A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Remaja Kahwin Lari

Kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati beberapa masalah timbul apabila remaja berlahwin lari. Kebanyakan remaja ini cenderung melibatkan diri dengan penyalahgunaan bahan seperti dadah dan alkohol, dijadikan mangsa deraan suami, mangsa seksual, dan menjadi pelarian di negara asing

Golongan belia sememangnya terdedah kepada masalah sosial yang berlaku pada masa kini. Masyarakat pada hari ini memandang golongan belia sebagai golongan yang mudah terdedah dengan masalah sosial, sehingga ada yang melabelkan golongan belia di negara ini sebagai golongan yang telah rosak moralnya. Salah satu isu yang meruncing kini adalah remaja yang berkahwin lari.

Secara umumnya kita mengetahui bahawa remaja yang berkahwin lari adalah belia yang meninggalkan rumah tanpa memberitahu ibu bapa kemana hala tujuan mereka. Menurut Loh Kha Bee (2009), berkahwin lari satu tingkah laku atau perbuatan berkahwin tanpa restu daripada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Sesetengah daripada golongan remaja yang berkahwin lari ini akan kembali dalam jangka masa tertentu seperti dalam masa beberapa hari, beberapa minggu, beberapa bulan dan bertahun-tahun malahan ada juga yang tidak kembali langsung sehingga diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Faktor Remaja Kahwin Lari

  1. Wali Enggan Merestui Hubungan

    Wali yang enggan merestui remaja yang mahu berkahwin adalah faktor utama mengapa remaja sanggup meninggalkan keluarga. Dari segi aspek psikologikal, ibu bapa di rumah tidak dapat memahami perasaan yang dialamioleh remaja, apa yang mereka inginkan dan apa yang mereka perlukan. Ibu bapa kurang mengendahkan kepentingan keperluan remaja dari segi psikologi contohnya seperti keperluan keselamatan dan dimiliki, keperluan kepada autonomi, keperluan kompentensi perasaan dan penghargaan kendiri serta keperluan untuk difahami (Neubeck & Neubeck, 1999). Kegagalan ibu bapa dalam memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya sehingga mengabaikan kehendak remaja menjadi pendorong kepada remaja untuk berkahwin lari (Santrock, 2005).

  2. Pengaruh Rakan Sebaya

    Pengaruh dengan rakan sebaya juga menjadi punca remaja kahwin lari. Sudah menjadi kebiasaan bahawa setiap remaja akan terdedah dengan persekitaraan dan pergaulan dengan rakan sebaya mereka. Remaja akan cenderung untuk mudah terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Lazimnya remaja akan mudah menerima nasihat yang negatif ataupun mudah terikut-ikut dengan perangai negatif rakan sebaya mereka. Sebagai contohnya remaja mungkin akan menerima nasihat daripada rakan sebaya mereka bahawa berkahwin lari lebih mudah dan tidak terkongkong dengan dengan ragam ibu bapa.

  3. Terpedaya Dengan Janiji Manis Pasangan

    Banyak gadis remaja menjadi mangsa janji manis si kekasih yang menghamburkan kata-kata cinta sehidup semati. Di media cetak mahupun elektronik sering memaparkan gadis mengikut jejaka pilihan mereka ke negara asal teman lelaki mereka seperti yang pernah dipaparkan di media iaitu ‘jejaka Lombok menambat hati gadis remaja tempatan’.

  4. Nikah Hamil

    Keadaan ini berlaku kepada pasangan bercinta yang telah terlanjur sehingga hamil luar nikah. Ada juga lelaki yang sudah pun berkahwin tetapi terlanjur dengan remaja wanita lain. Pasangan yang ingin bertanggungjawab dan mahu bernikah namun malu dengan keadaan yang berlaku dan takut diketahui isteri mengambil langkah untuk membawa pasangan berkahwin lari ke negara jiran. Selain itu, ada juga pasangan yang bercinta tetapi takut diketahui keluarga akan kehamilan yang berlaku mengambil langkah tanpa berfikir panjang untuk mengikut pasangan mereka untuk berkahwin lari ke negara jiran.

Kesan Remaja Kahwin Lari

Golongan remaja yang berkahwin lari dari rumah akan menyebabkan beberapa kesan buruk berlaku khususnya terhadap remaja tersebut. Kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati beberapa masalah timbul apabila remaja berlahwin lari. Kebanyakan remaja ini cenderung melibatkan diri dengan penyalahgunaan bahan seperti dadah dan alkohol, dijadikan mangsa deraan suami, mangsa seksual, dan menjadi pelarian di negara asing berbanding remaja yang tidak terlibat dengan masalah berkahwin lari (Grenee, Ennet, & Ringwaltz,1997).

Remaja yang berkahwin lari dari rumah mudah terjebak dengan jenayah keganasan lain seperti pelacuran, pornografi dan sebagainya lagi. Situasi seperti ini berlaku apabila remaja yang berkahwin lari akan menjadi bebas tanpa kongkongan daripada mana-mana pihak termasuklah ibu bapa. Remaja perempuan yang kahwin lari menyebabkan mereka tidak dapat menanggung kos perbelanjaan seharian, yang akan mendorong mereka untuk menjual tubuh badan sendiri atau melibatkan diri dengan kegiatan pelacuran dan pornografi, kesan yang paling serius sekali ialah mereka mungkin akan terdedah kepada sindiket-sindiket pelacuran yang menjual gadis tempatan ke luar negara (Loh Kha Bee, 2009). Remaja kahwin lari juga cenderung menghadapi masalah psikologikal seperti kemurungan, tekanan, kecelaruan tingkah laku, mencederakan diri sendirian akhirnya melakukan percubaan membunuh diri. Lazimnya perasaan-perasaan seperti rasa menyesal, menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan nasib yang menimpa dirinya akan memberikan kesan terhadap emosi remaja.

 

 

Intervensi Untuk Menangani remaja kahwin Lari

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil sebagai cara untuk membendung remaja daripada terlibat dengan masalah dan kes kahwin lari. Salah satu langkah mengatasi masalah ini ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Punca utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah adalah disebabkan oleh masalah keluarga yang berlaku di dalam rumah. Ibu bapa sepatutnya memahami perasaan anak mereka, apa yang anak mereka inginkan dan apa yang diperlukan oleh mereka dari sudut pendekatan emosi dan psikologikal dan bukannya dengan hanya memberikan anak-anak keperluan material semata-mata. Ibu bapa seharusnya sedar dan tidak menganggap bahawa dengan hanya memberi keperluan material seperti memberi mereka wang, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya sudah cukup menjadikan anak-anak mereka berasa bahagia.

Langkah yang kedua ialah memantau peranan yang dimainkan oleh rakan sebaya. Ibu bapa seharusnya mengambil tahu pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka. Ini untuk memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang tidak baik. Rakan sebaya adalah merupakan individu yang paling rapat dengan remaja, oleh itu remaja mudah cenderung terikut dengan tingkah laku yang dilakukan oleh rakan sebaya tanpa mengira tingkah laku dan perbuatan itu baik atau tidak. Menurut Newman (1980), remaja lazimnya akan membuat persepsi bahawa rakan sebaya adalah satu-satunya kumpulan yang wujud, dimana rakan sebaya dipersepsikan sebagai tempat dimana remaja menyempurnakan keperluan sosial mereka dan memberi mereka satu perasaan dihargai.

Masyarakat juga berperanan dalam mengatasi remaja kahwin lari. Dalam hal ini pihak-pihak yang berkait secara langsung dengan remaja seperti guru-guru di sekolah dan jiran-jiran seharusnya bersama-sama membendungmasalah ini. Unit-unit masyarakat lain seperti kaunselor juga perlu memainkan peranan penting dalam mengesan pelajar bermasalah untuk mengelakkan remaja ini kahwin lari. Jiran tetangga seharusnya menanam semula nilai hidup kolektivisme dimana masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran lain boleh diselesaikan secara bersama-sama. Dalam hal ini masyarakat tidak boleh berpeluk tubuh sahaja membiarkan remaja hanyut dan terjebakdengan masalah sosial seperti ini.

Media memainkan peranan penting dalam perkembangan remaja. Media boleh memberi kesan positif dan juga kesan negatif. Remaja biasanya mudah terpengaruh dengan aksi-aksi negatif yang sering dipaparkan dalam mediatidak kira sama ada yang dipaparkan dalam media elektronik seperti televisyen mahupun media bercetak seperti majalah. Sebagai contohnya apabila remaja menonton filem-filem barat yang memaparkan kehidupan remaja barat yang berpusatkan kepada kebebasan dan keseronokan sehingga ada yang sanggup lari dari rumah, remaja-remaja tempatan cenderung terpengaruh dengan budaya kehidupan mereka.

Akhir sekali ialah langkah yang dijalankan oleh institusi-institusi yang terlibat dalam kemasyarakatan. Terdapat institusi yang ditubuhkan berfokuskan kepada golongan remaja bermasalah. Institusi seperti ini dianjurkan untuk mengadakan program atau aktiviti seperti bengkel kepimpinan, ceramah, kem perkhemahan, aktiviti sukan, aktiviti keagamaan, aktiviti kemasyarakatan, khidmat sosial komuniti dan sebagainya agar dapatmemberi manfaat yang berguna kepada remaja.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya isu remaja kahwin lari telah mendatangkan masalah tehadap golongan belia dan remaja di negara ini. Walaupun kes remaja kahwin lari ini semakin membimbangkan ia masih boleh dibendung. Risiko yang dihadapi oleh remaja kahwin lari perlu diatasi melalui beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Program-program intrevensi yang dijalankan diharapkan dapat membantu usaha-usaha yang dijalankan bagi mencegah golongan remaja terjebak dalam masalah kahwin lari.

Rujukan

  1. Cauce, A. M. (2004); Homeless, Runaway & Throwaway Youth:Sexual Victimization and the Consequencesof Life on the Streets.;Diterima pada – Ogos 2010, daripada http://www.wcsap.org.pdf / http://www.wcsap.org.pdf
  2. Clinard, M. B., & Meier, R. F. (2004).Sociology of Deviant Behavior.(12th ed). United States:Wadsworth/Thomson Learning, Inc.
  3. Grenee, J. M., Ennet, S. T., & Ringwaltz,C.L.(1997). Substance use among runaway and homeless youth in three national samples. Diterima pada — Ogos 2010, daripada www.ncbi.nlm.nih.gov
  4. Grenee, J. M., Ennett, S. T., & Ringwaltz, C. L.(1999). Prevalence and Correlates of Survival Sex Among Runaway and Homeless Youth. Diterima pada — Ogos 2010, daripada www.ncbi.nlm.nih.gov///www.ncbi.nlm.nih.gov
  5. “Lari dari rumah”. (atas talian). www.infosihat.gov.my/Penyakit/Remaja/php. Diterima pada — Ogos 2010.
  6. “Lima kategori lari dari rumah untuk mencari kebebasan luar”. (atas talian) www.bharian.com.my/bharian/html. Diterima pada — Ogos 2010.
  7. Loh Kha Bee. (2009). Lari dari rumah. Diterima pada — Ogos 2010, daripada www.smkdds.com.ppt.
  8. Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Universiti Putra Malaysia. Shah Alam: Mc Graw Hill.
  9. Neubeck, K.N., & Neubeck, M.A. 1999. Social Problems A Critical Approach. (4th ed). New York:Hill Companies, Inc.
  10. Santrock, J.W. (2007). Adolescence. (11th ed). New York: Mc Graw Hill.
  11. Tyler, K.A., Whitbeck, L.B., Hoyt, D.R., & Johnson, K.D. (2003). Self-Mutilation and Homeless Youth: The Role of Family Abuse, Street Experiences, and Mental Disorders.  Diterima pada –Ogos 2010, daripada http://www.wcsap.org/pdf.
Semakan Akhir : 02 Julai 2018
Penulis : Pn. Fariz Sakina bt. Abdullah
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,178,136

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia