A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Alamak, Anak Saya Belum Bercakap!

Ibu bapa dan adik-beradik perlu menunjukkan contoh dan tingkah laku yang baik. Ini kerana kanak-kanak kecil memerhati, belajar dan respon dengan dunia di sekelilingnya dengan meniru kelakuan orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Kepentingan bahasa

Kanak-kanak mula berkomunikasi sebelum mula bercakap. Sebagai contoh, bayi berkomunikasi dengan menangis jika lapar dan tersenyum gembira jika melihat ibunya.

Pada peringkat awal perkembangan bahasa yang normal, kanak-kanak akan menggunakan isyarat tanpa bahasa lisan untuk berkomunikasi.

Bahasa digunakan sebagai:

  • Medium untuk interaksi dengan keluarga serta masyarakat.

  • Medium pembelajaran. Ini kerana hampir kesemua bentuk pendidikan menggunakan bahasa sama ada dalam bentuk lisan mahupun secara bertulis atau gabungan kedua-duanya.

Bagaimana kanak-kanak belajar bahasa?

Kanak-kanak belajar bahasa melalui:

  • Melihat dan meneroka. Kanak-kanak mula menggunakan bahasa untuk berkomunikasi setelah dia mula meneroka dan memahami dunia di sekelilingnya. Penggunaan bahasa mencerminkan tahap penerokaan dan pemahaman kanak-kanak itu terhadap dunianya.

  • Meniru. Meniru merupakan kemahiran sebelum kanak-kanak mendapat bahasa dan pertuturan. Kanak-kanak akan meniru perlakuan dan perkataan orang di sekelilingnya.

Oleh itu, ibu bapa dan adik-beradik perlu menunjukkan contoh dan tingkah laku yang baik. Ini kerana kanak-kanak kecil memerhati, belajar dan respon dengan dunia di sekelilingnya dengan meniru kelakuan orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Perkembangan bahasa kanak-kanak perkembangan normal

Umur

Kemahiran bahasa

0 – 6 bulan

  • Senyum apabila mendengar suara ibu/penjaga
  • Menggerakkan kepala & mata ke arah bunyi
  • Mengeluarkan bunyi-bunyian seperti menghasilkan bunyi vokal (/aaa/) yang nyaring (video)

7- 11 bulan

  • Membebel- ‘baba’, ‘mama’, ‘dada’ tanpa maksud tertentu
  • Faham perkataan ‘jangan’ dan arahan mudah seperti ‘bye-bye’, ‘salam’
  • Meniru bunyi mudah seperti bunyi binatang dan kenderaan

1 tahun

  • Meniru suku kata perkataan, contoh: ‘bola’ à /la/, ‘abah’ à /bah/
  • Menguasai 10-25 perkataan
  • Dapat menunjukkan bahagian badan asas
  • Menggunakan kata sosial, contoh ‘hello’, ‘bye-bye’
  • Memanggil nama ahli keluarga terdekat

2 tahun

  • Menguasai kira-kira 50 perkataan
  • Menggabungkan 2-3 patah perkataan
  • Mengikut arahan tanpa bantuan isyarat
  • Tumpuan terhadap sesuatu aktiviti selama lebih kurang 5 minit

3 tahun

  • Bercerita menggunakan ayat lebih panjang dan sempurna kira-kira 3-4 perkataan
  • Dapat menyebut nama penuh
  • Faham soalan ‘apa’, ‘bila, ‘mana’, dan ‘bagaimana’

4 tahun

  • Faham konsep seperti warna dan saiz
  • Dapat menjawab soalan tentang fungsi objek
  • Menggunakan ayat yang panjang dengan kata hubung seperti ‘dan’, ‘dengan’
  • Menyebut bunyi konsonan kira-kira 90% secara tepat

5 tahun

  • Bercerita tentang sesuatu topik dengan ayat panjang, kira-kira lebih dari 5 perkataan
  • Menggunakan sambungan kompleks seperti ‘selepas itu’, ‘atau’ dan ‘tetapi’
  • Faham arahan kompleks
  • Bahasa dan pertuturan menyamai orang dewasa

(Sumber: Poster Terapi Pertuturan KKM)

Faktor-faktor anak masih tidak bercakap

Kanak-kanak memerlukan pengetahuan dan kefahaman bahasa yang baik untuk mula bercakap. Namun begitu, perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak boleh terganggu akibat daripada faktor-faktor berikut:

  • Faktor kesihatan Kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan, seperti sawan.

  • Gangguan pada perkembangan otak. Sebagai contoh, kanak-kanak yang lewat perkembangan atau memiliki ciri-ciri sindromik lebih cenderung untuk memiliki masalah gangguan bahasa atau lambat bertutur.

  • Masalah pergerakan otot pertuturan. Ini juga menunjukkan salah satu gangguan yang berlaku di bahagian otak. Ia mengganggu penghasilan pertuturan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk menggunakan dan mengatur pergerakan bibir, lidah dan rahang  untuk menghasilkan pertuturan.

  • Masalah pendengaran. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran akan menghadapi kesukaran untuk meniru dan menghasilkan bunyi pertuturan. Oleh itu, ibu bapa perlulah membawa anak berjumpa dengan Audiologis di hospital berdekatan untuk menjalani ujian pendengaran.

  • Model atau rangsangan bahasa daripada ibu bapa yang kurang atau tidak tepat. Rangsangan bahasa adalah sangat penting sewaktu usia anak semakin meningkat. Ibu bapa perlu meluangkan masa, bermain dan bercakap dengan anak.

Tahap bahasa dan pertuturan anak mungkin menjadi lebih baik jika menjalani rawatan pemulihan sejak dari awal lagi. Selain itu, rangsangan bahasa yang betul akan lebih menggalakkan pemerolehan bahasa dan pertuturan.

Perhatikan perkembangan bahasa dan pertuturan anak anda. Kemudian, bandingkan dengan perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak normal (seperti di dalam Jadual).

Jika anak anda masih tidak bercakap pada umur yang sepatutnya, berjumpalah dengan Terapis Pertuturan-Bahasa untuk menjalani penilaian dan terapi bahasa dan pertuturan.

Rujukan

  1. Peters, J. A. 2007. Making Chatter Matter. Nurture Books.

  2. Perkembangan Bahasa Kanak-Kanak Normal. Poster Terapi Pertuturan KKM.

  3. Delayed Speech and Language. Diperolehi 5 September 2012 dari http://kidshealth.org/parent/emotions/behavior/not_talk.html

Video

  1. Harper-11-weeks-old-Cooing-and-Baby-Talking[www.savevid.com]. http://www.youtube.com/watch?v=SXJfTNgcpik

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurbaiti bt. Mohamad Adli
Akreditor : Raphidah bt. Rusly
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Lewat Berjalan

Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.

Neuroblastoma

Neuroblastoma adalah barah yang paling utama ditemui di kalangan bayi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,077,531

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia