Home > Umum > Forensik > Aku Bebas

Aku Bebas

Satu laporan setebal 46 muka surat telah dikeluarkan oleh Innocence Project di negara Uncle Sam, Amerika Syarikat berkaitan 200 orang banduan yang dibebaskan daripada penjara dengan bantuan DNA (Innocence Project, 2013). Kesemua mereka dibuktikan tidak bersalah melalui aplikasi ujian DNA setelah dipenjara oleh barisan juri.

Innocence Project yang dimulakan pada tahun 1992 ini telah membuktikan bahawa sabitan di dalam mahkamah secara sistem juri tanpa bukti saintifik boleh dipertikaikan. Aplikasi teknik pengujian DNA telah memberi kesan yang besar antara hidup dan mati kepada individu yang teraniaya.

Persoalannya sekarang, adakah masih ramai lagi individu yang tidak bersalah dipenjarakan? Tiada siapa yang benar-benar tahu jawapan kepada soalan itu. Hal ini kerana teknik pengujian DNA adalah suatu teknik yang mahal dan pada suatu ketika yang lalu, walaupun teknik ini telah wujud, ia tidak digunakan dalam penyiasatan polis kerana kosnya yang tinggi.

Tambahan pula, sekiranya bukti DNA itu wujud sekalipun, dalam kuantiti yang kecil, ia mudah hilang dan musnah. Dengan kekangan bukti yang tidak kekal, tidak semua kes jenayah yang telah disabitkan boleh dibuka semula untuk diadili.

Mengapa berlakunya salah sabitan?

Berdasarkan pengamatan Michael Naughton (Naughton, 2006) seorang pensyarah perundangan di Universiti Bristol, England, beliau menegaskan bahawa perbicaraan kes jenayah bukanlah berdasarkan fakta yang membuktikan seseorang itu bersalah atau tidak. Apa yang berlaku adalah mereka menentukan sama ada orang yang dituduh tersebut bersalah atau tidak bersalah di dalam mahkamah berdasarkan bukti yang dibentangkan (Griffith, 2006).

Bukti utama yang akan dibawa oleh pihak pendakwaan adalah akuan penjenayah. Andai seseorang itu mengaku melakukan jenayah dan akuannya itu didokumenkan oleh pegawai penyiasat, ia akan memendekkan perbicaraan dan tertuduh yang mengaku kesalahannya itu akan dihukum.

Bagaimana dengan pembentangan bukti-bukti lain yang berkaitan? Adakah pengujian DNA dijalankan bagi kes seperti ini? Jika ia dijalankan, berapakah tempoh masa yang diambil oleh saintis untuk menyediakan laporan keputusan tersebut? Bagaimana pula dengan kreadibiliti saksi dan kebolehpercayaan keterangannya?

Berikut adalah beberapa faktor yang banyak menyumbang kepada salah sabitan (Innocence Project, 2013):

  1. Kredibiliti saksi

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Innocence Project, sebanyak 75 peratus daripada kes salah sabitan berlaku disebabkan oleh keterangan saksi. Malah, terdapat jaringan kajian selama yang telah dijalankan yang menyatakan bahawa keterangan saksi adakalanya tidak boleh dipercayai kerana ia mungkin dibuat atas sesuatu sebab.

    Tambahan pula, otak manusia bukan seperti pita perakam yang boleh menyimpan memori dalam serta boleh diakses pada bila-bila masa. Manusia seringkali terlupa dalam pelbagai hal. Kesilapan mengingati sesuatu perkara boleh berlaku kerana memori yang bercampur-aduk. Hal ini juga boleh berlaku semasa memberikan keterangan.

  2. Salah akuan

    Salah akuan semasa disoalsiasat boleh berlaku dalam beberapa keadaan yang didasari oleh faktor-faktor berkenaan:

    • Ugutan
    • Paksaan
    • Orang yang dituduh dalam keadaan mabuk
    • Masalah mental akibat tekanan
    • Kejahilan undang-undang
    • Ancaman hukuman yang lebih berat
    • Tidak faham situasi sebenar
  3. Kebolehpercayaan keputusan analisis dan teknik pengujiannya

    Perkembangan teknik pengujian atau analisis dalam bidang forensik sedang berlaku di seluruh dunia. Pihak penyiasat dan organisasi yang terlibat telah diperkenalkan kepada kehebatan teknik analisis forensik dalam menyelesaikan siasatan.

    Namun, kebolehpercayaan keputusan analisis yang dihasilkan masih tetap boleh dipersoalkan. Hakikatnya, walau sehebat mana kaedah analisis serta peralatan berteknologi tinggi digunapakai dalam penyiasatan, faktor manusia masih menjadi titik pemisah di antara kebenaran dan kecuaian.

    Beberapa aspek yang sering menjadi asas kepada keadaaan salah bicara seseorang individu adalah seperti berikut:

    • Testimoni yang tidak kukuh kerana isu kompetensi

      Sesuatu keputusan analisis perlu disandarkan kepada kaedah analisis yang betul dan tepat. Kurangnya latihan dan pendedahan kepada analisis yang mencukupi menyebabkan juruanalisis atau saintis tersebut tidak dapat menjalankan analisis dengan sempurna.

      Oleh kerana itu, testimoninya semasa dalam perbicaraan boleh diragui sehingga menyebabkan bukti yang kukuh yang diujinya tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk membela individu yang berkenaan, sama ada pesalah mahu pun mangsa.

    • Kesalahan juruanalisis atau saintis forensik

      Semasa menjalankan analisis, kesilapan boleh berlaku tanpa disedari. Kesalahan boleh juga terjadi semasa membuat laporan keputusan analisis.

      Kesilapan meletakkan titik perpuluhan memberi kesan yang besar kepada mangsa jenayah dan juga orang yang dituduh.

      Sebagai contoh, tidak meletakkan titik perpuluhan untuk berat syabu yang sebenar sebanyak 32.5 gram menjadikan ia seberat 325 gram menyebabkan individu yang dituduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Selain daripada itu, keseragaman kaedah pengujian dan laporan analisis di seluruh dunia adalah perlu bagi mendapatkan keputusan yang tepat dan jitu serta tidak boleh dipersoalkan.

Dalam keadaan ini, penggunaan analisis DNA sebagai salah satu kaedah penyiasatan amat penting untuk membuktikan kebenaran. Ia terbukti berkesan kepada seramai 310 bekas banduan yang telah dibebaskan.

Rujukan

  1. Griffith, G. (2006, 08). NSW PARLIAMENTARY LIBRARY RESEARCH SERVICES. Retrieved 07 08, 2013, from http://www.parliament.nsw.gov.au/prod/parlment/publications.nsf/0/78687da75a8a712fca2571d50016502f/$FILE/DNA%20EvidenceFINAL&INDEX.pdf
  2. Innocence Project. (2013, 07 09). Innocence Project. Retrieved 07 09, 2013, from http://www.innocenceproject.org/
  3. Naughton, M. (2006). Web Journal of Current Legal Issues. Retrieved 07 08, 2013, from http://webjcli.ncl.ac.uk/2006/issue3/naughton3.html
Semakan Akhir : 7 Januari 2014
Penulis : Khairul Adli b. Nikman
Akreditor : Dr. Shahidan bin Md Noor