menyebabkan pelbagai masalah pergigian dan komplikasi kepada pesakit. Masalah-masalah ini boleh mengurangkan kualiti kehidupan seseorang dan menjejaskan rawatan kanser yang sedang dilalui.

Kemoterapi dan radioterapi yang digunakan untuk rawatan kanser boleh menyebabkan:

  1. Mulut kering
  2. Sakit mulut dan ulser
  3. Kerosakan gigi
  4. Perubahan deria  rasa
  5. Kesukaran untuk menelan,
  6. Kesukaran untuk mengunyah
  7. Jangkitan gusi
  8. Kesakitan pada mulut dan lidah.

 


Radang mulut

Ulser

Perlukah anda berjumpa doktor gigi sebelum menjalani kemoterapi atau radioterapi?

Ya. Anda perlu berjumpa doktor gigi  sebulan sebelum kemoterapi atau radioterapi bermula supaya memberi masa yang mencukupi untuk pengurusan  rawatan  pergigian yang diperlukan. Menjalani pra rawatan penjagaan oral sebelum rawatan kanser boleh membantu mencegah masalah mulut yang serius.

Apakah Pra-rawatan Penjagaan Oral?

Ia adalah pemeriksaan menyeluruh oleh doktor gigi yang berpengetahuan untuk menilai jenis-jenis rawatan dan pencegahan yang perlu dilaksanakan sebelum menerima rawatan bagi penyakit kanser mulut. Pra-rawatan penjagaan oral adalah  bertujuan untuk mencapai  matlamat berikut:

  • Mengawal dan merawat jangkitan sedia ada sebelum rawatan kanser boleh dimulakan. Kehadiran  jangkitan di dalam mulut  boleh membawa kepada jangkitan sistemik yang serius semasa kemoterapi / radioterapi dijalankan nanti.
  • Mencegah atau mengurangkan komplikasi yang disebabkan oleh masalah pemakanan kerana keadaan mulut yang tidak sempurna.
  • Memberi  peluang kepada pesakit untuk mendapat pendidikan mengenai regim penjagaan mulut semasa kemoterapi atau radioterapi dijalankan .

Apakah yang akan dilakukan oleh doktor gigi terhadap saya?

Doktor gigi anda akan:

  • Memeriksa  dan membersihkan gigi anda.
  • Radiograf yang sesuai mungkin akan diambil untuk mengesan kehadiran sebarang patologi.
  • Memberi rawatan pergigian yang diperlukan sebelum memulakan rawatan kanser.
  • Tunjuk ajar penjagaan mulut supaya anda boleh mencegah atau mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
  • Pemeriksaan yang lengkap akan dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas dos  kemoterapi selesai diberikan.
  • Doktor gigi anda akan menasihati dan mengajar anda untuk mengenali sebarang perubahan di dalam mulut anda apabila kemoterapi bermula supaya anda boleh bertindak proaktif dalam menanganinya.
  • Menetapkan regimen kebersihan mulut kepada anda supaya mampu mengurangkan komplikasi yang tidak diingini.

Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan komplikasi ini?

Anda perlu mengambil langkah tertentu untuk menjaga kesihatan gigi anda dan mengikut nasihat doktor anda untuk mengurangkan risiko..

Amalan Penjagaan Mulut Yang Disarankan Untuk Pesakit Kanser Mulut.

  1. Untuk mengelak mulut kering, pastikan mulut anda lembap dengan cara-cara berikut:
    • Minum banyak air.
    • Kulum ais batu halus untuk menyejukkan dan membasahkan mulut anda.
    • Kunyah gula getah yang mengandungi  Xylitol supaya boleh merangsang keluaran air liur.
    • Gunakan air liur palsu untuk membantu melembapkan mulut anda.
    • Jangan gunakan kumuran yang mengandungi  alkohol.
  2. Bersihkan mulut, lidah, dan gusi anda
    • Beruslah  gigi, gusi, dan lidah anda dengan berus gigi yang lembut setiap kali selepas makan dan sebelum tidur.
    • Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida. Fluorida boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan gigi.
    • Flos gigi anda perlahan-lahan setiap hari. Jika gusi berdarah dan terluka, elakkan kawasan yang berdarah atau gusi yang sakit .
    • Berkumur untuk membasahkan mulut anda beberapa kali sehari. Berkumurlah  dengan campuran ¼ sudu teh garam atau satu sudu teh soda penaik dalam satu cawan (lapan auns) air suam. Ikut dengan bilasan air kosong. Elakkan berkumur dengan mengunakan kumuran  mengandungi  alkohol.
  3. Pastikan gigi palsu atau prostesis pergigian yang digunakan masih sesuai dipakai dan tidak longgar.
    • Gigi palsu atau prostesis yang tidak sesuai  boleh mencederakan tisu lembut di dalam mulut anda.  Jika tidak sesuai lagi, buatlah gigi palsu yang baru.
    • Jangan pakai prostesis semasa rawatan dan waktu tidur
    • Pakai prostesis /gigi palsu hanya pada waktu makan untuk mengelak kejadian lecur akibat geseran.
  4. Awasi pemakanan anda
    • Pilihlah  makanan yang  berzat, lembut dan mudah dikunyah dan telan.
    • Kunyah dengan perlahan-lahan dan minum air secukupnya.
    • Jangan lupa untuk menjauhkan diri dari minuman berkarbonat kerana ia boleh merengsakan mulut anda.
    • Elakkan makanan tajam, makanan rangup, seperti cip yang boleh mengikis atau memotong mulut anda dan menyebabkan ulser.
    • Elakkan makanan yang panas, pedas dan berasid.
    • Elak dari mengambil makanan bergula berlebihan kerana gula boleh menyebabkan  kerosakan  gigi .
    • Makan secara seimbang dan sihat.
    • Minum air secukupnya untuk  mengelak mulut daripada kekeringan.
  5. Simpan nombor telefon doktor yang merawat anda.
    • Ini adalah untuk memastikan bahawa anda boleh menghubungi mereka sekiranya diperlukan.
  6. Elakkan semua produk tembakau dan alkohol
    • Jika anda sedang merokok, berhentilah serta-merta. Elakkan semua produk tembakau dan alkohol kerana ia boleh memudaratkan keadaan kesihatan anda.
  7. Jadualkan pemeriksaan pergigian berkala supaya pembersihan profesional dan terapi fluorida boleh dilakukan setiap enam minggu.

Apakah yang perlu dipatuhi semasa menjalani kemoterapi atau radioterapi?

  • Semasa rawatan adalah penting untuk  anda mematuhi sepenuhnya pelan penjagaan mulut yang telah ditetapkan oleh doktor gigi anda.
  • Memantau kesihatan mulut anda semasa terapi kanser sebagai langkah mencegah, mengesan, dan merawat komplikasi secepat mungkin.
  • Apabila rawatan pergigian diperlukan dengan segera, anda harus berbincang dengan doktor anda dengan segera.
  • Jika doktor mempreskribkan anda makan kedua-dua jenis ubat  antibiotik (Peridex) dan ubat rawatan  antikulat (nystatin), pastikan anda memisahkan jarak pengambilan ubat tersebut sekurang-kurangnya satu jam.
  • Untuk mengelakkan rasa sakit semasa makan, anda boleh menyapukan krim Xylocaine (anestetik topikal) menggunakan putik kapas di kawasan tertentu di dalam mulut anda, terutama sebelum makan.
  • Ubat tahan sakit boleh juga digunakan. Tylenol atau Panadol boleh membantu mengurangkan sakit mulut. Jika diambil setengah jam sebelum makan ia mungkin boleh membantu anda untuk mengurangkan rasa sakit sewaktu makan.
  • Anda tidak boleh mengambil ubat  aspirin atau ubat bukan steroid (Advil, Motrin) semasa rawatan kemoterapi  kerana  mereka boleh menyebabkan masalah pendarahan.
  • Anda perlu minum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari.

Apakah yang perlu dilakukan selepas kemoterapi atau radioterapi rawatan selesai?

Apabila terapi berakhir, anda perlu meneruskan dengan penjagaan pergigian  yang baik untuk terus memastikan gigi dan gusi yang sihat dan menjauhi diri dari infeksi. Kemoterapi akan memberi kesan sampingan terhadap kelenjar air liur dan keluaran air liur akan mengurang. Oleh sebab  mulut yang kering,  anda akan mengalami risiko kerosakan gigi dan penyakit gusi yang lebih tinggi.

Kesimpulan

Berikut adalah nasihat penting bagi seseorang yang mengidap penyakit  kanser mulut:

  1. Lawatilah doktor gigi anda sebelum memulakan  rawatan kanser sebagai persediaan untuk mengelakkan sebarang risiko semasa kemoterapi atau radioterapi dijalankan.
  2. Awasilah kesihatan pergigian anda sebelum, semasa dan selepas  rawatan kanser dijalankan.
  3. Berbincanglah dengan doktor anda tentang sebarang masaalah pergigian yang dialami supaya rawatan boleh disegerakan.
  4. Teruskan dengan pengamalan  penjagaan gigi yang baik walaupun rawatan kemoterapi atau radioterapi telah selesai untuk mengelak sebarang risiko penyakit di masa hadapan.

Rujukan

  1. Keefe DM, Schubert MM, Elting LS, et al. Updated clinical practice guidelines for the prevention and treatment of mucositis. Cancer 2007 Mar 1; 109(5):820-31. Online at http://www.mascc.org/mc/page.do?sitePageId=87007 Exit Disclaimer (Accessed July 2009).
  2. Meurman JH, Grönroos L. Oral and dental health care of oral cancer patients: hyposalivation, caries and infections. 2010 Jun; 46(6):464-7.
  3. Schubert MM, Appelbaum FR, Peterson DE, Lloid ME. Oral complications. In: Blume KG, Forman SJ, eds.: Thomas’ Hematopoietic Cell Transplantation. 3rd ed. Malden, Mass: Blackwell Science Inc., 2004, pp 911-28.
  4. Shiboski CH, Hodgson TA, Ship JA, Schiødt M. Management of salivary hypofunction during and after radiotherapy. Oral Surg Oral Med Oral Pathol Oral Radiol Endod 2007; 103(suppl 1):S66.e1-S66.e19.
Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Lydia Mason ak Lionel
Akreditor : Dr. Savithri a/p Vengadasalam