Home > Umum > Fisioterapi > Dewasa > Kepentingan Teknik-Teknik Pengendalian Kerusi Roda Pada Pesakit Kecederaan Saraf Tunjang

Kepentingan Teknik-Teknik Pengendalian Kerusi Roda Pada Pesakit Kecederaan Saraf Tunjang

Kecederaan Saraf Tunjang (SCI)

Kecederaan Saraf Tunjang berlaku apabila terdapat kecederaan pada saraf tunjang yang menyebabkan komunikasi antara otak dan badan terhalang. Akibat daripada kecederaan tersebut penghantaran mesej seperti sensasi (deria rasa), pergerakan dan refleksi pesakit akan mengalami gangguan kerana mesej dari bahagian otak tidak dapat disampaikan ke bahagian badan dibawah paras kecederaan tersebut. Secara umumnya, lebih tinggi kecederaan pada saraf tunjang tersebut, lebih banyak gangguan kefungsian pada seseorang. Kecederaan saraf tunjang boleh dirujuk sebagai “Complete” dan “Incomplete” iaitu berdasarkan pada pergerakan dan sensasi yang terdapat dibawah paras kecederaan tersebut. Setiap individu akan mempunyai tahap penyembuhan yang berlainan.

Sebab:

  1. Kecederaan traumatik seperti kemalangan, jatuh, tindakan keganasan, kecederaan akibat aktiviti sukan dan riadah.
  2. Kecederaan bukan traumatik seperti penyakit Kanser, Athritis, Multiple Scerosis, Osteoporosis dan radang pada Korda Spina.

Faktor-Faktor Risiko:

Kecederaan Saraf Tunjang melibatkan lelaki lebih daripada perempuan. Majoriti orang yang mengalami Kecederaan saraf Tunjang adalah golongan dewasa yang berumur antara 16 hingga 30 disebabkan oleh penglibatan dalam aktiviti yang berisiko.

Simptom:

Daya untuk mengawal pergerakan anggota atas dan bawah setelah mengalami kecederaan saraf tunjang adalah bergantung pada dua faktor:

  1. Lokasi kecederaan di saraf tunjang.
  2. Tahap Keterukan kecederaan pada saraf tunjang tersebut.

Bahagian terbawah pada saraf tunjang yang masih berfungsi dengan normal setelah mengalami kecederaan saraf tunjang dirujuk sebagai paras neurologi kecederaan. Tahap kecederaan tersebut dinamakan “The completeness” dan boleh diklasifikasi sebagai:

  • Kecederaan Penuh: Kecederaan secara penuh sekiranya pesakit langsung tidak dapat merasa (fungsi sensasi) dan kesemua daya untuk mengawal pergerakan (fungsi motor) adalah hilang dibawah paras kecederaan tersebut.
  • Kecederaan Separa Penuh: Kecederaan adalah Separa Penuh sekiranya pesakit masih mempunyai fungsi sensasi dan fungsi motor dibawah dari paras kecederaan termasuklah bahagian Sacral. Terdapat pelbagai tahap kecederaan separa penuh.

Tambahan juga, lumpuh akibat daripada kecederaan saraf tunjang turut dirujuk sebagai:

  1. Tetraplegia
  • Kecederaan pada paras tulang vertebra T1 dan keatas.
  • Kecederaan pada saraf tunjang di bahagian leher (bahagian Cervical) boleh mengakibatkan lumpuh secara penuh atau separa pada anggota atas, tangan badan dan organ-organ pelvik.
  • Kawalan pada pundi kencing dan usus besar adalah terganggu.
  • Fungsi pernafasan hanya akan terganggu jika kecederaan tersebut adalah pada paras yang tinggi iaitu pada bahagian “cervical”.

      2.  Paraplegia

  • Kecederaan pada paras dibawah tulang vertebra T1.
  • Kecederaan pada saraf tunjang di T1 dan kebawah boleh menyebabkan lumpuh secara penuh atau separa pada anggota bawah, kaki dan organ-organ pelvik.

Tanda-Tanda Dan Gejala:

Kecederan saraf tunjang atas apa juga penyebabnya boleh menyebabkan salah satu atau lebih tanda-tanda dan gejala seperti berikut:

  • Kehilangan pergerakkan
  • Kehilangan sensasi (deria rasa)
  • Kehilangan kawalan pada pundi kencing dan usus besar
  • Aktiviti reflek yang berlebihan
  • Perubahan dalam fungsi seksual, sensitiviti seksual & kesuburan.
  • Kesakitan dan sensasi sakit yang melampau
  • Kesusahan dalam pernafasan, batuk mahupun pengeluaran kahak.

Paras Kecederaan Saraf Tunjang

Anatomi:

Saraf Tunjang dibahagikan kepada 31 sekmen, setiap satu mempunyai sepasang akar saraf tunjang iaitu bahagian anterior (motor) dan dorsal (sensasi).

Saraf tunjang dikelilingi oleh tulang-tulang belakang (vertebra) yang berbentuk cincin untuk melindungi saraf tersebut. Tulang vertebra dan saraf spinal adalah disusun mengikut sekmen, bermula dari bahagian atas saraf tunjang. Pada setiap sekmen, tulang vertebra dan saraf tunjang adalah dikira seperti berikut:

  1. Cervical : Bahagian leher mempunyai 7 tulang veterbra cervical ( C1-C7) dan 8 saraf tunjang cervical
  2. Thorasik : Bahagian dada mempunyai 12 tulang vertebra thorasik ( T1 –T12) dan 12 saraf tunjang thorasik ( T1 – T12)
  3. Lumbar : Bahagian lumbar (antara bahagian dada hingga ke bahagian pelvik) mempunyai 5 tulang lumbar vertebra (L1- L5) dan 5 saraf lumbar (L1 –L5).
  4. Sacral : Bahagian sacral (dari bahagian pelvis hingga ke hujung saraf tunjang mempunyai 5 tulang sacral vertebra dan 5 saraf sacral (S1- S5).
     
Tulang vertebra dan saraf tunjang     
Tulang spinal vertebra  
saraf Tunjang

1. Jenis – Jenis Kersusi Roda

  1. Kerusi Roda manual
  2. Kerusi Roda Kawalan Kuasa

Jenis kerusi roda manual:

  1. Kerusi roda “ standard”
  2. Kerusi roda Light weight
  3. Kerusis roda Reclining
  4. Kerusi roda kanak-kanak
  5. Kerusi roda sukan

Jenis kerusi roda kawalan kuasa:                        

  1. Kawalan tangan
  2. Kawalan dagu
  3. Kawalan kepala
  4. Kawalan melalui pernafasan.
   
Kerusi roda Manual  Kerusi Roda kawalan kuasa 

2. Bagaimanakah Fisioterapi Dapat Membantu Dalam Teknik Pengendalian Kerusi Roda?

Memandangkan kebanyakkan pesakit kecederaan saraf tunjang menggunakan kerusi roda sebagai cara utama dalam pergerakkan lokomotif, maka mereka harus mengetahui dan dilengkapi dengan satu kerusi roda yang sesuai sebaik sahaja mereka telah mula menjalankan aktiviti di kerusi roda.

Berikut adalah teknik yang diperlukan untuk:

  1. Mengurangkan tekanan pada kulit ketika duduk di kerusi roda
  2. Cara mengerakkan kerusi roda pada permukaan yang rata
  3. Cara pemindahan dari kerusi roda tanpa penggunaan alat bantuan
  4. Cara pemindahan secara berdikari dari kerusi roda ke mangkuk tandas
  5. Cara mengerakkan kerusi roda pada permukaan yang tidak rata seperti “Ramp”.
  6. Teknik “Wheelie”

A. Mengurangkan Tekanan Pada Kulit Semasa Duduk Di Kerusi Roda :

Teknik untuk mengurangkan tekanan pada kulit merupakan salah satu teknik yang sangat penting yang perlu dipelajari oleh setiap pesakit untuk mengelakkan terjadinya kudis tekanan pada bahagian punggung dan juga pada bahagian tulang “Ischial Tuberositi” (Tulang duduk) dan juga pada lain-lain bahagian tulang.

Teknik fungsi – Pengurangan tekanan pada kulit haruslah dilakukan pada setiap 15 -20 minit, pada permulaan sehingga ketahanan kulit meningkat.

  1. “Push Up” – Pesakit memerlukan kekuatan tangan anggota atas terutama sekali otot Trisep. Tangan diletakkan di sebelah tepi bahagian punggung pada tempat duduk kerusi roda, “armrest” kerusi roda mahupun pada roda kerusi tersebut. Luruskan kedua-dua siku, tekankan bahu kebawah dan tolak untuk menaikkan badan anda.

         Push Up                                                                                  Weight Shift: Side lean

2. “Weight Shift” – Pesakit membongkok jauh kedepan untuk mengurangkan tekanan berat badan pada “Ischial Tuberositi” atau menyandar ke sebelah tepi dan kemudian ke sebelah tepi yang lain.

B. Mengerakkan Kerusi Roda Atas Permukaan Yang Rata

  1. Teknik Fungsi:
  • Dengan Jari Flexor – Pesakit menggenggam “handrims” dan tolak kedepan atau kebelakang untuk mengerakkan kerusi roda tersebut.      

Pemindahan Tanpa Menggunakan Alat Bantuan Pindah

  1. Posisikan kerusi roda 45 darjah daripada permukaan yang perlu dipindahkan. Tanggalkan kedua-dua “leg rest” kerusi, serta tanggalkan “armrest “yang berada pada arah dimana pemindahan akan dilakukan.
  2. Gerakkan punggung ke depan dari kedudukan asal di katil.
  3. Posisikan tangan di depan daripada badan – satu tangan diletakkan di “Arm rest” kerusi dan satu tangan diletakkan di tempat duduk permukaan yang akan dipindahkan ( kerusi roda )
  4. Individu tersebut kemudiannya menegakkan sendi siku untuk “menguncikannya” sambil menyokong berat badan menggunakan otot Tricep.
  5. Kemudian sandar ke depan kearah kedua-dua angota atas dengan dagu kearah bawah.
  6. Individu tersebut kemudian dengan kadar cepat dan tenaga yang kuat mengerakkan kepala dan bahu ke arah destinasi yang hendak dipindahkan tersebut dengan mengangkatkan punggung dari permukaan asal kedudukan.         
   

D. Pemindahan Secara Berdikari Dari Kerusi Roda Ke Tandas

  • Alihkan “footrest” ke tepi kerusi dan gerakkan kerusi roda dekat pada mangkuk tandas.
  • Letakkan kaki pada permukaan lantai, kuncikan kerusi roda dengan menekan “brake kerusi.
  • Gerakkan badan anda ke depan kerusi roda.
  • Letakkan kedua-dua kaki pada lantai dekat pada mangkuk tandas. Jarakkan kaki kedua-dua lutut dan kaki anda.
  • Pegang pada pemegang di tepi dinding di tandas. Pandang kearah dinding tandas, angkatkan diri anda dan pusingkan badan anda untuk duduk keatas mangkuk tandas.

E. Mengerakkan Kerusi Roda Melintangi Halangan: Ramp Dan Permukaan Tidak Rata

  1. Skil /teknik fungsi
  • “Ascending” atau menolak kerusi naik ke atas Ramp – Untuk mengerakkan kerusi roda ke depan, bawa badan dan kepala ke bahagian depan untuk mengelakkan roda kerusi mengalami pergerakan yang mengejut, gunakan penolakan yang pendek untuk mengerakkan tangan secara cepat antara penolakan roda kerusi.
  • “Descending atau menurun dari ramp – Pesakit perlu mengawal kerusi roda tersebut, semasa menuruni ramp dengan mengenggam rim kerusi serta mengawal roda untuk memperlahankan kerusi tersebut semasa menuruni ramp.
   
Curb   Teknik Wheelie 

Teknik Wheelie

 “Wheelie” merupakan satu teknik untuk mengimbangi kedudukan kerusi roda dengan menggunakan roda belakang. Teknik ini mungkin kelihatan sebagai satu “trick” tetapi tujuan mempelajari teknik ini adalah supaya individu tersebut senang untuk melalui kawasan yang berhalangan ketika keluar bersama komuniti.

Mengapakah teknik “wheelie” sangat penting?

  1. Untuk mempertingkatkan kualiti hidup.

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa mempelajari teknik “wheelie” serta teknik pengendalian kerusi roda dapat meningkatkan kualiti hidup kerana ianya dapat mempertingkatkan keberdikarian seseorang individu dan menjadi lebih aktif di komuniti seperti pergi ke sekolah, kerja dan aktivit-aktiviti sosial yang lain.

  1. Boleh mengurangkan kesakitan dan kurangkan risiko jatuh dari kerusi.

Secara keseluruhannya, tujuan dan kepentingan mempelajari teknik penggunaan kerusis roda adalah seperti berikut:

  1. Untuk meningkatkan kemampuan individu tersebut dalam mengendalikan kerusi roda dengan cara yang berkesan dan selamat.
  2. Untuk mengurangkan halangan penglibatan aktiviti di komuniti dan seterusnya individu tersebut dapat memainkan peranannya sebagai seorang pengguna kerusi roda di masyarakat.
  3. Potensi lain yang dapat memberikan kebaikan sekiranya pengguna kerusi roda mengetahui teknik penggunaa kerusi adalah ianya dapat mengurangkan kecederaan akut ataupun “overuse” meningkatkan keyakinan diri dan kawalan diri, meningkatkan perkembangan kanak-kanak dan ianya juga mendatangkan keseronokkan.
  4. Meningkatkan kualiti hidup seseorang pengguna kerusi roda.

Rujukan:

  1. Wheelchair Skills Training Program.  Dalhousie University. Available at: http://www.wheelchairskillsprogram.ca/.  Accessed September 18. 2010.
  1. Wheelchair skills program (wsp) version 4.1 wheelchair skills training program (wstp) manual
  2. Anneken V, Hanssen-Doose A, Hirschfeld S, Scheuer T, Thietje R. Influence of physical exercise on quality of life in individuals with spinal cord injury.  Spinal Cord. 2010;48:319-399.
  3. Kilkens O, Post M, Dallmeijer A, van Asbeck F, van der Woude L. Relationship between manual wheelchair skill performance and participation of persons with spinal cord injuries 1 year after discharge from inpatient rehabilitation. J Rehabil Res Dev. 2005;42:65-74.
  1. The PoinTIS SCI Physical Therapy site of the SCI Manual for Providers is based on information in Spinal Cord Injury: Functional Rehabilitation, by M.F. Somers, Norwalk, CT, Appleton & Lange, 1992, and information in “Respiratory Rehabilitation of the Patient with a Spinal Cord Injury”, by J.L. Wetzel, B.R. Lunsford, M.J. Peterson, and S.E. Alvarez, Chapter 28 in Cardiopulmonary Physical Therapy, S. Irwin and J.S. Tecklin, eds., St. Louis, Mosby, 1995, unless otherwise indicated.
  2. Wheelchair Skills Training Program(http://www.wheelchairskillsprogram.ca). by Dalhousie  University (Canada).
  3. Wheelchair skills program (wsp) version 4.1 wheelchair skills training program (wstp) manual
Semakan Akhir : 23 Februari 2017
Penulis : Wong Mui Fung
Akreditor : Haironi binti Ismail