A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Hepatitis B

Hepatitis B

Soalan 1

Adakah Penyakit hepatitis  B berbahaya dan boleh membawa kematian?

Jawapan 1

Ya. Sebahagian mereka yang dijangkiti hepatitis B akan mengidap jangkitan kronik yang boleh membawa kepada komplikasi seperti kegagalan fungsi hati, sirosis hati dan kanser hati yang boleh menjadi punca kematian.

Soalan 2

Apa beza pembawa virus hepatitis B dengan Penghidap hepatitis?

Jawapan 2

Pembawa virus hepatitis B tidak ada gejala jangkitan (hepatitis) dan sihat tetapi mempunyai  virus hepatitis B yang dikesan melalui ujian darah. Penghidap hepatitis pula ada gejala jangkitan hepatitis.

Soalan 3

Apakah risiko sekiranya seseorang yang tidak mempunyai hepatitis B berkahwin dengan seseorang yang mempunyai virus ini?

Jawapan 3

Ada risiko untuk dijangkiti virus hepatitis B sekiranya melakukan hubungan seks tanpa memakai kondom dan tidak mengambil pelalian untuk mencegah jangkitan virus hepatitis B kerana virus ini boleh merebak melalui air mani, cecair faraj dan darah.

Soalan 4

Bolehkah penyakit hepatitis berjangkit melalui sudu, cawan dan pinggan termasuk penggunaan tandas?

Jawapan 4

Virus hepatitis A boleh merebak melalui mulut oleh bahan yang tercemar dengan najis yang dijangkiti oleh virus hepatitis A, ini termasuklah makanan, minuman, pinggan mangkuk dan permukaan tandas yang tercemar.

Manakala, Virus Hepatitis B & C tidak merebak melalui mulut sebab virus hepatitis B & C  merebak melalui cecair tubuh seperti air mani, cecair faraj dan darah.

Soalan 5

Jika seorang pesakit telah disahkan menghidap hepatitis B, perlukah pihak hospital melaporkan kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah?

Jawapan 5

Ya, perlu. Mengikut Akta Penyakit Berjangkit, Pegawai Perubatan yang merawat  bertanggungjawab untuk melapor notifikasi pesakit tersebut kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah.

Soalan 6

Bilakah ujian darah yang diderma untuk mengesan hepatitis B bermula di Malaysia?

Jawapan 6

Ia bermula pada tahun 1972 di The National Blood Transfusion Services Centre Malaysia yang bertujuan memastikan keselamatan darah yang diderma.

Soalan 7

Di manakah tempat pendaftaran ujian saringan @ pemeriksaan hepatitis B?

Jawapan 7

Ujian saringan boleh didaftar dan dibuat di Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Soalan 8

Apakah makanan tambahan (supplement) yang boleh dicadangkan untuk pesakit hepatitis?

Jawapan 8

Tidak ada supplement  khas untuk pesakit hepatitis. Pesakit dinasihatkan tidak mengambil alkohol, mengambil pil-pil dan ubat-ubat rawatan tanpa preskripsi atau merujuk doktor.

Soalan 9

Bolehkah  pesakit  hepatitis B & C mengambil ubatan daripada penjual produk kesihatan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?

Jawapan 9

Pesakit hepatitis tidak boleh mengambil ubatan daripada penjual produk kesihatan walaupun ia telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Soalan 10

Benarkah panadol (paracetamol) merupakan ubat yang perlu dielakkan oleh pesakit hepatitis B?

Jawapan 10

Benar, paracetamol dinyahtoksinkan dalam hati.  Bagi pesakit hepatitis B, fungsi hatinya yang terjejas akan mengganggu proses nyahtoksin ubat  tersebut  dan ini akan meningkatkan kandungan paracetamol dalam darah yang boleh memudaratkan pesakit tersebut.

Soalan 11

Apakah jenis pemakanan yang sesuai untuk pesakit hepatitis B?

Jawapan 11

Pesakit hepatitis B yang fungsi hatinya masih bagus boleh mengambil pemakanan seimbang dan sihat seperti biasa.

Soalan 12

Adakah ubat untuk mencegah penyakit hepatitis A dan hepatitis B?

Jawapan 12

Ya, ada vaksin untuk mencegah jangkitan virus hepatitis A dan hepatitis B.

Soalan 13

Adakah penyakit hepatitis B diwarisi?

Jawapan 13

Hepatitis B bukan penyakit yang diwarisi. Walau bagaimanapun, ibu yang dijangkiti hepatitis B boleh menjangkiti anak dalam kandungan.

Soalan 14

Bolehkah pesakit hepatitis B menyusukan bayi?

Jawapan 14

Boleh tetapi dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor yang memberi rawatan semasa bersalin.

Soalan 15

Sekiranya ibubapa menghidap hepatitis B, perlukah anak-anak mereka yang lain membuat ujian saringan hepatitis B?

Jawapan 15

Ya, anak-anak pesakit hepatitis B perlu membuat ujian saringan hepatitis B.

Soalan 16

Bolehkah pesakit hepatitis B melakukan hubungan seks dengan suami/isteri mereka? Bagaimanakah cara sepatutnya untuk mengelakkan suami/isteri mereka dari turut dijangkiti hepatitis B?

Jawapan 16

Boleh, tetapi untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada pasangan, pastikan pasangan anda yang belum dijangkiti mendapat pelalian hepatitis B dan digalakkan menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks.

Semakan Akhir : 10 Julai 2014

 

Artikel Berkaitan

J

Jangkitan Saluran Air Kencing (Urinary Track Infection – UTI) Jerawat

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,235,641

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia