A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesan Sampingan Ubat >> Sakit Perut & Pedih Ulu Hati

Pengenalan

Semua ubat-ubatan seperti ubat preskripsi, ubat over-the-counter (OTC) ataupun ubat-ubatan tradisional dan vitamin, boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Contoh kesan sampingan yang biasa melibatkan sistem penghadaman badan ialah sakit perut dan pedih ulu hati.

Sakit perut

Sakit perut ataupun ketidakhadaman, disebabkan oleh keradangan pada lapisan mukosa yang melapik dinding perut. Salah satu contoh kelas ubat yang boleh menyebabkan kesan sampingan ini ialah ubat antikeradangan jenis bukan steroid ataupun NSAID. Ubat NSAID merupakan kumpulan ubat yang memberikan kesan tahan sakit, antiradang dan antipiretik (ubat melegakan demam). Contoh ubat-ubatan dalam kumpulan NSAID adalah aspirin, ibuprofen dan diclofenac sodium. Antibiotik, ubat cirit-birit dan zat besi adalah ubat-ubatan lain yang boleh menyebabkan gejala ketidakhadaman.

NSAID boleh menyebabkan sakit perut kerana ia boleh melemahkan lapisan pertahanan perut untuk menangani rembesan asid perut. Ini menyebabkan keradangan pada lapisan perut yang membawa kepada ulser perut dan pendarahan dalaman, terutamanya jika NSAID dimakan dalam jangkamasa yang panjang. Misalnya, warga tua yang mengambil NSAID dalam tempoh masa yang lama untuk penyakit sakit sendi (arthritis), berisiko tinggi untuk mengalami keadaan ini. Individu yang mempunyai sejarah perubatan ulser perut juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kesan sampingan yang ketara seperti ulser perut. Oleh itu, golongan ini patut diberikan pilihan ubat yang lain ataupun mereka cuma dibenarkan mengambil ubat NSAID di bawah pengawasan yang teliti.

Untuk mengelakkan kesan sampingan sakit perut sewaktu mengambil NSAID, ambil NSAID selepas makan. Selain itu, elakkan minuman alkohol kerana alkohol juga mampu mencederakan lapisan pertahanan perut. NSAID seharusya diambil apabila perlu sahaja dan pada dos yang paling rendah dan berkesan. Ubat-ubatan seperti antasid yang meneutralkan keasidan perut, ubat perencat pam proton dan ubat antagonis H2 yang berfungsi untuk mengurangkan rembesan asid, mungkin dipreskrib oleh doktor bersama dengan NSAID untuk mengurangkan risiko kesan sampingan sakit perut.

Pedih Ulu Hati

Pedih ulu hati berlaku apabila asid perut mengalir semula ke bahagian esofagus (refluks) dan menyebabkan iritasi pada lapisan esofagus. Refluks ini terjadi disebabkan oleh injap yang memisahkan esofagus dan perut tidak tertutup dengan sempurna. Dengan itu, gejala-gejala seperti rasa sakit di bahagian atas perut atau dada, mungkin dirasai.

Pedih ulu hati

Terdapat sesetengah ubat yang boleh melemahkan otot injap esofagus seperti:

  1. penghalang saluran kalsium – sejenis ubat darah tinggi
  2. nitrat – sejenis ubat untuk merawat sakit dada yang disebabkan oleh penyempitan saluran darah

Terdapat sesetengah ubat yang boleh menyebabkan radang esofagus. Contohnya:

  1. NSAID – ubat tahan sakit
  2. Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) – sejenis ubat untuk rawatan kemurungan
  3. Cortikosteroid – ubat untuk menghilangkan keradangan
  4. Bifosfonate – ubat untuk osteroporosis (tulang rapuh)

Untuk mengelakkan pedih ulu hati sewaktu mengambil ubat-ubatan, ikut arahan yang diberikan oleh ahli farmasi. Sesentengah ubat dan suplemen perlu diambil selepas makan untuk mengurangkan kesan sampingan pedih ulu hati. Sila merujuk kepada ahli farmasi sekiranya terdapat pertanyaan mengenai ubat ataupun sekiranya anda mengalami kesukaran untuk mengingati masa dan cara pengambilan ubat.

Namun demikian, sekiranya anda masih mengalami gejala pedih ulu hati meskipun mengambil ubat-ubatan dengan cara yang betul, dapatkan nasihat daripada doktor ataupun ahli farmasi. Anda mungkin dipreskrib antasid ataupun ubat-ubatan untuk menangani gejala pedih ulu hati. Selain itu, bertanyakan kepada doktor sekiranya terdapat ubat-ubatan pilihan yang boleh dipreskrib untuk anda. Misalnya, anda mungkin boleh dipreskrib dengan NSAID dalam bentuk krim sekiranya tidak tahan dengan kesan sampingan ubat tablet NSAID.

Rujukan

  1. Laman web: http://www.emedicinehealth.com
  2. Laman web: http://www.nlm.nih.gov/medlineplus
Semakan Akhir : 30 Jun 2016
Penulis : Elaine Kan Mei Ying
Akreditor : Yam Chiew Fong

Artikel Berkaitan

Pil pelangsing

Pil pelangsing dan produk untuk menguruskan badan boleh dijual sebagai ubat OTC (over-the-counter) atau diperolehi sebagai ubat preskripsi.

Antikolesterol

Pengenalan Antikolesterol adalah ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,339,416

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia