A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Alat Bantu Dengar: Apakah...

Alat Bantu Dengar: Apakah Persepsi yang Sebenarnya?

Pengenalan

Masalah pendengaran tidak mengira usia , pangkat mahupun status pekerjaan seseorang. Ia boleh hadir secara senyap dan mungkin tidak disedari individu tersebut sehingga ke suatu ketika. Banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya masalah pendengaran. Oleh itu, cara mengatasinya juga secara tidak langsung berbeza bergantung kepada faktor tersebut.

Artikel ini memberi penekanan berkenaan persepsi penggunaan alat bantu dengar supaya lebih realistik dalam membantu mereka mendengar. Maklumat dan panduan daripada golongan professional berkenaan masalah pendengaran, proses mendapatkan alat bantu dengar sehinggalah kepada usaha dalam penyelenggaraan alat bantu dengar itu sendiri begitu penting buat pengguna alat bantu dengar . Hal ini membolehkan pengguna alat bantu dengar memanfaat alat bantu dengar sebaik mungkin.

Masalah pendengaran

Jika ditanya kepada mereka yang mempunyai masalah pendengaran, adakah mereka memang benar- benar ingin memakai alat bantu dengar? Majoriti daripada mereka menjawab keterujaan mereka memang ingin mendengar kembali dan seterusnya melalui kehidupan normal seperti sediakala.

Alat Bantu Dengar

Salah satu cara untuk mengatasi masalah pendengaran adalah melalui pemakaian alat bantu dengar . Alat bantu dengar merupakan  alat elektronik yang menggunakan bateri  berfungsi menguatkan bunyi yang didengari  sesuai dengan tahap masalah pendengaran seseorang. Hal ini merupakan berita gembira bagi mereka yang menghadapi masalah pendengaran bertahun- tahun lamanya.

Walaubagaimanapun, penerimaan individu terhadap alat bantu dengar mungkin berbeza jika dibincangkan dari pelbagai  sudut. Dan tidak dinafikan, alat bantu dengar juga melalui beberapa fasa perubahan teknologi yang hebat setanding dengan gajet- gajet yang digemari remaja kini. Namun, bersediakah mereka yang mempunyai masalah pendengaran untuk memakai alat bantu dengar ?

Bagaimanakah alat bantu dengar dapat membantu?

Pengalaman yang diperoleh daripada pemakaian alat bantu dengar turut berbeza antara individu samada golongan kanak- kanak dan dewasa. Perbezaan tersebut meliputi tahap dan jenis masalah pendengaran, pengalaman kesan masalah pendengaran yang lalu serta perubahan yang diterima setelah memakai alat bantu dengar .

Bagi golongan  kanak- kanak,  pemakaian alat bantu dengar penting sebagai  satu medium untuk membantu perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.  Tanpa alat bantu dengar , peluang mereka untuk mendapat kemahiran  bertutur  seperti kanak- kanak normal akan terbantut.

Umumnya, bagi golongan yang mempunyai masalah pendengaran, mereka mengharapkan perubahan yang baik daripada penggunaan alat bantu dengar.

Harapan ibu bapa pada anak yang mempunyai masalah pendengaran

Masalah pendengaran adalah salah satu daripada masalah yang sering berlaku di kalangan bayi yang baru lahir. Sumber  dari Joint Committee and Infant Hearing (JCIH) 2000, satu pertubuhan Amerika melaporkan setiap 1000 kelahiran, dianggarkan 3 bayi dilahirkan mempunyai masalah pendengaran. Bagi mengatasi masalah pendengaran tersebut, alat bantu dengar adalah pilihan utama.

Ibu bapa  semestinya mengharapkan kesan lebih baik yang dimainkan oleh dalam membantu anak- anak mereka berkomunikasi.  Menjadi satu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan apabila anak mereka dapat memanggil mereka ‘mama’ atau ‘papa’. Walaubagaimanapun, keupayaan mendengar dan bertutur tidak hadir dalam sekelip mata. Kanak- kanak  yang bermasalah pendengaran perlu  melalui beberapa sesi pemulihan berkala  dengan berjumpa pegawai pemulihan perubatan (pendengaran) dan pegawai pemulihan pertuturan yang optimum bagi meningkatkan kebolehan mereka mendengar dan bertutur.

Soalan yang sering ditanya ibu bapa apabila mengetahui anak mereka perlu memakai alat bantu dengar

Kebanyakan ibu bapa mempunyai pelbagai persoalan bermain di fikiran setelah dimaklumkan bahawa anak mereka perlu memakai alat bantu dengar. Antaranya:

  • Adakah alat bantu dengar perlu di pakai sentiasa/ sehingga seumur hidup?

  • Sekiranya memakai alat bantu dengar , adakah anak saya terus dapat mendengar dan bercakap seperti kanak- kanak lain?

  • Adakah bunyi yang didengari melalui alat bantu dengar adalah sama dengan bunyi yang didengari telinga normal?

  • Bagaimana dan dimana untuk mendapatkan alat bantu dengar ?

  • Adakah alat bantu dengar akan rosak?

  • Adakah alat bantu dengar dapat bertahan lama?

  • Bagaimana untuk menjaga alat bantu dengar ?

Penerimaan golongan dewasa terhadap pemakaian alat bantu dengar

Manakala, bagi golongan dewasa kehadiran alat bantu dengar memberi sinar baru bagi kehidupan mereka yang suram sebelum ini. Mereka juga ingin melalui kehidupan harian seperti sediakala.

Sebagai contoh, apabila meniti usia, proses penuaan   mengakibatkan sistem tubuh mengalami perubahan – perubahan fisologi yang akan turut menyebabkan berlakunya kekurangan daya pendengaran.

Beberapa perkaitan wujud antara kesan masalah pendengaran dikalangan golongan warga tua dari segi psikologi dan interaksi sosial mereka. Ketika sesi pemilihan alat bantu dengar, jika ditanya adakah mereka memang bersedia untuk memakai alat bantu dengar. Kebanyakan mereka menjawab tidak sabar untuk memakai alat bantu dengar . Mereka ingin mengatasi masalah yang sering dihadapi disebabkan masalah pendengaran. Antara masalah yang sering dinyatakan adalah:

  • Kesukaran untuk memahami ceramah dalam majlis agama

  • Sering ketinggalan maklumat apabila ada perbualan.

  • Wujud perasaan segan akan kekurangan diri apabila kerap bertanya soalan

  • Tidak dapat bergaul dengan orang di sekeliling apabila bertemu.

  • Ahli keluarga bercakap dengan nada tinggi daripada kebiasaannya dan secara tidak langsung memberi tekanan emosi kepada kedua- dua pihak.

  • Murung ataupun tertekan emosi kerana dianggap pekak/tuli bagi masyarakat sekeliling.

Pegawai professional membantu pengguna mengenali alat bantu dengar

Pada ketika ini, Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) / Audiologis memainkan peranan penting  dalam memberi pendedahan yang diperlukan. Mereka boleh mendapatkan khidmat tersebut di hospital kerajaan, di pusat perubatan   swasta dan cawangan pembekal alat bantu dengar.

Pegawai professional akan memberi maklumat yang sebaik mungkin kepada bakal pengguna alat bantu dengar yang meliputi:

  • Menerangkan dengan terperinci berkenaan masalah pendengaran yang dihadapi

  • Membantu menyediakan maklumat yang diperlukan semasa proses pemilihan alat bantu dengar.

  • Bagaimana memakai dan menggunakan alat bantu dengar dengan cara betul

  • Bagaimana menjaga dan mencuci  alat bantu dengar yang betul.

  • Bagaimana untuk menukar bateri alat bantu dengar

  • Apa yang perlu dilakukan sekiranya alat bantu dengar itu rosak.

Pengguna alat bantu dengar menjangkakan adanya sesi orientasi pengenalan alat bantu dengar

Seseorang itu akan dicadangkan memakai alat bantu dengar sekiranya masalah pendengaran mereka bersifat kekal  dimana ia tidak boleh diubati dengan ubat ataupun pembedahan.

Masalah pendengaran jenis ini adalah disebabkan kerosakan pada saraf pendengaran.
Sebelum memakai alat bantu dengar , pegawai professional akan memaklumkan pengguna alat bantu dengar perkara asas yang perlu diketahui  dan akan turut disertakan buku manual  untuk rujukan mereka.

Persepsi terhadap kualiti bunyi alat bantu dengar yang berbeza daripada pendengaran normal

Mereka juga akan dimaklumkan mengenai kualiti bunyi yang di dengar melalui alat bantu dengar akan berbeza berbanding pendengaran mereka yang normal sebelum ini. Namun, perbezaan itu tidak begitu ketara. Oleh itu tempoh masa penyesuaian setiap individu terhadap alat bantu dengar adalah berbeza memandangkan otak kita memerlukan masa untuk belajar mengenali kembali bunyi- bunyi yang tidak di dengar bertahun- tahun lamanya sebelum ini.

Persepsi terhadap keselesaan memakai alat bantu dengar

Pada hari pertama memakai alat bantu dengar , pengguna akan berasa ketidakselesaan kerana terdapat sesuatu yang memenuhi telinga. Sesetengahnya, akan mengalami kegatalan namun  ia akan beransur hilang selepas beberapa hari atau minggu. Walaubagaimanapun, sekiranya masalah tersebut berlanjutan pengguna perlu memaklumkan kepada pegawai professional   secepat mungkin.

Perspepsi adanya sesi temujanji susulan selepas memakai alat bantu dengar

Pengguna akan dimaklumkan perlu menghadiri temujanji susulan apabila mula memakai alat bantu dengar. Temujanji ini dapat membantu pengguna menyelesaikan masalah yang berbangkit apabila mengalami sendiri pengalaman beberapa hari memakai  alat telinga  apabila berada dalam pelbagai keadaan persekitaran yang berlainan. Pegawai audiologis akan cuba mengubahsuai kualiti bunyi sebaik mungkin berdasarkan komen pengguna melalui ciri- ciri yang terdapat pada alat bantu dengar.

 Persepsi dapat mengetahui keberkesan setelah memakai alat bantu dengar

Melalui temujanji susulan, pegawai profesional akan menilai keberkesan pemakaian alat bantu dengar melalui beberapa ujian dan borang soal- selidik. Ini memberi gambaran kepada pegawai samada alat bantu dengar bermanfaat ataupun tidak dalam membantu mereka untuk  mendengar.

Persepsi alat bantu dengar dapat memudahkan mereka berkomunikasi dalam pelbagai keadaan

Pengguna alat bantu dengar mengharapkan alat bantu dengar  dapat membantu mereka mendengar dengan jelas tanpa diganggu bunyi bising persekitaran. Tambahan pula, mereka amat menitik beratkan keselesaan mendengar di mana bunyi yang di dengar tidak terlalu  kuat ataupun perlahan.

Sekiranya bunyi yang di dengar terlalu kuat dan tidak selesa buat pengguna, mereka perlulah mendapatkan khidmat golongan profesional.

Persepsi bahawa alat bantu dengar dapat dibaiki

Sekiranya alat bantu dengar mengalami kerosakan, ia  bukanlah pengakhiran buat mereka untuk mendengar. Alat bantu dengar perlu diselenggarakan sekurang-kurangnya 6 bulan dari hari pertama memakai alat.  Pengguna perlu sedar, alat bantu dengar terdiri daripada beberapa komponen kecil yang sofistikated dan sensitif kepada kelembapan dan pergerakan yang ekstrem. Memang tidak dinafikan, pembaikian alat bantu dengar adalah perlu, namun ia mungkin boleh dkurangkan atau dielakkan sekiranya pengguna menjaga alat bantu dengar dengan cermat. Amnya, setiap alat bantu dengar baru mempunyai waranti sehingga pada suatu tempoh yang ditetapkan

Kehadiran alat bantu dengar sedikit sebanyak memberi peluang kepada mereka yang
mempunyai masalah pendengaran untuk kekal aktif dan mempertingkat kualiti hidup kearah lebih baik.

Semakan akhir : 07 Mac 2014
Penulis : Siti Hazwani bt Yusoh
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,422,341

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia