A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Adakah anda penghidap anemia?

Adakah anda penghidap anemia?

Definisi

Anemia merupakan keadaan apabila jumlah sel darah merah atau hemoglobin di dalam darah berada di bawah paras normal atau sangat sedikit berbanding normal. Hemoglobin merupakan komponen utama sel darah merah yang berpadu dengan oksigen lalu membawa oksigen dari paru-paru ke semua tisu badan. Penghidap anemia selalunya akan menghadapi gejala seperti mudah letih, kelihatan pucat dan selalu berasa sesak nafas. Hal ini demikian kerana organ-organ bagi penghidap anemia tidak mendapat hemoglobin dan oksigen yang cukup untuk berfungsi dengan baik.

anemia1

(Sumber: http://www.pkdiet.com/pkdanemia.php)

anemia2

(Sumber: http://www.nucleusinc.com)

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan anemia seperti:

  1. kehilangan darah contohnya semasa haid
  2. proses penghasilan sel darah merah yang terganggu serta kemusnahan sel darah merah yang terlalu kerap
  3. kehamilan (berlaku akibat peningkatan bekalan darah daripada ibu kepada bayi)
  4. faktor keturunan
  5. diet kerana kekurangan zat besi, kurang sumber asid folik serta kurang kandungan vitamin B12

Anemia terbahagi kepada beberapa jenis iaitu;

  1. Iron Deficiency Anaemia (IDA) : Kekurangan zat besi mengakibatkan penghasilan hemoglobin tidak mencukupi.
  2. Anemia yang disebabkan oleh kekurangan vitamin : Kekurangan jumlah folate dan vitamin B12 akan mengganggu penghasilan sel-sel darah merah.
  3. Anemia penyakit kronik : Penyakit kronik seperti kanser, HIV / AIDS boleh mengganggu proses penghasilan sel-sel darah merah lalu merendahkan paras hemoglobin dalam darah.
  4. Aplastic Anaemia : Keadaan sumsum tulang yang tidak berupaya menghasilkan sel darah merah secara normal.
  5. Anemia yang dikaitkan dengan penyakit sumsum tulang : Penyakit seperti leukemia dan multiple myeloma boleh menjejaskan penghasilan darah oleh sumsum tulang.
  6. Haemolytic Anaemia : Keadaan ini selalunya menyebabkan sel darah merah mudah musnah serta disingkirkan dari saluran darah, biasanya diperoleh melalui keturunan.
  7. Anemia sel sabit : Sel darah merah berbentuk sabit adalah lebih mudah musnah dan akan menyebabkan jumlah sel darah merah tidak mencukupi.
    anemia3(Sumber: http://highschoolsicklecellanemia.weebly.com/circulatory-system.html)
  8. Anemia lain seperti Thalassemia : Disebabkan hemoglobin yang tidak berfungsi dengan baik, biasanya juga diperolehi melalui keturunan.

Ujian darah untuk mengesan penyakit anaemia

Kaedah ujian yang dilakukan

Beberapa ujian darah yang boleh dijalankan di makmal untuk mengesan anemia.

  1. Ujian rutin haematologi iaitu ujian kiraan darah penuh (full blood count, FBC) boleh menentukan paras hemoglobin, haematocrit dan sel-sel darah merah. Paras hemoglobin dan haematocrit diukur menggunakan mesin Haematology Analyzer yang mengguna pakai kaedah SLS haemoglobin hasil gabungan kaedah cyanmethemoglobin and oxyhemoglobin.
  2. Selain itu, spesimen serum atau plasma boleh dihantar ke makmal patologi kimia bagi menentukan perkara berikut:
    1. Paras elemen besi terutamanya kandungan besi yang berpadu dengan serum transferrin.
    2. Tahap keupayaan ikatan besi yang biasanya dikenali sebagai unsaturated iron binding capacity, (UIBC) dan jumlah keupayaan pengikatan jumlah besi (total iron binding capacity,TIBC); Jumlah kandungan UIBC dan Iron boleh digunakan untuk mengetahui jumlah kandungan TIBC menggunakan formula berikut : Iron + UIBC = TIBC.
    3. Paras ferritin di dalam serum pesakit.
    4. Paras folate di dalam serum pesakit.
    5. Paras Vitamin B12 di dalam serum pesakit.

    Paras besi and IBC boleh ditentukan dengan menggunakan mesin Chemistry Analyzer yang menggunakan kaedah fotometri manakala Ferritin, Folate and Vitamin B12 diukur dengan menggunakan mesin Immunoassay Analyzer.

Julat Rujukan

Jadual di bawah menunjukkan julat rujukan untuk orang dewasa. Terdapat beberapa parameter yang berbeza julatnya antara lelaki dan wanita.

Bahan
Unit
Lelaki
Wanita
Sel darah merah
1012/L
4.5 – 5.5
3.8 – 4.8
Hemoglobin
g/L
130 – 170
120 – 150
Ferritin
µg/L
22 – 322
10 – 291
Elemen besi (Iron)
µmol/L
12.5 – 32.2
10.7 – 32.2
UIBC
µmol/L
27.8 – 63.6
Vitamin B12
pmol/L
156-672
Folate
nmol/L
> 12

Faktor – faktor yang mempengaruhi bacaan dan keputusan ujian.

Terdapat beberapa keadaan sampel yang berkemungkinan akan meninggikan bacaan kandungan hemoglobin daripada bacaan yang sepatutnya seperti kehadiran protein yang tidak normal, kehadiran leukositosis (> 100,000 / ul) atau keadaan sampel yang berlemak (lipaemic).

Sampel yang berlemak dan terhemolisis juga perlu dielakkan apabila menganalisis spesimen kerana faktor-faktor ini akan memberi keputusan ujian yang tidak tepat.

Kestabilan sampel

Sampel darah yang diambil untuk ujian darah penuh (full blood count) perlu dicampurkan dengan antibekuan seperti EDTA-2K, EDTA-3K, atau EDTA 2Na bagi menghalang sampel menjadi terhemolisis atau beku. Sampel seharusnya dianalisis dalam tempoh 4 jam selepas diambil dan stabil selama tujuh hari sahaja jika disimpan pada suhu 2-8 ºC.

Sampel serum dan plasma untuk ujian kandungan elemen besi (iron) dan IBC adalah stabil selama tiga minggu apabila disimpan pada suhu 2-8 ºC manakala jika disimpan pada suhu 15 -25 ºC, sampel boleh bertahan selama 7 hari.

Sampel serum untuk ujian Ferritin, Folate dan Vitamin B12 stabil selama 3 minggu sekiranya sampel ditutup dengan baik dan disimpan pada suhu 2-8 ºC, manakala sampel boleh bertahan lebih lama iaitu sehingga 30 hari jika disimpan beku pada suhu -20 ºC.

Interpretasi

Paras hemoglobin, haematocrit dan sel darah merah adalah rendah berbanding paras normal bagi pesakit anaemia.

Paras besi di dalam serum pesakit Iron Deficiency Anemia adalah rendah daripada paras normal dan sebaliknya lebih tinggi di dalam serum pesakit acute leukemia dan thalassaemia. Jumlah keupayaan pengikatan besi (total iron binding capacity) pula adalah lebih tinggi bagi pesakit Iron Deficiency Anemia.

Paras ferritin yang rendah menandakan kemungkinan Iron Deficiency Anaemia (IDA) dan anemia yang disebabkan jangkitan kronik, manakala jumlah yang melebihi paras normal menunjukkan elemen besi yang berlebihan, thalassaemia, atau pesakit berkemungkinan sedang menjalani terapi menggunakan elemen besi (iron) tambahan.

Paras folate yang rendah menandakan macrocytic anaemia manakala kandungan vitamin B12 yang rendah menunjukkan tanda pernicious anaemia.

Perkhidmatan yang disediakan

Semua hospital menawarkan ujian Full Blood Count 24 jam sehari kerana ujian ini merupakan ujian rutin hematologi manakala ujian ferritin, folate dan vitamin B12 hanya ditawarkan dalam waktu pejabat di beberapa buah hospital negeri sahaja.

Video

  1. https://www.youtube.com/watch?v=VkN_JVQ68Ms
  2. https://www.youtube.com/watch?v=IfmJeWW4OyQ
  3. https://www.youtube.com/watch?v=pGTu2aDbLpg

Rujukan

  1. page 9.2 of Chapter 9; Analyzing samples and page 15.2 and 15.4 of Chapter 15; Technical Information XN-1000 Instruction for use guidelines; Sysmex Corporation, Kobe Japan, version Feb 2011
  2. Clinical Chemistry Reagent Guide for Iron and UIBC of AU series of Olympus
  3. COBAS Ferritin, Folate, VitB12, Reagent insert and Cobas 6000 User Operation Manual
  4. Dacie and Lewis 2012 ‘Practical Haematology Eleventh Edition Book’
  5. Anemia. Understanding Anemia- The Basics, WebMD, http://www.webmd.com/a-to-z-guides/understanding-anemia-basics/. Accessed Sep 12, 2015
  6. Diseases and Conditions Anemia, Mayo Clinic http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/anemia/basics/definition/con-20026209/. Accessed Sep 13, 2015.
  7. Anemia, MedicineNet http://www.medicinenet.com/anemia/article.htm/. Accesed Sep 13, 2015
Semakan Akhir : 02 Januari 2017
Penulis/Penterjemah : Faraziela bt. Abu Bakar
Akreditor : Robiah bt. Ahmad

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,226,405

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia