Home > Umum > Terapi Bahasa & Pertuturan > Mari Belajar Sebut Bunyi /s/ dan /z/

Mari Belajar Sebut Bunyi /s/ dan /z/

 Ini adalah perkara biasa yang dihadapi oleh ibu bapa apabila anak tidak dapat menyebut bunyi /s/ atau /z/ dengan betul. Ia dikenali sebagai kecelaruan bunyi pertuturan. Bunyi /s/ dan /z/ adalah antara bunyi yang sukar untuk disebut. Kajian menunjukkan kanak-kanak memperoleh bunyi /s/ dan /z/ bermula pada usia tiga hingga lapan tahun. Lihat Carta Speech Sound Development

Bagaimana untuk menyebut bunyi /s/ dan /z/?

Terdapat dua cara untuk menyebut bunyi /s/ dan /z/. Berikut adalah cara-cara tersebut:

Cara Pertama: Bunyi /s/

  • Naikkan hujung lidah ke bahagian belakang gigi atas.
  • Bentuk bibir adalah berkeadaan senyum.
  • Keluarkan udara/angin melalui bahagian tengah lidah.
  • Bunyi /s/ adalah bunyi tidak bersuara.
  • Oleh itu, pita suara tidak bergetar.

Sumber: www.myenglishclub.com

Cara Pertama: Bunyi /z/

  • Untuk menyebut bunyi /z/, kedudukan bibir dan lidah sama seperti untuk menyebut bunyi /s/.
  • Tetapi tekanan diberikan ketika mengeluarkan udara melalui mulut sehingga menggetarkan pita suara.
  • Ini kerana bunyi /z/ adalah bunyi bersuara.

Sumber: www.myenglishclub.com

Cara kedua: Bunyi /s/ dan /z/

  • Hujung lidah diletakkan di bahagian belakang gigi bawah.
  • Terdapat ruang di bahagian tengah lidah yang membolehkan udara keluar melaluinya.
  • Bunyi /s/ tidak akan menggetarkan pita suara apabila udara dikeluarkan.
  • Pita suara bergetar apabila menyebut bunyi /z/.

Video cara-cara menyebut bunyi /s/ dan /z/

Apa kesalahan sebutan yang sering berlaku?

Berikut adalah contoh kesalahan bunyi yang sering dilakukan ketika menghasilkan bunyi /s/ dan /z/ dalam perbualan:

Proses

Contoh

Penerangan

Penggantian kepada bunyi letupan

/sakit/ ? /takit/

/zip/ ? /dip/

Kanak-kanak menggantikan bunyi geseran /s.z/ kepada bunyi hentian seperti /p,b,t,d,k,g/. Proses kesalahan ini lazimnya akan hilang pada sekitar usia antara tiga hingga lima tahun.
Penggantian bunyi /s/ atau /z/ kepada bunyi belakang

/nasi/ ? /nashi/

Kanak-kanak menggantikan bunyi geseran /s, z/ kepada bunyi belakang iaitu /sh, ch, j/.
Pengguran bunyi /s/ atau /z/

/bas/ ? /ba/

/zoo/ ? /u/

Berlaku apabila kanak-kanak membuang atau tidak menyebut bunyi tersebut.

Bunyi /s/ atau /z/ boleh hilang di awal, tengah atau di akhir perkataan.

Apakah strategi dalam penghasilan bunyi /s/ dan /z/? 

Berikut adalah beberapa strategi yang boleh digunakan untuk membantu dalam menghasilkan bunyi /s/ dan /z/ dengan betul:

  1. Bantuan Secara Lisan
    1. Mulakan latihan dengan menyebut bunyi sasaran secara terang dan jelas.
    2. Bagi masa untuk kanak- kanak dengar, proses dan tiru bunyi tersebut.
    3. Jika kanak- kanak boleh menyebut bunyi sasaran dengan betul, tambah bunyi tersebut dengan huruf vokal menjadi sukukata (contoh: /as/, /asa/, /sa/ atau /iz/, /izi/, /zi/) dan seterusnya ke peringkat perkataan (contoh: /sakit/, surat/, /bas/, pisang/ atau /zip/, zirafah/), ayat dan perbualan.
  2. Bantuan Secara Visual
    1. Lakukan aktiviti di hadapan cermin.
    2. Letakkan jari telunjuk di bahagian tepi bibir.
    3. Sambil menghasilkan bunyi /s/ atau /z/, bayangkan seperti jari ditolak ke belakang sehingga menyentuh hujung telinga.
  3. Bantuan Secara Sentuhan
    1. Letak tangan di hadapan mulut kanak-kanak.
    2. Sebut bunyi /s/ atau /z/.
    3. Kanak-kanak akan rasa udara keluar dari mulut.
    4. Bunyi /z/: letakkan tangan dibahagian leher untuk merasa getaran pita suara.
  4. Retraining Tongue Placement
    1. Letakkan hujung lidah menyentuh bahagian gigi atas.
    2. Tutup rapat gigi.
    3. Dari penghasilan bunyi /t/, tolak lidah ke belakang gigi atas dan keluarkan udara.
    4. Bibir perlu berada dalam keadaan senyum.
  5. Butterfly Procedure
    1. Sesuai untuk kanak-kanak yang melakukan kesalahan penggantian (bunyi geseran).
    2. Perumpamaan seperti kupu-kupu menaikkan bahagian kepak ke atas (tepi lidah menyentuh gigi atas) dan badan kupu-kupu (ruang di bahagian tengah lidah).
    3. Membantu kanak-kanak untuk membetulkan aliran udara sendiri.
    4. Udara sepatutnya keluar melalui bahagian tengah lidah, bukan di bahagian tepi lidah.

JOM BERLATIH MENYEBUT PERKATAAN!!!!

Contoh perkataan (dalam bahasa melayu) yang mempunyai bunyi /s/ dan /z/ adalah seperti di bawah:

 

Awal

Tengah

Akhir

Bunyi /s/

Sakit
Sihat
Surat
Sikat
Sudu
Seluar

Pasu
Pisang
Basuh
Nasi
Kisar
Basikal

Bas
Pas
Kertas
Lipas
Panas
Nenas

Bunyi /z/

Zip
Zoo
Zapin
Zamrud
Zaman
Zirafah

Piza
Lazat
Lazim
Muzik
Rezeki

Kuiz

 

Video Perkataan dengan bunyi /s/ dan /z/ di awal, tengah dan akhir perkataan

  1. Bunyi /s/ di awal, tengah dan akhir perkataan
  2. Bunyi /z/ di awal, tengah dan akhir perkataan

ADAKAH ANAK ANDA MENGALAMI MASALAH YANG SAMA? ADAKAH ANDA MEMERLUKAN BANTUAN?

Silalah berhubung dengan Terapis Pertuturan-Bahasa di hospital kerajaan terdekat dengan anda. Jangan tunggu. Masa mencemburui kita semua……

Rujukan

  1. Bowen, C. (2011, November, 14): Butterfly procedure. Posted in http://www.speech-language-therapy.com/index.php?option=com_content&view=article&id= 48:butterfly&catid=11:admin&Itemid=121
  2. McLeod, S. (2009). Speech sound acquisition. In J. E. Bernthal, N. W. Bankson & P. Flipsen Jnr (Eds.), Articulation and phonological disorders: Speech sound disorder in children (6th ed., pp 63-120 + 385-405). Boston, MA: Pearson Education.
  3. Smit, Hand, Freilinger, Bernthal, and Bird (1990), Journal of Speech and Hearing Disorder, 55, 779-798, from therapytoolbox.com/blog-entry/milestones-acquisition-speech sound
  4. Sowrian, G. (2012, September 21). Improve Your Pronunciation-Study Session 8. Posted to http://www.myenglishclub.com/profiles/blogs/08-improve-your-pronunciation-study-session-8
  5. Templin, 1957; Wellman et al., 1931, in Sanders-Journal Of Speech and Hearing Disorders, 1973, from www.nona-cdc.com/SPEECH SOUND DEVELOPMENT CHART
Semakan Akhir : 18 Februari 2016
Penulis : Nurul Haslina bt. Mohd Zin
Akreditor : Marina bt. Abdul Malek