Home > Ubat & Anda > Kawalan Ubat > Aduan Pengguna Terhadap Kesan Sampingan Ubat

Aduan Pengguna Terhadap Kesan Sampingan Ubat

Adakah anda pernah mengalami kesan sampingan akibat pengambilan ubat?

Apakah itu kesan sampingan ubat?

Kesan sampingan atau kesan advers ubat merupakan simptom yang tidak diingini berlaku akibat penggunaan sesuatu ubat termasuk suplemen kesihatan, ubat tradisional dan kosmetik. Kesan sampingan adalah pelbagai. Sesetengah ubat mengakibatkan kesan sampingan yang ringan seperti kegatalan ringan pada kulit, loya dan muntah manakala kesan sampingan yang lebih serius seperti kerosakan hati dan kegagalan jantung juga boleh terjadi. Kesan sampingan boleh berlaku dalam tempoh masa yang singkat selepas pengambilan ubat-ubatan atau selepas penggunaan untuk jangka masa yang panjang.

Mengapa kesan sampingan ubat perlu dilaporkan?

Ubat-ubatan yang terdapat di Malaysia, termasuk yang dikelaskan sebagai suplemen kesihatan dan produk tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Hanya ubat-ubatan farmaseutikal yang dinilai sebagai selamat, berkesan dan berkualiti, serta supplemen kesihatan dan produk tradisional yang selamat dan berkualiti sahaja akan didaftarkan.

Walaupun ubat-ubatan telah dikaji dalam percubaan klinikal sebelum ianya didaftarkan, sesetengah kesan sampingan seperti yang jarang berlaku atau berlaku berikutan penggunaan jangka masa yang panjang hanya boleh dikesan selepas ubat-ubatan tersebut digunakan oleh populasi yang lebih besar. Melalui pelaporan kesan sampingan ubat, risiko keselamatan yang baru dan perubahan dalam kekerapan berlakunya sesuatu kesan sampingan dapat dikenalpasti. Di samping itu, penilaian terhadap nisbah antara kebaikan dan risiko ubat-ubatan juga dapat dilakukan.

Dari segi undang-undang, di bawah Peraturan 28, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (r28 CDCR’84), pemegang pendaftaran atau sesiapa yang memiliki/menggunakan ubat-ubatan yang berdaftar perlu melaporkan kesan sampingan yang berlaku kepada Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

Segala maklumat berkenaan dengan pelapor tidak akan didedahkan. Sekiranya pengguna mengalami kesan terapeutik yang tidak dijangka terutama dari pengambilan produk tradisional dan mengesyaki ia mengandungi bahan lain, maka laporan sewajarnya boleh dibuat dengan segera. Dalam kes ini, pelapor dinasihatkan supaya menghantar sampel produk bersama-sama dengan laporan tersebut.

Bila kesan sampingan perlu dilaporkan dan bagaimana?

Kesan sampingan perlu dilaporkan secepat mungkin terutamanya jika kesan sampingan tersebut mengganggu aktiviti harian ataupun melibatkan kesan yang serius, seperti menyebabkan kematian, mengancam nyawa, kemasukan ke hospital, kecacatan dan kecacatan kelahiran.

Terdapat dua cara yang mudah untuk melaporkan kesan sampingan ubat-ubatan:

  • Melaporkannya kepada pengamal perubatan atau Ahli Farmasi di mana ubat itu diperolehi.
  • Melaporkan kepada Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan yang bertempat di BPFK. Laporan boleh dibuat melalui telefon atau mengisi Borang Laporan Aduan Ubat-ubatan yang boleh diperolehi melalui laman sesawang BPFK, www.bpfk.gov.my, di bawah subseksyen MADRAC.

Pelaporan kesan sampingan ubat-ubatan oleh pengguna adalah sangat penting bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemonitoran keselamatan ubat-ubatan kerana penentuan kadar berlakunya kesan sampingan untuk demografi tempatan dapat ditentukan agar langkah pencegahan sewajarnya dapat diambil.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Norleen bt. Mohamed Ali
Penyemak : Yam Chiew Fong

 

(Visited 161 times, 1 visits today)