A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Alat Bantu Dengar :...

Alat Bantu Dengar : Bayi & Kanak-Kanak

Alat bantu pendengaran untuk bayi dan kanak-kanak, persoalan lazim oleh ibu bapa penjaga

Persoalan Lazim Oleh Ibu Bapa/Penjaga

Penggunaan alat bantu pendengaran di kalangan bayi dan kanak-kanak bermasalah pendengaran bukanlah suatu perkara yang baru. Walaupun demikian, masih banyak tanggapan yang kurang tepat digambarkan berhubung pemakaiannya di kalangan bayi dan kanak-kanak. Berikut adalah persoalan yang sering diajukan oleh ibu bapa/penjaga yang mempunyai anak bermasalah pendengaran.

Soalan 1: Adakah alat bantu pendengaran sesuai dan selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak?

Jawapan :

  1. Alat bantu pendengaran boleh digunakan pada bayi yang disahkan bermasalah pendengaran seawal usianya sebulan. Penggunaan alat di usia yang lebih muda adalah sangat penting bagi memberi peluang rangsangan bunyi persekitaran yang lebih awal dan perkembangan kemahiran bahasa dan pertuturan kanak-kanak.
  2. Alat bantu pendengaran juga selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak kerana pengeluaran sebarang peralatan elektronik untuk kesihatan telah melalui proses kawalan keselamatan yang sangat ketat sejak di peringkat pengilangan lagi.

Soalan 2: Adakah benar jika anak saya menggunakan alat bantu pendengaran yang mahal adalah lebih baik dan lebih berkesan?

Jawapan :

Tidak, keberkesan pemakaian alat bantu pendengaran sebenarnya sangat bergantung kepada komitmen ibu bapa dan keluarga kepada aktiviti pemulihan yang berterusan tanpa had masa.

Pembelian alat bantu dengar hendaklah mendapat khidmat nasihat Pegawai Audiologi yang bertauliah. Ini disebabkan oleh alat bantu pendengaran memerlukan spesifikasi khusus berdasarkan masalah pendengaran bayi dan kanak-kanak. Penilaian ini dilakukan oleh Pegawai Audiologi bagi menentukan alat bantu pendengaran berfungsi dengan baik, selesa dan selamat dipakai oleh bayi dan kanak-kanak.

Soalan 3: Adakah anak saya akan boleh bercakap setelah dipakaikan alat bantu pendengaran?

Jawapan :

Terdapat beberapa faktor yang akan menyumbang kepada kebolehan bertutur di kalangan bayi dan kanak-kanak bermasalah pendengaran

  1. Tahap komitmen yang diberikan oleh ibu bapa/penjaga terhadap program pemulihan yang disarankan oleh Pegawai Audiologi.
  2. Tahap pendengaran anak :
    Masalah pendengaran yang lebih teruk memerlukan lebih banyak latihan rangsangan kepada bunyi.
  3. Umur anak ketika alat bantu pendengaran dipasang :
    Pemasangan alat bantu pendengaran pada usia kanak-kanak yang lebih muda adalah lebih baik.
  4. Tempoh pemakaian alat bantu pendengaran :
    Anak yang telah memakai alat bantu pendengaran secara berterusan selama setahun bermula pada peringkat awal usianya mempunyai peluang yang lebih baik untuk belajar bercakap berbanding dengan anak yang menggunakan alat bantu pendengaran untuk tempoh yang serupa tetapi tidak konsisten.

Artikel berkaitan : Bila Anak Bermasalah Pendengaran

Soalan 4: Bolehkah alat bantu dengar dibeli di farmasi ubat atau kedai alat sokongan perubatan yang biasa di pasaran?

Jawapan :

Alat bantu pendengaran tidak boleh dibeli di farmasi ubat dan kedai alat sokongan perubatan. Pembelian alat bantu pendengaran perlu mendapat preskripsi daripada Pegawai Audiologi bertauliah yang akan memberi makluman berkaitan pusat pembekal alat bantu pendengaran berhampiran anda.

Soalan 5: Bolehkan anak saya menggunakan alat bantu pendengaran secara pembedahan?

Jawapan :

Penggunaan alat bantu pendengaran yang memerlukan kaedah pembedahan adalah Implan Koklea. Walaupun demikian, tidak semua bayi dan kanak-kanak yang disahkan bermasalah pendengaran sesuai dipasangkan Implan Koklea. Terdapat kriteria khas yang perlu dipenuhi sebelum pesakit boleh menjalani pembedahan tersebut.

Artikel berkaitan :

Soalan 6: Adakah alat bantu pendengaran akan mudah rosak jika digunakan oleh bayi dan kanak-kanak?

Jawapan :

Alat bantu dengar adalah sejenis peralatan elektronik yang selamat. Cara penjagaan yang betul dan baik sangat membantu memanjangkan kualiti serta tempoh hayat peralatan tersebut. Sekiranya anak anda menggunakan alat bantu pendengaran, maka ibu bapa / penjaga dan ahli keluarga perlulah mengambil perhatian dalam menyelenggara alat bagi mengurangkan risiko kerosakan. Sebagai contoh; periksa keadaan fizikal alat dan uji kualiti bunyi sebelum dan selepas digunakan.

Soalan 7: Adakah pendengaran bayi dan kanak-kanak akan pulih selepas dipakaikan alat bantu pendengaran?

Jawapan :

Tidak, kerana alat bantu pendengaran bukanlah alat merawat atau penyelesaian mutlak kepada masalah pendengaran. Alat tersebut hanya membantu untuk meningkatkan keupayaan mendengar bunyi dari persekitaran semasa digunakan sahaja.

Artikel berkaitan : Alat Bantu Dengar: Apakah Persepsi Yang Sebenar?

Soalan 8: Adakah Alat bantu pendengaran akan jatuh bila dipakai oleh bayi dan kanak-kanak kerana saiznya yang besar?

Jawapan:

Bagi pesakit bayi dan kanak-kanak, Pegawai Audiologi biasanya akan mencadangkan pemakaian alat bantu dengar dengan pilihan aksesori tertentu bagi mengurangkan risiko terjatuh atau kejadian kanak-kanak memasukkannya ke dalam mulut. Contohnya seperti:

1. Otoclip Sumber: adcohearing.com
2. Huggie Sumber: adcohearing.com

Soalan 9: Benarkah penggunaan alat bantu dengar boleh menyebabkan rasa sakit?

Jawapan:

Sakit ketika memakai alat bantu pendengaran boleh dirasai semasa/jika:

  1. Kesan permukaan acuan telinga yang kesat kerana kali pertama digunakannya.
  2. Bentuk acuan yang tidak sempurna atau pun tidak mengikut saiz telinga yang betul.
  3. Tetapan kuasa atau kawalan volume alat pendengaran yang terlampau kuat.
  4. Terdapat masalah jangkitan pada telinga.

Soalan 10: Adakah benar alat bantu pendengaran akan berbunyi bising semasa digunakan?

Jawapan  :

Tidak, alat bantu pendengaran seharusnya tidak mengeluarkan bunyi bising semasa dipakai. Alat tersebut secara asasnya berfungsi untuk menguatkan bunyi, namun bunyi bising boleh terjadi dalam 2 keadaan.

  1. Bunyi bising yang boleh didengari di luar:
    • Biasanya disebabkan oleh kebocoran bunyi akibat acuan telinga yang longgar atau pemasangan yang tidak kemas.
    • Kunci kawalan volume yang terlalu tinggi pada alat bantu pendengaran.
  2. Bunyi bising di dalam alat bantu pendengaran
    • Boleh terjadi jika terdapat gangguan pada mikrofon alat yang digunakan.
    • Gangguan pada litar dalaman alat bantu pendengaran dan memerlukan pemeriksaan menggunakan peralatan khas.

Oleh itu, pemantauan cara pemakaian alat yang betul serta pemeriksaan bunyi sebelum dan selepas alat digunakan oleh ibu bapa/penjaga adalah amat penting bagi memastikan proses bunyi tidak terganggu.

Artikel Berkaitan :

Soalan 11: Apakah yang akan didengari oleh anak saya jika menggunakan alat bantu pendengaran?

Jawapan :

Prinsip utama pemakaian alat bantu pendengaran adalah menguatkan sumber bunyi dari persekitaran supaya dapat didengari dengan selesa oleh pengguna. Bunyi yang didengari melalui alat tersebut masih serupa namun kualitinya sedikit berbeza berikutan proses penguatan bunyi berlaku secara elektrikal. Ibu bapa /penjaga boleh mendengar sendiri bunyi tersebut dengan menggunakan stetoklip, yang biasanya dibekalkan dalam kit penyelenggaraan ataupun semasa menghadiri temujanji dengan Pegawai Audiologi berkaitan.

Stetoklip (Sumber: adcohearing.com)

Soalan 12: Bolehkah anak saya menggunakan alat bantu dengarnya untuk tempoh yang pendek sahaja setiap hari?

Jawapan :

Pemakaian alat bantu dengar yang baik adalah selama lapan jam dan berterusan setiap hari atau pun bagi sepanjang tempoh anak tidak tidur. Bagi si kecil yang baru memakai alat bantu dengar, tempoh pemakaian ini boleh dijalankan secara berperingkat. Ini bertujuan untuk membolehkan anak mendapat rangsangan bunyi yang maksimum secara konsisten tanpa mengira aktiviti yang dilakukan, seperti bermain, pergi ke sekolah, menonton televisyen ataupun perbualan biasa di rumah.

Artikel berkaitan : Alat Bantu Dengar: Apakah Persepsi Yang Sebenar?

Soalan 13: Adakah anak saya masih perlu menghadiri temujanji susulan selepas dipakaikan alat bantu pendengaran?

Jawapan:

Ya, temujanji susulan selepas pemakaian alat bantu pendengaran adalah sangat penting kerana:

  1. Ibu bapa /penjaga perlu memberi maklumbalas berkaitan keberkesanan pemakaian alat bantu pendengaran di rumah atau di sekolah.
  2. Pegawai Audiologi perlu memeriksa keadaan fizikal alat dan acuan telinga berfungsi dengan baik.
  3. Pegawai  Audiologi perlu memastikan tetapan kuasa alat dengar pada tahap baik dan berfungsi melalui beberapa jenis ujian khas.
  4. Ibu bapa / penjaga boleh mendapatkan khidmat nasihat lanjutan berkaitan sokongan moral, emosi  dan kumpulan sosial ( Support Group).

Soalan 14: Adakah alat bantu pendengaran perlu menjalani penyelenggaraan (service) selepas digunakan?

Jawapan :

Ya, alat bantu pendengaran juga perlu diselenggara secara tetap dan berkala supaya :

  1. Kualiti bunyi dan fungsi alat bantu pendengaran dapat dikekalkan.
  2. Membolehkan jangka hayat alat bantu pendengaran lebih terjamin.
  3. Sangat membantu dalam pengesanan awal jika terdapat sebarang kerosakan.

Artikel berkaitan : Alat Bantu Dengar: Apakah Persepsi Yang Sebenar?

Rujukan

  1. https://adcohearing.com/product
  2. http://www.babyhearing.org/hearingamplification
  3. http://www.asha.org/public/hearing/Hearing-Aids-for-Children/
Semakan Akhir : 4 Ogos 2017
Penulis : Khadijah Azura bt. Salim
Akreditor : Sharifah Zainon bt. S. Mohd Khan

Artikel Berkaitan

Latihan Auditori

Latihan auditori ialah proses mengajar otak untuk mendengar. Ia merupakan proses mengajar individu bermasalah pendengaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,224,377

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia