A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Merancang Menu Sihat Berpandukan...

Merancang Menu Sihat Berpandukan Piramid Malaysia

Download:

Menu sihat adalah menu yang mengandungi pelbagai jenis makanan, dapat membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh badan serta tidak mengandungi lemak, minyak, kolesterol, garam dan gula yang berlebihan. Ketika merancang menu sihat, Piramid Makanan Malaysia .boleh dijadikan panduan, terutama dalam menentukan jenis dan kuantiti makanan yang sepatutnya dihidangkan.

Ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Sediakan menu yang mengandungi pelbagai jenis makanan. Pastikan makanan daripada kesemua kumpulan makanan yang terdapat di dalam Piramid Makanan Malaysia dimasukkan ke dalam menu harian. Makanan ini juga hendaklah dihidang mengikut kuantiti atau jumlah sajian harian yang dicadangkan. Kumpulan makanan yang terdapat di dalam Piramid Makanan Malaysia adalah seperti berikut:Kumpulan 1
    Nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin serta ubi-ubian

    Kumpulan 2
    Buah-buahan dan sayur-sayuran

    Kumpulan 3
    Ikan, ayam, daging, telur dan kekacang

    Kumpulan 4
    Susu dan produk tenusu

    Kumpulan 5
    Lemak, minyak, gula dan garam

    Pengambilan pelbagai jenis makanan daripada kumpulan-kumpulan makanan yang telah dinyatakan dapat memenuhi keperluan nutrien harian anda.

  2. Rancang menu harian yang mengandungi makanan daripada kumpulan nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian sebagai sumber tenaga utama.
    Makanan daripada kumpulan ini perlu diambil sebanyak 4 hingga 8 sajian sehari. Satu sajian makanan daripada kumpulan ini bersamaan dengan:
  • 2 senduk atau 1 cawan nasi putih atau
  • 2 cawan bubur nasi atau
  • 1 ½ cawan bihun atau laksa yang direndam atau
  • 1 cawan mi basah atau kuey tiow atau
  • 2 keping roti putih atau roti mil penuh atau
  • 6 keping biskut krim kraker atau
  • 2 biji kentang (sederhana) atau
  • 1 cawan keledek, keladi atau ubi kayu atau
  • 2 keping putu mayam
  • Rancang menu harian yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran. Buah-buahan perlu diambil sebanyak 2 sajian sehari dan sayur-sayuran sebanyak 3 sajian sehari. Satu sajian buah-buahan terdiri daripada:
    • 1 biji pisang berangan saiz sederhana atau 2 biji pisang emas atau
    • 1 potong betik, nenas atau tembikai atau
    • 1 biji oren saiz kecil atau sederhana atau
    • 1 biji epal, lai, mangga atau ciku saiz sederhana atau
    • ½ biji jambu batu atau pir atau
    • 8 biji anggur atau
    • 3 ulas durian atau
    • 4 biji prun saiz kecil atau
    • 1 sudu makan kismis atau

Sementara itu, satu sajian sayur-sayuran terdiri daripada:

    • ½ cawan sayuran berdaun hijau tua yang dimasak atau
    • ½ cawan sayuran berbuah yang dimasak atau
    • 1 cawan ulam

 

  • Rancang menu harian yang mengandungi makanan daripada kumpulan ikan, ayam, daging, telur dan kekacang. Dalam sehari, sebanyak ½ hingga 2 sajian ayam, daging atau telur diperlukan. Sementara bagi ikan, 1 sajian diperlukan dan bagi kekacang, sebanyak ½ hingga 1 sajian diperlukan.Satu sajian ayam, daging atau telur bersamaan dengan:
    • 1 ketul paha ayam atau
    • 2 ketul daging lembu tanpa lemak atau
    • 2 biji telur ayam atau
    • 12 biji telur puyuh atau
    • 1 cawan isi kerang (dimasak) atau
    • 2 ketul hati ayam

    Satu sajian ikan pula bersamaan dengan:

    • 1 ekor ikan kembung atau ikan selar saiz sederhana atau
    • 1 ketul ikan tenggiri atau
    • 2 ekor sotong (saiz sederhana) atau
    • 2/3 cawan ikan bilis (tanpa kepala)

    Sementara satu sajian kekacang pula bersamaan dengan:

    • 1 cawan kacang kuda atau dhal yang dimasak atau
    • 1 ½ cawan kacang hijau yang dimasak atau kacang panggang dalam tin atau
    • 2 keping tempe, taukua atau tauhu atau
    • 1 ½ gelas susu soya tanpa gula

 

  • Rancang menu harian yang mengandungi susu dan produk tenusu. Susu dan produk tenusu perlu diambil sebanyak 1 hingga 3 sajian sehari.Satu sajian susu dan produk tenusu bersamaan dengan:
    • 1 gelas susu rendah lemak atau
    • 2/3 cawan susu sejat atau
    • 4 sudu makan (membumbung) susu tepung atau
    • 1 cawan yogurt atau
    • 1 keping keju atau

    Dan akhir sekali – Kumpulan 5 terdiri daripada lemak, minyak, gula dan garam. Ingat! Ambil makanan daripada kumpulan ini secara minima sahaja.

    Tidak ada satu makanan yang dapat membekalkan kesemua zat makanan. Oleh itu, anda harus menikmati pelbagai jenis makanan berdasarkan pengambilan harian yang disarankan. Makan Secara Sihat, Resepi Kehidupan Sihat.

M
Masalah Tingkah Laku Remaja

Memberus Gigi

Memfloss Gigi

Menangani Kemarahan

Mengelak Kecederaan Di Rumah

Menghargai Anak

Menyelamatkan Gigi Kekal Yang Tercabut

Menyimpan Makanan Siap di Masak Secara Selamat

Merancang Menu Sihat Berpandukan Piramid Malaysia

Merokok

Media Sosial: Gara – Gara Media Sosial

 

Artikel Berkaitan

Mac 2011

Mac 2011 Isnin – Jumaat, 7 – 18 Mac 2011

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,104,470

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia