A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Red Yeast Rice

  

Pengenalan

Rakyat Malaysia semakin prihatin terhadap penjagaan kesihatan dan pemakanan. Amalan pengambilan produk traditional dan suplemen kesihatan menjadi antara pilihan alternatif untuk meningkatkan taraf kesihatan disamping aktiviti fizikal dan penjagaan kesihatan lain.

Dengan adanya permintaan tersebut menyebabkan lambakan produk tradisional dan suplemen kesihatan dalam pasaran Malaysia dan dijual secara berleluasa secara terus di kedai-kedai makanan kesihatan dan kedai produk tradisional. Penghasilan produk sebegini adalah berdasar kepada maklumat penggunaan secara warisan turun temurun.

Diantara produk tadisional yang menjadi pilihan adalah Red Yeast Rice (RYR) atau beras yis merah yang telah digunakan di China dan negara-negara Asia selama berabad-abad sebagai ubat tradisional untuk menurunkan tahap kolesterol, mengawal aliran darah dan merawat cirit birit. RYR juga boleh digunakan sebagai bahan pewarna, aditif dan pengawet makanan.

Walaubagaimanapun pengguna perlu berhati-hati apabila mengambil produk RYR kerana ianya mengandungi sejenis bahan kimia yang terhasil secara semulajadi dan ianya seakan sama dengan bahan farmaseutikal iaitu lovastatin.

Kandungan Bahan Aktif

RYR adalah bahan yang diekstrak atau dihasilkan melalui proses penapaian beras dengan menggunakan sejenis yis yang dikenali sebagai Monascus purpureus. Bahan-bahan yang dihasilkan secara semulajadi semasa proses penapaian ini adalah terdiri daripada bahan-bahan monacolin dan yang paling utama adalah monacolin K, sterols, isoflavones dan monounsaturated fatty acid atau “lemak sihat”.

Satu kajian telah menunjukkan bahawa struktur monacolin K adalah sama dengan struktur statin iaitu lovastatin. Bahan ini berperanan sebagai agen perencat penghasilan kolesterol untuk mengawal tahap kolesterol dalam darah.


(a) Struktur bahan farmaseutikal lovastatin

(b) Struktur Monacolin K dari RYR

Kawalan Regulatori

Di Malaysia produk RYR perlu didaftarkan sebagai produk tradisional. Pihak pengeluar diminta untuk menyatakan kekerapan dos dan berat kandungan monacolin K atau lovastatin setiap dos pada label produk RYR. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia telah menetapkan bahawa kandungan monacolin K atau lovastatin dalam produk RYR hendaklah kurang dari dos terapeutik lovastatin iaitu 20-40mg sehari. Pihak pengeluar produk RYR perlu mematuhi keperluan regulatori berikut sebelum produk ini didaftarkan dan dipasarkan di Malaysia:-

  • Dos produk semulajadi yang diambil mengandungi Red Yeast Rice (Monascus purpureus) harus kurang 10mg sehari.
  • Produk siap mengandungi lovastatin kurang dari 1%w/w. Memandangkan kandungan monacolin K atau lovastatin adalah berbeza-beza dalam produk-produk RYR disebabkan oleh perbezaan dari segi cara penapaian proses dan jenis yis yang digunakan, maka dengan itu adalah menjadi tanggungjawab pihak pengeluar untuk memastikan kandungan sebenar monacolin K atau lovastatin di dalam produk-produk tersebut terutamanya melalui pengujian makmal.

Kesan Sampingan

RYR mempunyai beberapa kesan sampingan yang ringan seperti angin, pening, pedih ulu hati. Disamping itu, ia juga mempunyai kesan sampingan yang sama dengan ubat preskripsi lovastatin termasuk meningkatkan penghasilan enzim hati dan otot serta boleh mengakibatkan masalah berkaitan penyakit hati yang lain.

Interaksi dengan ubat-ubatan/penyakit

Perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian sekiranya anda ingin menggunakan produk RYR:

  1. Jangan mengambil produk ini sekiranya mempunyai penyakit:
    • buah pinggang
    • penyakit berkaitan hati
    • mengandung
    • menyusukan anak
  2. Elakkan memakan produk ini sekiranya sedang menggunakan:
    • Ubat preskripsi statin untuk mengawal kolesterol
    • Ubat mengawal kolestrol yang lain
    • Ubat untuk mengurangkan system imun badan
    • Ubat antikulat
    • Antibiotic – erythromycin
    • Ubat anti kemurungan
  3. Pengguna yang mempunya masalah alergik terhadap kulat dan yis perlu berhati-hati terhadap produk ini

Kesimpulan

Terdapat produk-produk tradisional RYR tidak menyatakan dengan jelas kandungan sebenar monacolin K atau lovastatin. Ini boleh membahayakan kesihatan bagi sesetengah pengguna kerana kandungan monacolin K atau lovastatin dalam produk-produk tersebut tidak diketahui dan pengguna perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil produk-produk RYR.

Semakan Akhir : 05 Februari 2014
Penulis : Nor Hayati bt. Abdul Rahim
Akreditor : Dr. Noraida bt. Mohamad Zainoor

 

Artikel Berkaitan

Phentermine

Apakah itu Duromine? Duromine merupakan sejenis produk yang mengandungi bahan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,210,351

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia