A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Adakah Anda Hamil?

Pengenalan

Setiap wanita yang berkahwin menginginkan kehamilan. Kehamilan merupakan suatu proses pembentukan janin di dalam rahim seorang wanita dan berakhir dengan kelahiran bayi. Bagi penentuan kehamilan, biasanya ujian makmal klinikal dilakukan, di mana ujian tersebut akan memberikan maklumat yang berguna dari proses awal kehamilan sehingga bayi dilahirkan.

Semua ujian kehamilan dilakukan untuk dengan mengukur paras suatu hormon yang dikenali sebagai hormon human chorionic gonadotropin (hCG). Hormon hCG merupakan hormon yang terhasil semasa kehamilan. Hormon ini dihasilkan oleh plasenta sebaik sahaja implantasi berlaku, iaitu kira-kira seminggu selepas proses persenyawaan dan ovulasi berlaku. Paras hormon hCG akan terus meningkat selepas implantasi berlaku sehingga kira-kira sepuluh hingga 12 minggu kehamilan, di mana pada waktu ini, paras hormon hCG akan stabil atau menurun.

Ujian kehamilan akan mengesan jumlah kepekatan kandungan hormon hCG dalam darah atau urin. Ujian ini menjadi positif apabila terdapat hormon hCG yang mencukupi di dalam darah atau urin. Ujian darah hCG adalah lebih sensitif berbanding ujian urin hCG. Oleh sebab itu, ujian darah hCG boleh mengesan kehamilan beberapa hari sebelum ujian kehamilan urin. Terdapat dua jenis ujian penentuan paras hormon hCG yang biasa dilakukan iaitu kualitatif hCG yang mengukur kehadiran hormon hCG, contohnya ujian kehamilan urin dan ujian kuantitatif hCG (beta HCG) yang mengukur paras hormon hCG yang terdapat di dalam darah. Salah satu ujian yang biasa dijalankan di dalam makmal untuk mengesan kehamilan adalah ujian kehamilan urin (UPT) (Lihat Rajah 4).

Keperluan Sampel

Pada kebiasaannya , apa yang dilakukan di makmal, untuk menjalankan ujian kehamilan , sampel perlulah dipungut . Cara pungutan adalah seperti berikut:

pregnant1

Rajah 1: Bekas untuk pungutan urin

Ujian Kehamilan Urin

  1. Jenis sampel : Urin
  2. Jenis bekas: Botol urin sterile

pregnant2

Rajah 2: Pengambilan darah untuk ujian kehamilan darah

Ujian kehamilan darah :

  1. Jenis sampel: Darah
  2. Jenis bekas: Tiub plain

Prosedur

Ujian urin boleh dilakukan dalam dua cara yang berbeza dan ujian ini boleh dilakukan di rumah atau di klinik. Pada kebiasaannya di klinik (biasanya di makmal), pesakit diminta untuk mengumpul urin ke dalam bekas (seperti rajah di atas) , kemudian anggota makmal akan menjalankan ujian ke atas urin tersebut. Urin akan dicelup dengan strip, atau urin akan dititis ke atas well pada alat ujian kehamilan bergantung kepada jenis alat yang digunakan oleh makmal tersebut.

Keputusan ujian boleh diketahui dengan melihat perubahan warna pada garisan atau simbol (seperti simbol ‘+’ atau ‘-‘) yang terhasil. Pada masa kini, ujian kehamilan digital telah diperkenalkan . Contohnya alat Clearblue Easy lebih mudah digunakan dan keputusan yang ditunjukkan lebih mudah difahami oleh pengguna . Alat pengesan kehamilan tersebut dapat menunjukkan keputusan pregnant dan not pregnant secara terus oleh pengguna. (Lihat Rajah 3)

Bagi ujian darah, ia dilakukan dengan mengambil darah di makmal atau klinik oleh doctor atau paramedic. Darah tersebut akan dihantar ke makmal perubatan untuk dianalisa dengan menggunakan analyser (Lihat Rajah 5 dan 6). Keputusan ujian darah dapat diketahui selepas beberapa jam atau lebih dari satu hari bergantung kepada polisi makmal tersebut. Pada kebiasaannya doktor sendiri yang akan memberitahu keputusan tersebut kepada pesakit .

Sensitiviti (nilai cut off)

Jika paras hormon hCG kurang daripada 5 mIU/mL, menunjukkan kehamilan negatif, manakala keputusan ujian melebihi 25 mIU/mL menunjukkan kehamilan positif. Memandangkan ujian ini boleh mengesan keputusan hCG serendah 25 mIU / mL di dalam spesimen air kencing, ujian boleh dilakukan seawal tujuh hingga sepuluh hari selepas persenyawaan. Manakala bagi ujian darah, kehamilan positif jika kepekatan hCG darah melebihi 10 IU / L.

Interferens/Gangguan

Ujian kehamilan ini juga mempunyai banyak faktor yang boleh mengganggu keputusannya. Gangguan ini boleh menyebabkan keputusan false positive. False positive bermaksud anda tidak hamil tetapi ujian menyatakan anda hamil. Antara sebab gangguan adalah kehadiran serum antibodi manusia anti-tetikus (HAMA) dan penyakit yang berkaitan dengan perkumuhan hCG ke dalam air kencing (contohnya, kolon atau kanser pangkal rahim). Keputusan urin hCG false positive juga telah dilaporkan di kalangan pesakit yang menghidap nefrotik proteinuria dan tubo-ovari bernanah. Antara sebab lain yang menyumbang kepada keputusan analisa ujian urin false positive dan false negative termasuklah kesilapan pengendali, teknikal ketika mengendalikan ujian dan interpretasi keputusan ujian.

Limitasi

Setiap ujian mempunyai limitasi . Bagi ujian kehamilan urin, limitasinya adalah seperti berikut di bawah:

  1. Ujian urin hanya mampu memberikan keputusan ujian kualitatif .
  2. Keputusan false negative akan terhasil apabila paras hormon hCG bawah pada paras sensitiviti ujian tersebut.
  3. Merupakan saringan awal dalam penentuan kehamilan. Pemeriksaan lanjut bagi pengesahan kehamilan perlu dibuat dengan merujuk kepada doktor.

Reliabiliti Ujian

Ujian kehamilan urin atau ujian kehamilan di rumah adalah sekitar 97% tepat apabila dilakukan dengan betul. Walau bagaimanapun, jika dilakukan dengan cara yang tidak betul atau diambil terlalu awal, keputusannya boleh menjadi tidak tepat. Jika anda mendapat keputusan negatif dan masih mempunyai gejala kehamilan (haid, loya, regangan payudara dan keletihan), ujian boleh dibuat sekali lagi selepas seminggu atau hubungi doktor untuk membuat ujian darah. Ujian darah adalah lebih tepat daripada ujian urin.

Kesimpulan

Penentuan kehamilan seseorang wanita dengan melakukan ujian kehamilan urin dan darah, di mana diagnosis keadaan abnormal ini dengan mengesan peningkatan paras hormon hCG adalah perlu bagi memantau perkembangan kehamilan selama dua bulan pertama (untuk ujian kuantitatif sahaja). Paras hCG meningkat dengan cepat semasa trimester pertama kehamilan dan kemudian akan sedikit merosot.

Dalam diagnosis pada awal kehamilan, hormon hCG boleh dikesan di dalam darah ibu tujuh hingga sembilan hari selepas persenyawaan manakala di dalam urin, hormon tersebut dapat dikesan satu hingga dua hari berikutnya, dengan kepekatan dua kali ganda setiap 48 jam. Paras maksimum hormon hCG akan dicapai pada kira-kira sepuluh minggu kehamilan dan akan semakin berkurangan (walaupun ia masih boleh dikesan dalam urin sepanjang kehamilan). Ujian kualitatif urin hCG digunakan secara rutin untuk mendiagnosis kehamilan dan ujian ini dipercayai dapat mengesan kehamilan selepas sepuluh hari tidak datang haid.

Ujian kehamilan urin ini perlu diikuti dengan penganalisaan ujian darah di makmal yang mana ujian darah ini akan membantu dalam mengesan sebarang masalah kehamilan, contohnya jika terdapat masalah pendarahan faraj, sakit perut dan kantung kandungan tidak kelihatan pada ultrasound. Antara masalah yang sering berlaku apabila terdapat keabnormalan pada paras hCG ialah keguguran dan masalah kandungan luar rahim (ectopic). Saringan trimester pertama merupakan kombinasi proses analisa menggunakan ultrasound dan ujian darah ibu. Ujian saringan ini dapat membantu dalam mengesan risiko janin mengalami masalah kecacatan kelahiran tertentu.

Gambar-gambar alat untuk ujian kehamilan dalam urin dan darah

pregnant3

Rajah 3:Ujian Kehamilan Urin Clearblue (digital-boleh dilakukan sendiri di rumah)

pregnant4

Rajah 4: One-step Pregnancy Test Kit Cassette ( Kit ujian yang biasa digunakan di makmal)

pregnant5

Rajah 5: Contoh Sampel Darah (Serum)

pregnant6

Rajah 6: Contoh Analyser di makmal

Penganalisaan ujian darah kehamilan di makmal perubatan (gambar ihsan dari makmal patologi kimia HRPZ II, Kota Bharu)

Rujukan

  1. STM/SR/023 (2015). Urine Pregnancy Test (Rapid). Pathology Department Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.
  2. Package Insert: hCG One Step Pregnancy Test Kit (Cassette Format)
  3. http://www.clearblueeasy.com/clearblue-easy-digital-pregnancy-test.php
  4. http://www.babymed.com/hcg-level-in-early-pregnancy
  5. americanpregnancy.org/getting-pregnant/understanding-pregnancy-tests/
  6. www.nlm.nih.govmedlineplus/ency/article/003232.htm
  7. www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/pmc3289784/
  8. http://www.acb.org.uk/docs/default-source/amalc/hcg.pdf
Semakan Akhir : 22 Mei 2016
Penulis/Penterjemah : Nur Hazlinda bt. Khalidi
Akreditor : Rofidah bt. Abu Bakar

Artikel Berkaitan

Karbohidrat

Pengenalan Karbohidrat merupakan komponen utama dalam sistem fisiologi. Sebatian organik

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,340

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia