A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Farmasi

Soalan 1               

Apakah kesan pengambilan ubat diet duromine ?

 

Jawapan 1

Pil Duromine mengandungi bahan aktif yang dinamakan Phentermine. Ia digunakan  untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti (kegemukan terlampau). Ia hanya disyorkan oleh doktor sebagai pilihan terakhir kepada pesakit sekiranya  usaha berdiet dan senaman gagal menunjukkan hasil dalam penurunan berat badan. Duromine hanya digunakan dalam dos yang tertentu kerana ia boleh menyebabkan ketagihan kepada pesakit.

Duromine atau phentermine bertindak pada saraf di otak yang mengawal selera makan. Oleh itu , pesakit tidak akan berasa lapar. Di dalam pelan pengurangan berat badan,duromine hanya digunakan sebagai terapi tambahan selain daripada pengawalan diet serta program senaman. Pesakit juga perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mengambil pil ini

Kesan sampingan yang dialami oleh individu yang mengambil pil ini adalah  tekanan emosi, denyutan jantung yang semakin cepat , kesukaran untuk tidur,  bibir kering, masalah jantung, muntah, pening kepala, mengantuk dan beberapa kesan buruk lain.

Jika pesakit mengalami penurunan berat badan yang mendadak, kesukaran untuk bernafas, sakit dada dan terasa hendak pitam, sila beritahu doktor yang merawat anda dengan segera.

Perlu diingatkan bahawa pesakit jantung, penghidap sawan, wanita hamil, pesakit jiwa dan penagih dadah atau alkohol adalah  dilarang sama sekali untuk menggunakannya.

Soalan 2

Saya ada membeli pil pelangsing badan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun saya masih berasa was-was untuk mengambil ubat itu. Pil itu berfungsi untuk menguruskan badan, melegakan senggugut dan memudahkan pembuangan air besar.  Bagaimana saya dapat memastikan bahawa produk itu adalah benar-benar berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?

Jawapan 2

Semua produk yang hendak dipasarkan di Malaysia perlu berdaftar dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). Agensi ini akan memastikan semua produk farmaseutikal  adalah berkesan , berkualiti dan selamat digunakan.

Bagi produk-produk dalam kategori tradisional ataupun kosmetik, pihak BPFK hanya menilai produk –produk dari segi kualiti dan keselamatan produk sahaja. Ini bermaksud, pihak BPFK akan  menjalankan ujian analisa terhadap produk tersebut serta  memastikan produk yang dikilangkan mematuhi Amalan Pengilangan Baik yang telah ditetapkan oleh BPFK. Dari segi keberkesanan produk kategori ini , ia tidak dapat dinilai kerana masih tiada kajian klinikal yang banyak bagi membuktikan keberkesanan tersebut. Kegunaan produk yang dicadangkan hanya berdasarkan kegunaan secara tradisional atau digunakan secara turun temurun yang telah direkodkan.

Nombor Pendaftaran yang diberikan oleh BPFK adalah bermula dengan MAL, diikuti oleh 8 digit serta mempunyai kod kategori produk ( Contoh kod : A,X,T, XC dll) pada penghujung nombor. Contoh nombor  pendaftaran produk adalah MAL08054724T dimana T merujuk kepada produk tradisional. Pihak tuan boleh melayari laman web www.bpfk.gov.my  untuk mengenal pasti sama ada produk tersebut berdaftar atau tidak.

Jika produk tersebut tidak berdaftar, aduan boleh dikemukakan kepada mana-mana bahagian penguat kuasa farmasi yang berdekatan.

Semakan Akhir : 19 Ogos 2010

Artikel Berkaitan

W

  Tiada Video

Dasar Privasi

1.Polisi Sulit Terima kasih kerana membaca penyataan polisi sulit kami.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,342,638

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia