Home > Umum > Fisioterapi > PERANAN FISIOTERAPI DALAM PERAWATAN PESAKIT DOMISILIARI

PERANAN FISIOTERAPI DALAM PERAWATAN PESAKIT DOMISILIARI

Pengenalan
Perkhidmatan perawatan Domisiliari (PPD) telah mula dilaksanakan pada bulan Julai 2014 di 160 klinik kesihatan seluruh negara. Pelaksanaan adalah seperti Garis Panduan yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) bersama Bahagian Perkembangan Perubatan rujukan MOH/K/ASA/58.14 (G.U) dan Surat Pekeliling KPK Bil 12/2014 bertarikh 30 Jun 2014.

PPD merangkumi perkhidmatan perawatan dan rehabilitasi yang menggunakan konsep Perkhidmatan Perawatan di rumah yang mana pada asalnya telah dimulakan di hospital.

Definisi
PPD adalah satu perkhidmatan perawatan holistik yang diberikan kepada kes stabil yang terlantar dan memerlukan kesinambungan penjagaan serta perawatan selepas discaj dari hospital atau rujukan daripada klinik kesihatan. Pesakit terlantar adalah pesakit yang memerlukan bantuan oleh seseorang penjaga dalam melaksanakan aktiviti kendiri contohnya pesakit strok (lebih daripada 60%), pos trauma, kecederaan saraf tunjang dan lain-lain.

Konsep Perkhidmatan
Perawatan pesakit adalah dijalankan oleh anggota kesihatan yang dilatih, yang menggunakan pendekatan pelbagai disiplin (Multi Disiplinary Team). Di samping menjalankan perawatan, anggota kesihatan juga akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penjaga supaya perawatan dan penjagaan dapat diteruskan oleh penjaga selepas tempoh tertentu (3 bulan). Sebelum dirawat, pesakit mestilah  mengisi Borang Persetujuan Penjaga Bagi Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) iaitu penjaga mesti hadir bersama sepanjang perawatan dijalankan dan bersetuju untuk belajar prosedur penjagaan pesakit. Rawatan boleh ditamatkan jika tempoh 3 bulan dicapai atau pesakit enggan diberikan perawatan.

Objektif Perkhidmatan
Objektif umum

  1. Membantu dalam perawatan dan penjagaan pesakit yang terlantar di rumah ke arah meningkatan kualiti hidup pesakit.
  2. Memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pesakit dan keluarga bagi meningkatkan penjagaan kendiri.
  3. Membantu pesakit meneruskan rawatan (continuity of care) dan penjagaan di rumah sebagai kesinambungan rawatan selepas discaj dari hospital.
  4. Untuk menggalakkan penyertaan keluarga dan masyarakat dalam pengendalian pesakit terlantar bagi mengurangkan kemasukan semula ke hospital.

Objektif khusus (Rehabilitasi – Fisioterapi)

  1. Mengelakkan komplikasi paru-paru
  2. Meningkat dan mengekalkan julat pergerakan sendi
  3. Mengelakkan kudis tekanan
  4. Meningkatan aktiviti kendiri
  5. Ambulasi

Intervensi
Perawatan fisioterapi lebih dikenali sebagai pemulihan fizikal, di mana ia untuk mempelajari semula pergerakan yang mengalami masalah kefungsian di bahagian anggota yang terlibat. Pergerakan itu juga dapat meningkatkan keupayaan kefungsian diri seseorang yang kurang upaya di rumah. Pemulihan fizikal mestilah dilakukan secara aktif supaya dapat mempertingkatkan keupayaan kefungsian. Pemulihan fizikal terdiri daripada:

  1. Pergerakan aktif dan pasif
  2. Positioning
  3. Mengajar dan menunjukkan kepada penjaga teknik mengangkat dan mengalih pesakit yang betul
  4. Alat bantuan mobiliti

Pergerakan aktif dan pasif
Tujuannya adalah meningkat dan mengekalkan jarak pergerakan sendi serta mengelakkan kontraktur. Pergerakan aktif dilakukan jika pesakit dapat mengerakkan sendiri anggota atas dan anggota bawah dan pergerakan pasif pula dilakukan jika tiada pergerakan langsung yang dapat dilakukan oleh pesakit. Berikut adalah prinsip asas senaman pasif :

  1. Posisikan pesakit dan penjaga yang bersesuaian untuk melakukan senaman
  2. Gerakkan 1 sendi pada satu masa
  3. Mulakan gerakan dari distal ke proksimal
  4. Beri sokongan pada bahagian atas dan bawah pada sendi yang digerakkan
  5. Gerakkan setiap sendi perlahan-lahan sehingga pada tahap pergerakan yang maksimum dan ulang sekurang-kurangnya 10 kali
  6. Lakukan sekurang-kurangnya 2 sesi sehari
  7. JANGAN lakukan pergerakan secara kasar
  8. JANGAN lakukan pergerakan pantas (cepat) dan secara paksa pada sendi yang sukar digerakkan. Ini boleh menyebabkan otot yang terlibat bertambah kejang.

Langkah berjaga-jaga semasa melakukan senaman pasif adalah :

  1. Severe osteoarthritis
  2. Severe joint contracture
  3. Pengambilan ubat steroid yang lama
  4. Sendi yang hypermobility
  5. Acute swelling
  6. Fractures
 PergerakanPasif

Contoh pergerakan pasif – anggota atas

Positioning
Positioning adalah penting untuk mengelakkan berlakunya kudis tekanan. Pesakit hendaklah dialih posisinya setiap 2 jam sekali dan penjaga mestilah dingatkan supaya menukar posisi pesakit. Jika tidak diubah posisi, kudis tekanan boleh berlaku.

 PosisiTerlentang

Teknik mengangkat dan mengalih

  1. Cara memegang, mengangkat dan mengalih pesakit dari satu tempat ke satu tempat yang lain memerlukan teknik yang betul untuk mengelakkan kecederaan kepada pesakit dan penjaga.
  2. Penjaga perlu mengetahui tahap keupayaan pesakit bagi menentukan jenis dan keperluan bantuan serta peralatan yang akan digunakan.
  3. Minta bilangan anggota yang lebih untuk membantu sekiranya berat badan pesakit berlebihan.
  4. Pakaian pengangkat mestilah bersesuaian, longgar dan kasut yang selesa. Pakaian pesakit pula adalah seluar atau kain yang diikat kemas.
  5. Untuk keselamatan penjaga pula :
    • Elakkan memakai stoking semasa mengangkat – terutamanya atas lantai yang licin
    • Elakkan pergerakan yang mengejut – tanpa pengetahuan pesakit
    • Untuk kerusi roda – kunci brek dan buka alas tangan dan kaki kerusi roda sebelum mengangkat
    • Jika pengangkat lebih daripada 2 orang, salah seorang menjadi ketua untuk memberikan arahan semasa mengangkat
    • Beri perhatian jika ada sebarang alat rawatan seperti IV line dan Continuos Bladder Drainage (CBD)
 CaraMengangkat

Contoh cara mengangkat berdua.

Alat Bantuan Mobiliti
Menentukan alat bantuan mobiliti yang bersesuaian kepada pesakit juga adalah salah satu peranan yang penting bagi Ahli Fisioterapi. Jika alat bantuan mobiliti tidak menepati kesesuaian pesakit ia menjadi satu pembaziran. Contohya kerusi roda – pesakit akan memerlukan kerusi roda yang detachable. Jika pesakit tidak pasti dengan alat bantuan mobiliti yang diperlukan, boleh hubungi Ahli Fisioterapi yang berhampiran.

Rujukan

  1. Garis Panduan Perkhidmatan Perawatan Domisilari Di Kesihatan Primer, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, 2014
  2. Garis Panduan Kesihatan Rehabilitasi Di Klinik Kesihatan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, 2014
  3. Manual Pengedalian Fisioterapi Asas untuk Warga Emas oleh PPP dan Jururawat peringkat Penjagaan Kesihatan Primer(BPKK, KKM dan Jabatan Fisioterapi, Hospital Kuala Lumpur) 2013
  4. Manual Latihan Bagi Penjaga, Jagaan Asas OKU di Institusi dan di Rumah (BPKK, KKM) edit semula Julai 2013
Semakan Akhir : 18 Januari 2016
Penulis : Rohiza binti Atan
Akreditor : Edwin Lim Hock Ann