A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Penyusuan Susu Ibu Boleh...

Penyusuan Susu Ibu Boleh Dilakukan Walaupun Anda Kembali Bekerja

Download:

Anda disarankan untuk menyusukan bayi dengan susu ibu sepenuhnya sehingga bayi berumur enam bulan. Penyusuan ibu digalakkan untuk diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun kerana susu ibu memberi banyak kebaikan kepada bayi dan ibu sendiri.

Faedah susu ibu kepada bayi termasuk melindungi bayi daripada jangkitan penyakit, membantu perkembangan daya intelek yang lebih baik dan mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kronik apabila dewasa. Manakala faedah penyusuan susu ibu kepada ibu adalah termasuk membantu mengecutkan rahim dan mengurangkan risiko barah payudara dan ovari. Susu ibu juga mengeratkan kasih sayang ibu dan anak.

Penyusuan ibu boleh diteruskan walaupun ibu telah kembali bekerja. Tapi apa yang perlu dilakukan?

Yang pertama, ibu perlu membuat perancangan dan persediaan yang awal. Ibu perlu mempelajari cara pemerahan susu ibu, kaedah penyimpanan susu ibu dan kaedah mencairkan susu perahan yang telah dibekukan.

Yang kedua, ibu perlu mulakan latihan pemerahan susu dan memberi bayi susu ibu yang diperah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mula bekerja. Ibu boleh merujuk kepada Jadual Latihan Pemberian Susu Ibu Perahan kepada bayi seperti yang dipaparkan, sebelum kembali bekerja.

Bagaimana memerah susu ibu? Kaedah pemerahan susu dengan menggunakan tangan adalah cara yang paling mudah dan bersih. Ia tidak menggunakan sebarang peralatan dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Caranya, sebelum melakukan pemerahan susu dengan tangan, pastikan tangan ibu dibersihkan dengan menggunakan sabun dan air bersih. Kemudian lakukan perkara-perkara berikut:

  • Pastikan ibu duduk atau berdiri dengan selesa dan pegang bekas dekat dengan payudara ibu.
  • Tenangkan fikiran dan bayangkan wajah bayi untuk merangsangkan pengaliran susu.
  • Lakukan urutan perlahan-lahan pada payudara ke arah puting atau tuam panas selama beberapa minit sebelum melakukan perahan untuk membantu pengaliran susu.
  • Ibu perlu merasa payudara di kawasan hujung areola (tampuk hitam) sehingga menjumpai kawasan payudara yang mempunyai rasa yang berbeza. Ibu akan merasai seperti berbiji-biji. Ini adalah kawasan di mana terletaknya saluran susu.
  • Letakkan ibu jari pada kawasan berbiji-biji tersebut dan jari telunjuk diletakkan bertentangan ibu jari atau sebaliknya. Ibu boleh mengampu payudara dengan jari yang lain atau menggunakan tangan yang sebelah lagi.
  • Tekan payudara ke belakang, ke arah dada dan kemudian dengan perlahan-lahan tekan ibu jari dan jari telunjuk serentak. Ini akan membantu pengeluaran susu.
  • Tekan dan lepaskan, tekan dan lepaskan berulang kali sehingga susu menitis keluar.
  • Perah setiap payudara. Beralih ke payudara yang sebelah lagi sekiranya pengaliran susu telah berhenti.
  • Ibu boleh berhenti seketika dan mengurut payudara untuk merangsang aliran susu dan menyambung perahan semula.

Bagaimana menyimpan susu ibu?

Setelah susu dikumpulkan ke dalam bekas, labelkan bekas susu dengan nama bayi dan tarikh, sebelum menyimpan ke dalam peti sejuk. Susu yang telah diperah boleh disimpan pada suhu bilik (25-37 oC) selama 4 jam, ruangan dingin (2-4oC) sehingga 8 hari, ruangan sejuk beku (peti sejuk 1 pintu) selama 2 minggu dan ruangan sejuk beku (peti sejuk 2 pintu) selama 3 bulan.

Adalah digalakkan untuk ibu mengumpul susu yang telah diperah di dalam peti sejuk untuk bekalan beberapa hari, supaya bekalan susu adalah mencukupi untuk bayi bila ibu mula bekerja.

Apa yang perlu diamalkan setelah kembali bekerja?

Setiap hari sebelum ke tempat kerja, susukan bayi dahulu.

Di tempat kerja, pemerahan susu ibu boleh dilakukan dengan menggunakan tangan ataupun pam susu. Pastikan tangan ibu bersih dan pam susu tersebut disterilkan sebelum dan selepas ianya digunakan. Susu yang diperah boleh disimpan di dalam peti sejuk ataupun menggunakan beg penyejuk yang mengandungi bahan penyejuk. Pastikan ianya dilabel supaya anda tahu bila susu itu akan luput.

Sebelum ibu meninggalkan pejabat, pindahkan bekas menyimpan susu perahan ke dalam beg penyejuk yang mengandungi pek ais. Apabila anda tiba di rumah, pindahkan bekas susu tersebut ke dalam peti sejuk rumah anda.

Apabila susu perahan diperlukan, keluarkan bekas susu dari peti sejuk supaya ianya boleh dicair atau dipanas. Panaskan susu dengan merendam bekas yang mengandungi susu dalam air suam sehingga mencapai suhu yang bersesuaian. Suhu susu boleh diuji dengan menitiskannya sedikit di bahagian pergelangan tangan.

Bagi susu yang telah dibekukan, ia perlu dibiarkan cair dengan meletakkannya di ruangan dingin peti sejuk semalaman atau dengan meletakkan bekas susu perahan tersebut di bawah laluan air paip. Jangan gunakan air yang panas kerana suhu yang tinggi akan memusnahkan enzim dan protein susu. Susu perahan yang telah dicairkan mesti digunakan dalam tempoh 24 jam dan tidak boleh dibekukan semula. Pastikan ibu tidak memasak atau menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk memanas atau mencairkan susu.

Ketahui cara memberi susu perahan kepada bayi anda. Ikuti panduan berikut:

  • Sewaktu menyusu bayi, dudukkan bayi di atas paha dalam posisi setengah duduk, kemudian letakkan cawan kecil yang berisi susu pada bibir bawah bayi dan condongkannya supaya susu sampai ke bibir bayi.
  • Jangan tuangkan susu terus ke dalam mulut bayi. Pegang cawan dan biarkan ia menghirup sendiri. Pada permulaannya susu akan tumpah sedikit. Ini adalah biasa. Apabila kenyang bayi akan berhenti sendiri.

Tips untuk ibu :

  1. Perahlah susu ibu dengan lebih kerap, lebih kurang 2 jam sekali atau apabila payudara terasa penuh.
  2. Sebenarnya ibu boleh memerah susu di mana-mana sahaja di tempat kerja asalkan ibu berasa selesa.
  3. Ambil makanan yang seimbang dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan ibu yang menyusu.

PERAH SUSU DI TEMPAT KERJA, WALAUPUN SIBUK – IA

P
Pemantauan Paras Glukos (Gula) Dalam Darah

Pemeriksaan Mulut Sendiri

Pencegahan Sakit Jantung

Penjagaan Gigi Palsu

Penjagaan Kaki

Penjagaan Pesakit Terlantar di Katil (Bed Ridden)

Penyediaan Makanan Secara Selamat

Pengendalian Ubat-ubatan Yang Tidak Diperlukan

Penyimpanan Bahan Mentah

Pre-Menstrual Tension

Puberphonia Before Treatment

Puberphonia After Treatment

6 Panduan Penjagaan Pesakit Stroke di Rumah

 

Artikel Berkaitan

Sawan

PENGENALAN  Epilepsi, kadangkala dirujuk juga sebagai sawan, ditakrifkan sebagai gejala

O

Osteoarthritis Osteoporosis

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,266,623

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia